[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara Agama [Bahagian 3/6]
Penulis: Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Dialog Antara Agama” Bahagian 2/6.)
Pandangan Hakiki Barat terhadap Islam
Sesungguhnya Barat adalah pihak yang selama ini menyerukan dialog dengan kaum muslim dan memimpin pelbagai persidangan dialog antara agama. Pada hakikatnya, mereka sentiasa memandang Islam dengan pandangan permusuhan. Pandangan inilah yang sekaligus menjadi motif bagi dialog antara agama, serta dijadikan dasar untuk mengawal dan mengatur kegiatan tersebut. Ensiklopedia Kebudayaan Perancis yang menjadi rujukan banyak peneliti, menerangkan Muhammad Rasulullah SAW sebagai pembunuh, penculik para wanita, dan musuh terbesar bagi akal umat manusia.
Demikian halnya dengan majoriti kesusasteraan akademik di Eropah Barat, juga menjelaskan sifat Rasulullah SAW, Islam, dan kaum muslim dengan sifat-sifat yang sangat keji. Sementara itu, dalam buku The End of History karya pemikir Amerika Francis Fukuyama terdapat sebuah pernyataan, “Sistem kapitalisme adalah babak akhir yang abadi bagi umat manusia di bumi. Akan tetapi, Islam, meskipun dalam keadaan lemah dan tercerai-berai, sesungguhnya sedang mengancam agama baru yang menang ini (kapitalisme).”
Setiausaha NATO Willie Claise juga pernah mengatakan, “Islam fundamentalis adalah bahaya yang mengancam geopolitik masa depan.”
Orientalis Bernard Lewis juga menyatakan pandangannya tentang Islam dan kapitalisme dengan ungkapan, “Kedua-duanya bertentangan antara satu sama lain. Tidak mungkin ada dialog di antara keduanya.”
Sementara itu, profesor ilmu-ilmu politik dan pengarah Institut John M. Ulin untuk Pengajian-Pengajian Strategik di Universiti Harvard Amerika Samuel P. Huntington menyatakan bahawa, “Sesungguhnya pertembungan antara peradaban (clash of civilization) nanti akan mendominasi politik luar negeri. Batas-batas pemisah antara peradaban pada masa hadapan akan menjadi batas-batas konfrontasi antara peradaban.”
Beliau menambah, “Agama telah membezakan manusia dengan amat tegas dan jelas. Seseorang boleh sahaja separuh Perancis dan separuh Arab. Akan tetapi, sangat sulit seseorang menjadi separuh katolik dan separuh muslim.”
Jika demikian pandangan Barat yang hakiki, lalu di mana sebenarnya posisi dialog yang mereka serukan kepada kita, kaum muslim?
Jika pelbagai pernyataan di atas dikaitkan dengan pelbagai aksi permusuhan yang dilakukan oleh Barat untuk melawan Islam dan umatnya, seperti Perang Salib, pembasmian umat Islam di Sepanyol, penghancuran Khilafah, pendirian negara Yahudi di Palestin, pemberian predikat “terorisme” dan “ekstremisme” terhadap Islam dan pelbagai gerakannya, nescaya kita akan dapat memahami sasaran-sasaran dari dialog antara agama yang diselenggarakan dan ditujukan kepada kaum muslim oleh kafir Barat.
Beberapa Sasaran Dialog Antara Agama
Sesungguhnya asas sasaran yang hendak diwujudkan oleh orang-orang Barat kapitalis dari dialog antara agama dan antara peradaban itu adalah menghalang kembalinya Islam ke dalam realiti kehidupan sebagai suatu sistem kehidupan yang menyeluruh. Mereka beralasan bahawa sistem Islam akan selalu menjadi ancaman bagi kelestarian ideologi dan peradaban Barat kapitalis, serta akan dapat memusnahkan segala kepentingan dan pengaruh mereka.
Sejumlah sasaran sampingan untuk merealisasikan asas sasaran dari dialog tersebut agak cukup banyak. Mereka, antara lain, berusaha mewarnai dunia dengan warna peradaban kapitalisme, terutama di wilayah-wilayah yang menjadi penempatan hidup kaum muslimin. Usaha ini dimaksudkan untuk mengusir peradaban Islam sehingga Barat dapat menghapus tsaqâfah Islam dengan lebih mudah dari benak kaum muslim.
Sasaran ini diusahakan terwujud dengan cara menggoncang kepercayaan kaum muslim terhadap tsaqafah Islam, melalui sumber-sumber dan asas-asasnya. Cara ini bermaksud untuk menyingkirkan Islam dari medan pertarungan atau konfrontasi antara peradaban. Dengan cara seperti ini, Islam disterilkan dari ciri khasnya sebagai sebuah ideologi politik (akidah siyasiyah), sebuah ciri Islam terpenting yang membezakannya dari agama-agama lain. Walhal, ciri Islam sebagai ideologi politik inilah yang telah mewajibkan dirinya mendirikan Negara Khilafah. Ini adalah sebuah negara yang akan mengatur seluruh urusan umat sesuai dengan hukum-hukum Islam dan mengembang risalah Islam kepada seluruh manusia.
Sasaran lainnya adalah membentuk keperibadian muslim dengan format keperibadian yang baru, iaitu peribadi yang tidak akan merasa bersalah jika meninggalkan kewajipan dan mengerjakan keharaman. Mereka juga berusaha merosak perasaan Islamik pada diri seorang muslim dan membunuh semangat (ghirah) Islam yang ada dalam jiwanya. Dengan cara begitu, muslim tersebut tidak mampu lagi membenci kekufuran dan orang-orang kafir, serta tidak mahu memerintahkan kebaikan (Islam) dan mencegah kemungkaran (kekufuran).
Sasaran lain lagi adalah melenyapkan ketahanan budaya (hadhârah) Islam dalam tubuh kaum muslim yang justeru menjadi unsur penangkal terhadap setiap unsur pemikiran asing, sekaligus menghapus “penghadang-penghadang” Islam yang terwujud dalam bentuk pola fikir (‘aqliyah) dan pola jiwa (nafsiyah). Hal ini kerana ia dianggap berpotensi mengancam kewujudan peradaban kapitalis di negeri-negeri Islam.
Dengan yang demikian, pemeliharaan atas segala pengaruh dan kepentingan mereka diharapkan dapat berlangsung dengan mudah, sehingga seterusnya akan dapat menjamin kelestarian dan kesinambungan keberadaan mereka. Lebih dari itu, dialog antara agama ini telah dibentuk khas oleh orang-orang kafir Barat. Mereka didukung oleh para penguasa negeri-negeri Islam yang menjadi agen mereka, serta dibantu oleh kroni mereka dari kalangan ulama dan intelektual. Aksi ini ditujukan pula demi menciptakan seumpama “agama baru” bagi kaum muslim, iaitu sebuah “agama” yang didasarkan pada akidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan).
Sesungguhnya akidah sekularisme telah menetapkan bahawa pihak yang berkuasa membuat hukum adalah hak manusia, bukan hak Allah SWT yang telah menciptakan manusia. Tindakan para pembentuk dialog antara agama ini jelas kelihatan merupakan contoh yang tepat dari apa yang dipaparkan dalam firman Allah SWT., “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kalian sampai mereka dapat mengembalikan kalian dari agama kalian (kepada kekafiran) seandainya mereka mampu.” [TMQ Al-Baqarah(2): 217].
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.” [TMQ Al-Baqarah(2): 120].
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
(Bersambung ke “Dialog Antara Agama” Bahagian 4/6.)
#PersepsiBerbahaya #Islamophobia #WaronTerrorism #PeradabanKapitalisme #PerangIdeologi #Moderate #Liberalisme #RacunPemikiran #Pluralisme