[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara Agama (Bahagian 6/6)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan daripada “Dialog Antara Agama” Bahagian 5/6.)
Ikatan primordial atas dasar kewarganegaraan (rabithah qawmiyah) atau persaudaraan (rabithah usriyah), seperti ikatan “Anak-anak dan Cucu-cucu Ibrahim AS” tidak dibenarkan oleh syariat sebagai asas untuk pengaturan interaksi antara manusia.
Allah SWT berfirman, “Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum kerabat kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah tangga yang kamu cintai lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan jihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya.’ Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” [TMQ At-Taubah (9): 24].
Jelaslah bahawa perintah Allah SWT mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada hubungan primordial berdasarkan kewarganegaraan, persaudaraan, atau hubungan berdasarkan aspek kemaslahatan. Allah SWT telah menjelaskan kepada para nabi terdahulu betapa lemahnya hubungan seperti ini.
Allah SWT berfirman, “Nuh berdoa kepada Tuhannya, seraya berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku adalah sebahagian daripada keluargaku, dan sesungguhnya janjiMu adalah benar, dan Engkaulah Hakim yang Maha Adil.'” Allah kemudian berfirman, “Wahai Nuh, (ingatlah) sesungguhnya dia bukanlah termasuk ahli keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), dan sesungguhnya perbuatannya bukanlah baik.” [TMQ Hud (11): 45—46].
Allah SWT juga berfirman mengenai Ibrâhîm AS, “Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikan dirimu imam bagi seluruh manusia.” Ibrâhîm kemudian berkata, “(Aku berharap) juga daripada keturunanku.” Allah berfirman, “JanjiKu ini tidak berlaku atas orang-orang yang zalim.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 124].
Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa anak Nabi Nuh AS menurut hukum Islam tidak dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya. Ini kerana dia tidak beriman dengan risalah yang diturunkan oleh Allah kepada bapanya. Begitu juga, orang-orang zalim dari keturunan Nabi Ibrahim AS. Mereka dikecualikan daripada kepimpinan umat yang dijanjikan oleh Allah jika mereka tidak mengikuti risalah yang diturunkan oleh Allah kepada bapa mereka, iaitu Ibrahim AS.
Oleh itu, propaganda idea semasa iaitu “Anak-anak dan Cucu-cucu Ibrahim AS.” sebenarnya adalah propaganda jahiliah yang berasaskan motif yang bersifat politik dan sangat berat sebelah. Dengan demikian, jelas dilarang bagi umat Islam untuk menyokong dan mempromosikannya. Tujuan sebenar idea ini antara lain adalah untuk melancarkan perang terhadap Islam, memalingkan umat Islam daripada agama mereka, dan mewajarkan proses perdamaian yang khianat antara umat Islam dan Yahudi kafir. Ia juga memaksa umat Islam untuk menyerahkan tanah Palestin yang telah mereka rampas, menjalin hubungan diplomatik dengan mereka, dan menerima kewujudan negara Israel di Timur Tengah.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi Berbahaya untuk Menyerang Islam dan Memperkukuhkan Peradaban Barat.
#PersepsiBerbahaya #Pluralisme #DialogAntaraAgama #AbrahamicDialogue #RacunPemikiran