[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Haji Wada’ – 10H
Haji Wada’ adalah haji yang terakhir dilakukan oleh Rasulullah SAW kerana baginda tidak berhaji lagi setelah tahun tersebut. Rasulullah saw berangkat ke Mekah pada tanggal 25 Zulkaedah tahun 10H.
Ibnu Ishaq berkata,”Rasulullah SAW melaksanakan ibadah haji, memperlihatkan manasik haji kepada kaum muslimin, menjelaskan sunnah-sunnah haji kepada mereka dan berkhutbah kepada mereka dalam khutbahnya yang didalamnya beliau menjelaskan banyak hal“.
Rasullullah SAW turut menyampaikan khutbah wada’ (perpisahan) yang cukup panjang. Ini kerana baginda sedar bahawa ini adalah hajinya yang terakhir sebelum baginda wafat.
Pada Haji Wada’ inilah Rasulullah menunjukkan kaifiyat atau cara-cara menunaikan haji mengikut syariat Muhammad SAW yang berbeza dari haji jahiliah dan syariat Nabi dan Rasul terdahulu. Sabda baginda:
«خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ»
“Ambillah dariku tata cara haji kalian” (HR Muslim dan an-Nasa’i).
Sejak dari itu, setiap tahun, umat Islam dari seluruh dunia berbondong-bondong menunaikan kewajipan ini dan merupakan impian setiap Muslim untuk menyambut seruan dari Allah SWT ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya.