[Kaedah-Kaedah Taklid] Orang Awam (‘Amiy) Wajib Meminta Fatwa dan Mengikuti Ulama
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningr
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Al- Mustashfa fi ‘Ilm Ushul menyatakan bahawa para sahabat telah terbiasa memberikan fatwa kepada orang-orang awam dan tidak pernah menyuruh orang-orang awam untuk meraih darjat mujtahid. Keadaan ini telah dimaklumi dan dituturkan berdasarkan riwayat-riwayat mutawatir dari kalangan ulama mahupun awam. Ini menunjukkan bahawa taklid telah dikenal dan berlangsung dengan baik pada masa sahabat mahupun masa-masa berikutnya.
Semua orang telah sepakat mengenai wajibnya orang awam memikul taklif-taklif syariat. Sedangkan mewajibkan mereka meraih kemampuan seperti seorang mujtahid adalah kemustahilan sebab hal ini pasti akan menyebabkan terputusnya kegiatan pertanian, perindustrian, dan lain-lain disebabkan kesibukan untuk menuntut ilmu hingga meraih darjat mujtahid. Lebih dari itu, keadaan ini sebaliknya akan menghancurkan kehidupan para ulama itu sendiri. Oleh sebab itu, tidak ada jalan lain bagi mereka (orang awam) selain taklid dalam masalah hukum syariat.
Imam Ghazali menyatakan lebih lanjut, “Taklid adalah menerima pendapat tanpa hujah. Sedangkan mereka (orang awam) wajib menerima pendapat yang difatwakan. Ketentuan ini didasarkan pada ijmak, sebagaimana wajibnya seorang hakim menerima kesaksian atau wajibnya kita menerima khabar ahad”.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat