[KAPSUL SYAWAL] Perang Hunain
Perang Hunain terjadi pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah iaitu selepas penaklukan Mekah. Pasukan umat Islam berjumlah 12000 orang yang terdiri daripada 2000 orang warga Mekah dan 10000 sahabat yang ikut dalam pembukaan kota Mekah. Namun demikian, barisan pasukan tentera Islam telah kucar kacir akibat serangan hendap dari bani Hawazin di lembah Hunain. Ini menyebabkan ramai yang bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah saw dan medan perang. Namun tatkala Abbas bin Abdul Muthallib ra menyeru kaum muslimin untuk kembali ke medan perang, mereka segera kembali ke medan pertempuran. Para malaikat turut serta dalam perang ini. Ibnu Ishak berkata, Abu Ishak bin Yasar berkata kepadaku dari Jubair bin Muth’im yang berkata, ” aku melihat seperti pakaian hitam turun dari langit kemudian jatuh di tempat antara kami dan musuh kami. Aku lihat, ternyata yang jatuh adalah semut yang berserakan memenuhi lembah. Aku tidak ragu bahawa itu adalah para malaikat kerana setelah itu yang terjadi adalah kekalahan musuh.” Akhirnya tentera kaum muslim mencapai kemenangan.
“Sesungguhnya Allah telah menolong kalian di medan perang yang sangat banyak dan di perang Hunain iaitu ketika kalian menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kalian, maka jumlah yang banyak tersebut tidak memberi manfaat sedikitpun dan bumi yang luas terasa sempit bagi kalian. Kemudian kalian lari ke belakang dengan bercerai berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kalian tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. ” (At-Taubah: 25-26)
Ulasan:
Pada awalnya pasukan umat Islam sangat yakin akan menang kerana menyangka jumlah mereka yang ramai dan mampu mengalahkan musuh. Namun disebabkan keyakinan mereka tersebut mereka kurang berhati-hati terhadap strategi musuh, dalam perjalanan melalui lembah Hunain pasukan umat Islam menjadi kucar-kacir kerana diserang hendap oleh pihak musuh hingga tanpa mereka sedar telah meninggalkan Rasullullah saw tanpa perlindungan dari pihak musuh. Seruan peringatan dari Abdullah Abbas menyedarkan pasukan Islam dan mereka kembali pada posisi masing-masing dan akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan Islam. Pengajaran yang diperolehi dari sini walaupun mempunyai bilangan yang ramai tidak bermakna mudah untuk mencapai kemenangan dan mudah untuk mengalahkan musuh jika kita tidak mempunyai mindset yang betul dan tidak faham strategi pihak musuh. Begitulah yang berlaku pada realiti umat Islam masa kini, tidak kembali pada Islam secara sempurna dalam kehidupan, tidak memahami strategi serta muslihat musuh hingga umat Islam tidak mempunyai mindset yang benar dan terperangkap dalam kekeliruan.
Sumber: Sirah Ibnu Hisyam: Jilid 2, ms453-464