[Kaedah-Kaedah Taklid] Boleh Bertaklid dalam Masalah Hukum Syariat
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Di dalam kitab Irsyaad al-Fuhuul, Imam Syaukani menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai bolehnya taklid dalam masalah syariat. Jumhur ahli ilmu berpendapat bahawa taklid dalam masalah syariat dilarang secara mutlak. Imam Al- Qarafi menuturkan, mazhab Malikiyyah dan majoriti ulama menyatakan wajibnya ijtihad dan membatilkan taklid. Imam Ibnu Hazm menyatakan konsensus para ulama untuk menolak taklid dalam masalah syariat.
Imam Al-Amidi memilih pendapat yang membolehkan seseorang bertaklid kepada seorang mujtahid. Beliau menyatakan, “Masyarakat awam dan orang-orang yang tidak memiliki keahlian untuk berijtihad, walaupun dia memiliki sebahagian ilmu yang boleh digunakan untuk berijtihad, wajib mengikuti pendapat para mujtahid dan mengambil fatwanya. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh ahli pentahkik dalam masalah usul”. Menurutnya, pendapat ini didukung oleh nas, ijmak, dan akal fikiran.
Adapun alasan-alasan yang membolehkan taklid dalam masalah syariat adalah sebagai berikut:
Pertama, Allah SWT telah berfirman,
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui.” (TMQ An-Nahl: 43).
Ayat ini berlaku umum untuk setiap mukhatib; sekaligus berisi perintah untuk bertanya atas sesuatu yang tidak diketahui. Walaupun konteks ayat ini berbicara mengenai penolakan terhadap orang-orang musyrik ketika mereka mengingkari keberadaan Rasul sebagai manusia biasa, tetapi lafaz yang terkandung di dalamnya bersifat umum. Dalam keadaan semacam ini, tafsir ayat ini perlu dikembalikan pada kaedah “al-‘ibrah bi ‘umuum al-lafdz laisa bi khushuush as-sabab” (pengertian itu didasarkan pada keumuman lafaz, bukan didasarkan pada khususnya sebab). Dengan kata lain, yang dijadikan dasar adalah keumuman lafaznya, bukan kekhususan sebabnya.
Oleh kerana itu, tidak boleh dinyatakan bahawa ayat ini hanya berhubungan dengan perintah kepada orang musyrik untuk bertanya kepada ahlulkitab agar mereka mengetahui bahawa Allah SWT tidak pernah mengutus seorang Rasul kepada umat manusia kecuali dari kalangan manusia. Dengan demikian, ayat ini merupakan perintah kepada orang-orang musyrik untuk bertanya mengenai masalah yang tidak diketahuinya kepada ahlu adz-dzikr.
Frasa “fas aluu” di sini datang dalam bentuk umum, maknanya adalah, “Bertanyalah kalian agar kalian mengetahui bahawa Allah tidak pernah mengutus Rasul kepada umat-umat sebelumnya, kecuali dari kaum lelaki (manusia biasa).” Dari sini boleh dilihat bahawa pertanyaan tersebut berhubungan dengan masalah pengetahuan (makrifat), tidak berkaitan dengan masalah “keimanan” (akidah). Sedangkan kata “ahlu adz-dzikr”, walaupun “musyar ilaihi (orang yang disebutkan)” adalah ahlulkitab, tetapi sighat-nya dalam bentuk umum. Oleh kerana itu, frasa “ahlu adz-dzikr” di sini berlaku umum untuk seluruh ahlu adz-dzikr dan tidak hanya berlaku untuk ahlul kitab.
Kaum muslim sendiri termasuk ahlu adz-dzikr. Hal seperti ini telah disebutkan di dalam Al-Quran,
“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (TMQ An-Nahl: 44).
Walhasil, orang-orang yang memahami hukum-hukum syarak tergolong ahlu adz-dzikr, baik yang memiliki ilmu ijtihad maupun ilmu talaqi. Faktanya, seorang muqallid biasa bertanya mengenai hukum-hukum Allah dalam satu atau beberapa masalah. Oleh kerana itu, ayat ini menunjukkan dengan jelas kebolehan taklid dalam masalah syariat.
Selain itu, kebolehan taklid juga ditunjukkan di dalam sunnah. Diriwayatkan dari Jabir RA., ada seorang lelaki ditimpa batu hingga kepalanya retak, lalu bermimpi junub. Kemudian dia bertanya kepada para sahabatnya, “Apakah kalian mendapatkan untukku rukhsah (keringanan) untuk bertayamum?” Mereka menjawab, “Kami tidak mendapatkan untukmu rukhsah, sedangkan engkau mampu menggunakan air.” Lelaki itu mandi, tetapi setelah itu meninggal dunia. Nabi SAW berkata, “Adalah cukup baginya bertayamum dan membalut kepalanya dengan kain, lalu menyapukan (debu) di atasnya dan membasuh seluruh badannya.” Beliau bersabda, “Mengapa mereka tidak bertanya terlebih dahulu jika tidak tahu. Sesungguhnya ubat ketidaktahuan hanyalah bertanya.”
Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah menganjurkan para sahabat untuk bertanya mengenai hukum syarak. Benarlah kata Asy-Sya’bi, “Ada enam orang sahabat Rasulullah SAW yang biasa memberikan fatwa kepada orang-orang, iaitu Ibnu Mas’ud, Umar bin al- Khattab, Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Tsabit, Ubay bin Ka’ab, dan Abu Musa al-Asyari’ RA.. Biasanya, tiga orang meninggalkan pendapat mereka dan mengikuti tiga orang yang lain, iaitu Abdullah meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat Umar, Abu Musa meninggalkan pendapatnya dan ikut pendapat Ali, dan Zaid meninggalkan pendapatnya dan ikut pendapat Ubay bin Ka’ab.” Ini menunjukkan bahawa para sahabat menjadi rujukan kaum muslim dan sebahagian mereka bertaklid kepada sebahagian yang lain.
Adapun celaan taklid yang terdapat di dalam Al-Quran al-Karim hanyalah berhubungan dengan perkara keimanan, bukan dalam masalah hukum-hukum syarak sebab ayat-ayat tersebut hanya berbicara pada konteks keimanan dan nasnya khusus membahas masalah keimanan. Lagi pula ayat-ayat tersebut tidak bisa dicari-cari illat-nya. Allah SWT berfirman,
“Dan demikianlah, Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkarta, “Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”. Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya‘” (TMQ Az-Zukhruf: 23—24).
“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya dan mereka melihat seksaan, dan ketika segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami.’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak keluar dari api neraka.” (TMQ Al-Baqarah: 166—167).
“‘Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadah kepadanya?’ Mereka menjawab, ‘Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya.’” (TMQ Al-Anbiya: 52—53).
Topik pembicaraan (maudhu) ayat-ayat ini hanya berkaitan dengan keimanan dan kekufuran saja. Keumumannya hanya meliputi masalah keimanan dan kekufuran saja dan tidak umum untuk segala sesuatu. Nas-nas ini juga tidak mengandung illat dan tidak boleh dicari-cari illat-nya.
Tidak boleh dikatakan bahawa yang dijadikan acuan adalah umumnya lafaz bukan khususnya sebab. Kaedah ini boleh diterapkan jika ayat-ayat tersebut dikaitkan dengan sebab nuzul, iaitu kejadian yang menjadi penyebab turunnya ayat. Namun, pernyataan itu tidak benar jika dikaitkan dengan maudhu’ (topik pembicaraan) ayat. Pada dasarnya yang menjadi acuan adalah konteks pembicaraan ayat tersebut, sedangkan keumumannya terbatas pada konteks pembicaraan ayat itu saja dan tidak umum meliputi segala hal yang tidak tercakup dalam konteks pembicaraannya.
Juga tidak boleh dinyatakan bahawa ayat tersebut konteks pembicaraannya berkaitan dengan keimanan dan kekufuran, tetapi penafsirannya juga berlaku untuk para muqallid, dengan asumsi bahawa hukum itu beredar sesuai dengan ada atau tidak adanya illat. Ini kerana ayat-ayat tersebut tidak mengandung illat dan tidak boleh dicari-cari illat-nya, baik nas-nas yang berasal dari Al-Quran mahupun sunnah. Oleh kerana itu, tidak ada satu nas pun yang melarang taklid dalam masalah syariat. Nas-nas maupun realitas kaum muslim pada masa Rasulullah dan para sahabat malah menunjukkan bolehnya taklid.
Taklid boleh saja terjadi pada muttabi‘ mahupun ‘aamiy. Ini kerana, Allah SWT menamakan taklid dengan ittibaa‘. Allah SWT berfirman,
“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya dan mereka melihat azab seksa itu, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.” (TMQ Al-Baqarah: 166]
Selain itu, hukum syariat yang diadopsi seseorang kadang-kadang diistinbatkan sendiri (mujtahid), atau kadang-kadang diistinbatkan oleh orang lain, kemudian dia mengikuti pendapat orang lain itu (muqallid). Sedangkan mengikuti pendapat orang lain adalah taklid, baik dengan hujah yang bersifat mengikat, mahupun tanpa hujah. Dengan demikian, muttabi‘ termasuk muqallid. Selain itu, ittibaa‘ adalah mengkaji pendapat seorang mujtahid yang meliputi kajian terhadap dalil-dalil yang digunakan istinbat oleh mujtahid tersebut tanpa harus memberikan justifikasi terhadap dalil-dalil tersebut, atau tanpa perlu terikat dengan dalil-dalil tersebut.
Akan tetapi, jika anda telah memberikan justifikasi terhadap dalil tersebut atau terikat dengan dalil tersebut, memahami arah istinbat dari hukum tersebut, dan anda sepakat terhadap istinbat hukum tersebut, anda mesti terikat dengan hujah yang membangun hukum tersebut. Walhasil, pendapat anda tak ubahnya pendapat seorang mujtahid. Dalam keadaan semacam ini, anda adalah seorang mujtahid, bukan seorang muttabi‘. Atas dasar itu, ittibaa‘ terkategori taklid, sedangkan muttabi‘ (orang yang melakukan kajian) termasuk seorang muqallid, walaupun dia memahami dalil.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat