[Kaedah-Kaedah Taklid] Larangan Bertaklid dalam Masalah Akidah
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Seorang muslim dilarang (diharamkan) taklid dalam masalah-masalah akidah. Majoriti ulama telah sepakat bahawa hukum bertaklid dalam masalah akidah adalah haram. Hanya sebahagian kecil ulama yang membolehkan taklid dalam masalah akidah, iaitu ‘Ubaidullah bin al-Hasan al-‘Anbari, kelompok Hasyawiyah, dan Ta’limiyyah. Sebahagian yang lain malah berpendapat wajibnya bertaklid dalam masalah akidah. Menurut mereka an-nadhr (pengamatan) dan ijtihad dalam masalah akidah adalah haram.
Imam Ar-Razi dalam kitab Al-Mahshuul dari majoriti fuqaha menyatakan bahawa taklid dalam masalah akidah adalah boleh. Namun, Ibnu Hajib tidak menuturkan pendapat ini kecuali dari Al-‘Anbari saja.
Sedangkan jumhur ulama berpendapat bahawa taklid dalam masalah akidah adalah haram. Abu Ishaq dalam Syarah at-Tartiib menuturkan tentang kesepakatan para ahli ilmu dari berbagai golongan mengenai haramnya taklid dalam masalah akidah. Abu al-Husain bin al-Qaththaan menyatakan, “Kami tidak melihat adanya ikhtilaf dalam hal haramnya taklid dalam masalah tauhid.”
Ibnu as-Sam’ani menuturkan bahawa seluruh ahli ilmu kalam dan sekelompok fuqaha telah sepakat mengenai haramnya taklid dalam masalah akidah. Menurut Imam al-Haramain, dalam Asy-Syaamil, tidak seorang pun yang berpendapat bolehnya taklid dalam masalah akidah kecuali kelompok Hanabilah. Sedangkan menurut Imam Al-Isyfiraini yang berpendapat bolehnya taklid dalam masalah akidah hanyalah ahli zahir. “
Menurut Imam Al-Amidi pendapat yang terkuat adalah pendapat yang melarang taklid dalam masalah akidah. Pendapat ini juga dipilih oleh Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, dan Imam Hanbal.
Adapun alasan-alasan yang melarang taklid dalam masalah akidah adalah sebagai berikut:
Pertama, sesungguhnya pengamatan adalah wajib, sedangkan taklid telah meniadakan kewajipan untuk melakukan pengamatan dan penelitian, padahal hal semacam ini meninggalkan pengamatan dan penelitian- adalah perbuatan haram sebab ia telah meninggalkan kewajipan. Dalil wajibnya melakukan pengamatan adalah firman Allah Swt.,
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (TMQ Al-Baqarah: 164).
Rasulullah saw. bersabda, “Celakalah bagi siapa saja yang membaca ayat ini, tetapi tidak pernah memikirkan isinya.” Hadis ini merupakan ancaman bagi siapa yang meninggalkan pengamatan dan pengkajian. Walhasil, hukum pengamatan dan pengkajian adalah wajib.
Kedua, menurut Imam Al-Amidi, para ulama salaf bersepakat mengenai wajibnya makrifat kepada Allah Swt., baik dalam hal yang boleh bagi Allah dan apa yang tidak boleh bagi Allah Swt.. Barang kali ada yang mengatakan bahawa makrifat kepada Allah juga boleh ditempuh dengan taklid, pendapat ini tertolak kerana alasan-alasan berikut ini: (1) orang yang memberikan fatwa dalam masalah akidah tidaklah maksum dan tidak boleh dianggap maksum kerana dia tidak maksum maka berita yang disampaikannya tidak wajib untuk diimani. Jika berita yang disampaikannya tidak wajib diimani, bermakna berita yang disampaikannya tidak berfaedah kepada ilmu (keyakinan). (2) sekiranya taklid itu menghasilkan ilmu (keyakinan), tentunya bagi orang yang mengikuti pendapat bahawa alam semesta itu huduts (baru atau diciptakan) akan memperoleh keyakinan sama seperti orang yang mengikuti pendapat bahawa alam semesta itu qadam (awal atau pertama kali). Hal semacam ini adalah sesuatu yang mustahil sebab dua keyakinan semacam ini tidak mungkin dikompromikan. (3) sekiranya taklid itu menghasilkan ilmu (keyakinan), padahal keyakinan dalam masalah seperti itu kadang-kadang bersifat dharuri atau nadzari: tentunya keyakinan (ilmu) tersebut tidak boleh bersifat dharuri. Jika bersifat dharuri, tentunya akan terjadi perbezaan di kalangan manusia, padahal dalam masalah akidah tidak boleh ada perbezaan.
Ketiga, Al-Quran telah mencela taklid dalam masalah akidah, tetapi tidak dalam masalah syariat. Adapun nas yang melarang taklid dalam masalah akidah adalah sebagai berikut,
“Bahkan mereka berkata, “Sesungguhnya kamı mendapati pada bapa kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk dengan mengikuti jejak mereka. Dan demikianlah bahawa Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun di suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata, “Sesungguhnya kami mendapati pada bapa kami menganut suatu agama, dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka. (Rasul itu) berkata, “Apakah (kamu akan mengikutinya juga). Sekalipun aku membawa untukmu (agama) yang lebih (nyata) memberi petunjuk daripada apa yang kami dapati yang dianut oleh bapak-bapak kalian?”
Ayat ini jelas-jelas mencela orang-orang yang bertaklid dalam masalah keyakinan dan masih banyak ayat-ayat lain yang mencela kaum muslim taklid dalam masalah akidah. Selain itu, berfikir tentang masalah akidah adalah mudah sebab dalil-dalil yang berkenaan dengan akidah sangat jelas (tidak perlu ijtihad). Imam Ahmad menyatakan, “Tanda yang menunjukkan dangkalnya ilmu seseorang adalah taklid kepada orang lain dalam masalah akidah.”
Menurut Abu Manshur, para ulama berbeza pendapat mengenai orang yang berakidah dengan jalan taklid atau tidak memahami dalil-dalilnya. Majoriti ulama berpendapat, mereka tetap mukmin yang akan mendapatkan syafaat, tetapi berpredikat fasik kerana meninggalkan istidlal (proses berdalil). Pendapat semacam ini dipegang oleh majoriti ulama hadis. Imam Al-Asy’ari dan majoriti Muktazilah menyatakan bahawa seseorang tidak akan mendapat predikat mukmin hingga dia meninggalkan taklid.
Namun, Imam Syaukani membantah pendapat itu dengan menyatakan bahawa mereka tetap mukmin dan tidak boleh digelarkan dengan gelar fasik sebab syariat tidak membebani seseorang dengan sesuatu yang tidak sanggup dipikulnya.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat