[KAPSUL SYAWAL] Perang Thaif
Setelah kekalahan pada perang Hunain, Bani Tsaqif melarikan diri ke Thaif dan menutup pintu benteng Thaif. Oleh itu, ketika pasukan tentera muslimin tiba di Thaif, mereka tidak dapat memasuki Thaif. Rasulullah saw mengepung orang-orang Thaif selama 17 malam. Perang di Thaif adalah perang kali pertama umat islam menggunakan Manjaniq dan Dabbabah. Rasulullah saw adalah orang yang pertama melempar Manjaniq dalam Islam. Rasulullah saw memerangi orang-orang Thaif dengan sangat dasyat dan terjadi saling lempar anak panah antara kedua belah pihak. Beberapa orang sahabat masuk ke bawah dabbabah dan mendekati benteng orang-orang Thaif untuk melubangi benteng. Ketika itulah orang Thaif melepaskan paku besi yang menyala-nyala ke atas dabbabah. Disaat kaum muslimin keluar dari paku-paku besi tersebut, orang- orang Thaif menyerang kaum muslimin dengan anak panah sehingga banyak yang terkorban. Pohon- pohon anggur orang-orang Thaif diluar kota Thaif turut di tebang oleh tentera muslimin. Namun usaha membuka kota Thaif tetap gagal dan akhirnya mereka pulang ke Madinah. Sepulangnya dari Thaif, sahabat Rasulullah saw meminta doakan keburukan buat orang-orang Tsaqif tetapi ternyata Rasulullah saw berdoa, ” Ya Allah, berilah petunjuk kepada orang-orang Tsaqif dan datangkan mereka”.
Ternyata tahun berikutnya, orang-orang Tsaqif datang menemui Rasulullah saw dengan sukarela menyatakan keislaman mereka dan membaiat Rasullah saw di Madinah.
Ulasan:
Meskipun Rasulullah saw tidak berjaya menaklukkan Thaif tetapi kehidupan orang-orang Tsaqif selepas perang Thaif semakin buruk. Ini kerana mereka tidak mendapatkan keamanan untuk berdagang dan mengembala haiwan ternakan di luar dari kota Thaif. Barang dagangan dan haiwan ternakan mereka dirompak dan diganggu. Dan mereka tidak dapat keluar dari kota Thaif melainkan dibunuh atau di tawan. Ini terjadi kerana seluruh orang-orang Arab telah memeluk Islam kecuali orang-orang Tsaqif.
Akhirnya orang-orang Tsaqif bersetuju menghantar utusan menemui Rasulullah saw untuk masuk Islam dan menyatakan baiat.
Setelah pembaiatan orang-orang Tsaqif, Rasullullah saw mengirim Abu Sufyan bin Harb dan Al-Mughirah bin Syu’bah untuk menghancurkan berhala Al-Lata di Thaif. Penolakan terhadap dakwah Rasullullah saw pada awalnya oleh penduduk Tsaqif tidak menghalang Rasullullah saw untuk meneruskan dakwah dan mengajak mereka untuk menerima Islam. Ini menunjukkan bahawa keperibadian Rasullullah saw dalam dakwah yang sentiasa istiqamah serius dan bersungguh-sungguh perlu dicontohi supaya dakwah yang disampaikan akan membekas dalam jiwa orang-orang yang di dakwahkan.