Keadaan Ketika Berada di Dalam Majlis Ilmu VS Keadaan Ketika Berada Bersama Keluarga
Oleh: Ustaz Adi Victoria
Salah satu perkara yang boleh menguatkan iman dan semakin meningkatkan salah satunya adalah hadir di dalam majlis ilmu. Kerana ketika kita hadir di dalam majlis ilmu, yang dibicarakan adalah perkara agama, sehingga semangat keimanan atau yang disebut dengan jawil imani memang akan semakin terasa.
Namun terkadang, setelah pulang dari majlis, berkumpul dengan keluarga, jawil imani (suasana keimanan) tersebut tidak sama ketika bersama dengan keluarga. Hal ini mungkin dirasakan oleh sebahagian orang, namun mungkin tidak bagi sebahagian yang lain.
Hal seperti ini sebenarnya pernah dialami oleh dua orang sahabat Nabi Muhammad ﷺ yakni yang pernah dirasakan oleh Hanzalah dan Abu Bakar.
Sebagaimana riwayat dari Hanzalah Al Usayyidiy -beliau adalah di antara juru tulis Rasulullah ﷺ , dia berkata, “Abu Bakar pernah menemuiku, lalu dia berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzalah?” Aku menjawab, “Hanzalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakar berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sehinggakan kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakar pun menjawab, “Kami pun begitu.”
Kemudian aku dan Abu Bakar pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami tersibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.”
Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian mahu berterusan (istiqamah) dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidurmu dan di jalan. Namun Hanzalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Beliau mengulanginya sampai tiga kali. (HR. Muslim no. 2750).