[KAPSUL SYAWAL] Pernikahan Rasulullah dan Dua Ummul Mukminin di bulan Syawal
Rasulullah telah menikahi dua orang isterinya di bulan Syawal iaitu Sayyidah Aisyah RA dan Ummu Salamah RA.
Pernikahan Rasuulullah dengan Aisyah RA adalah berlaku pada tahun ke2 Hijrah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah RA berkata:
تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwini ku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama dengan ku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW daripadaku?”
Aisyah RA telah meriwayatkan banyak hadis Rasulullah SAW dan beliau adalah perawi ulung. Aisyah RA juga merupakan seorang mujtahid, pandangan-pandangannya tajam, pemahaman terhadap masalah-masalah usuluddin ( pokok-pokok agama) dan ayat-ayat Al Quran yang paling rumit sekalipun sangat mendalam. Beliau juga pandai membaca, di tengah-tengah masyarakat yang masih jarang memiliki kemahiran ini, maka Aisyah RA salah satu wanita yang menguasainya. Sehingga kini, riwayat dan ilmu daripada Aisyah RA digunakan oleh umat Islam.
Selain Aisyah RA, Rasulullah juga menikahi Ummu Salamah RA pada tahun ke4 Hijrah di bulan Syawal. Ummu Salamah merupakan janda yang kehilangan suaminya Abu Salamah RA yang wafat akibat kecederaan berat semasa di medan Perang Uhud. Setelah masa iddah Ummu Salamah usai, beliau dipinang Abu Bakar, tapi beliau menolaknya. Kemudian Umar meminangnya, beliau juga menolaknya.Rasulullah meminta izin kepadanya, beliau pun menerima pinangan Nabi. Dan putranya yang menjadi wali baginya. Akad pernikahan itu disaksikan sejumlah sahabat. Maharnya sama seperti mahar Aisyah RA: karpet tebal, tilam yang diisi serat, dan penggilingan. Pernikahannya dengan Nabi adalah pengganti dari semua kebaikan yang hilang darinya.
Semasa pernikahannya dengan Rasulullah SAW, Ummu Salamah RA telah memberikan idea yang bernas kepada baginda dalam memberikan contoh kepada para sahabat supaya mereka melakukan apa yang telah diperintahkan oleh baginda selepas keputusan Perjanjian Hudaibiyah.
Dalam perjalanan sajarah Islam, Ummul Mukminin adalah pelopor para muslimah yang bersemangat menuntut ilmu dan mengajarkannya kembali, sehinggakan Umat Islam kini masih menggunakan ilmu mereka. Inilah antara sosok-sosok Ummul Mukminin yang sepatutnya menjadi inspirasi dan contoh kepada muslimah kini.