[Ath-Thariq] Solusi yang Bersifat Cabang dan Penyelesaian Tidak Rasional (Bahagian 1)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Dalam perbincangan sebelum ini kita menyatakan bahawa untuk mengubah realiti manusia semasa daripada realiti yang rosak dan rendah kepada realiti yang benar dan mulia, maka kita hendaklah mengubah tingkah laku manusia itu sendiri. Untuk mengubah tingkah lakunya, kita hendaklah mengubah pemikiran dan pemahamannya dengan perubahan yang kuat, kukuh, dan teguh, yang tidak akan goyah apabila dilanda gempa dan badai pemikiran, juga apabila ditimpa kesulitan dan kesengsaraan material.
Kami juga telah menjelaskan bahawa semua ini tidak mungkin dapat dicapai, kecuali dengan cara merealisasikan asas pemikiran, atau qaidah fikriyah (landasan ideologi) atau akidah aqliyah yang membentuk asas perubahan. Kami juga telah menjelaskan bahawa kebenaran asas pemikiran bergantung semata-mata kepada keberadaannya sebagai sebuah solusi meleraikan simpulan besar yang memuaskan akal dan selaras dengan fitrah, serta kami juga menerangkan maksud memuaskan akal dan kesesuaiannya dengan fitrah.
Berdasarkan hal ini dan setelah kita sampai pada tahap ini, maka yang apa yang tinggal untuk kita adalah meneliti pelbagai solusi penghurai yang dicadangkan sebagai asas perubahan atau kebangkitan, tidak lain adalah untuk mengetahui apa yang layak menjadi asas pemikiran atau qaidah fikriyah, agar ia dapat dijadikan asas kepada proses perubahan untuk mencapai kebangkitan, dan kemudian memilih solusi yang sah berdasarkan syarat-syarat yang benar, sambil kita beriltizam(berkomitmen) kepada solusi tersebut dan beraktiviti untuk merealisasikannya dalam arena kehidupan agar kita dapat membawa kepada kebangkitan yang benar.
Apabila kita meneliti pelbagai solusi yang dikemukakan atau dicadangkan untuk tujuan tersebut– iaitu perubahan dalam rangka mencapai kebangkitan– maka kita akan mendapati dua jenis solusi utama, iaitu:
Pertama, beberapa solusi dan pemikiran yang langsung tidak sesuai untuk dijadikan asas kebangkitan kerana ia bukan asas pemikiran dan tidak rasional serta diteliti agar dibuang begitu sahaja.
Kedua, beberapa solusi dan pemikiran rasional yang layak untuk dijadikan asas kebangkitan kerana ia merupakan akidah aqliyah dan asas berfikir, kemudian akan diteliti supaya boleh memilih mana yang sahih daripada pelbagai solusi tersebut.
Dalam artikel ini kami akan cuba memberikan pencerahan tentang jenis pertama dari pelbagai solusi ini, kami akan membincangkan jenis kedua kemudian dalam artikel seterusnya. InsyaAllah.
Terdapat dua kategori pemikiran yang termasuk dalam jenis pertama:
– Pemikiran cabang yang tidak menyeluruh
– Pemikiran menyeluruh yang tidak rasional
Mengenai kategori pertama, ia adalah cabang pemikiran bukan asas seperti, fanatisme kesukuan, regional, patriotisme, nasionalisme, eksistensialisme, nazisme, fasisme, kebangkitan dengan ekonomi, industri, sains, persenjataan, kekuatan, akhlak, kesaksamaan, harga atau nilai, dan sebagainya.
Semua idea ini dan seumpamanya tidak layak dijadikan asas untuk perubahan dan kebangkitan. Tidak ada yang lain kerana semua ini merupakan cabang pemikiran yang lahir dari pemikiran lain seperti sosialisme negara yang berasal dari kapitalisme dan eksistensialisme yang juga berasal dari kapitalisme, iaitu dibina di atas kapitalisme.
Seperti yang dipanggil eksistensialisme yang dikaitkan dengan Soren Kierkegaard dari Denmark yang mengakui kewujudan agama dan memisahkannya dari kehidupan, begitu juga dengan kapitalisme, atau apa yang dipanggil eksistensialisme atheis yang dikaitkan dengan Jean Paul Sartre dari Perancis dan Simone de Beauvoir yang menyeru untuk pemberontakan terhadap kekuasaan agama. Semua idea ini merupakan pemikiran cabang yang oleh kerana itu tidak layak dijadikan asas, kerana asas harus merupakan pemikiran yang menyeluruh yang dapat melahirkan dan menjadi tempat bergantung pada pemikiran lain, sehingga dapat mengatur manusia dalam kehidupannya dengan pasti dan selaras kerana semua tingkah laku mereka selaras dengan satu asas, bukan asas yang berbeza-beza di atas dasar “dari setiap negeri ada lagu tersendiri” yang mengakibatkan ketidakteraturan dan ketidakteguhan manusia.
Kategori ini tidak memberikan solusi untuk meleraikan simpulan besar, sedangkan menghuraikan simpulan besar adalah perkara penting yang menentukan kesesuaian mana-mana fikrah sebagai asas kebangkitan atau tidak, begitu juga nasionalisme dan patriotisme dan seumpamanya, tidak memberikan solusi untuk menghurai simpulan besar. Sekiranya ada, maka solusi tersebut berasal dari akidah atau asas yang lain maka lebih baik memperhatikan dan meneliti asas yang menjadi sumbernya.
Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#FU #SolusiBersifatCabang