[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara Agama (Bahagian 4/6)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Dialog Antara Agama” Bahagian 3/6. )
Peradaban Islam yang berasaskan akidah Islam adalah berbeza dengan peradaban kapitalisme yang berasaskan akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan). Pada hakikatnya titik pertemuan antara keduanya tidak mungkin wujud. Oleh yang demikian, dialog antara agama yang dijalankan oleh pihak kafir Barat itu sebenarnya lebih bertujuan agar umat Islam meninggalkan persepsi-persepsi Islam, lalu menggantikannya dengan persepsi-persepsi Barat yang berlandaskan kapitalis.
Hakikatnya, Barat sendiri amat memahami bahawa mengkompromikan dua ideologi yang bertentangan, iaitu antara Islam dan kapitalisme, adalah mustahil. Oleh itu, dialog antara agama dan antara peradaban untuk mencari titik pertemuan di antara agama atau peradaban yang ada, demi mencipta sebuah peradaban manusia yang baharu hanyalah satu ilusi. Sepatutnya, yang perlu dianjurkan adalah konfrontasi pemikiran (as-sira’ al-fikrî) antara pelbagai agama dan peradaban yang sedia ada.
Dengan demikian barulah dapat diketahui yang mana benar dan yang mana batil, yang mulia dan yang hina, serta yang baik dan yang buruk. Allah SWT berfirman, “Buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya, sementara yang memberi manfaat kepada manusia akan tetap ada di bumi.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 17].
Dialog antara agama yang dianjurkan oleh Barat kepada kita sesungguhnya merupakan dialog yang bersifat memihak berat sebelah. Dialog ini dipelopori oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk menghancurkan Islam seiring dengan peradabannya serta umat Islam sebagai para penganutnya. Oleh itu, umat Islam hendaklah bersiap sedia melengkapi segala sarana bagi menghadapi pertarungan atau konfrontasi melawan musuh-musuh Islam. Hal ini hanya dapat direalisasikan melalui pertubuhan kembali Negara Khilafah.
Negara Khilafah inilah yang akan turun secara langsung ke dalam medan pertarungan fizikal atau jihad (as-sira’ al-mâdî), mahupun medan pertarungan pemikiran (as-sira’ al-fikrî). Semua usaha ini ditujukan bagi menyebarluaskan peradaban Islam yang bermutu tinggi, sekaligus memusnahkan peradaban kapitalisme yang palsu dan rosak.
Wacana tentang Anak Cucu Nabi Ibrahim
Wacana atau perbincangan mengenai anak cucu Nabi Ibrahim lebih ditujukan untuk memperkukuh legitimasi dialog antara tiga agama (Islam, Kristian, dan Yahudi). Wacana ini berasaskan kepada anggapan bahawa ketiga-tiga agama samawi ini telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Isa AS, dan Musa AS yang masing-masing mempunyai bapa yang sama, iaitu Nabi Ibrahim AS. Oleh itu, penganut ketiga-tiga agama ini sepatutnya hidup berdampingan secara damai kerana mereka secara asalnya berasal daripada satu keturunan.
Ini adalah salah satu segi. Dari segi lain, wacana atau perbincangan tentang anak cucu Ibrahim ini dimaksudkan untuk menyokong apa yang disebut dengan “proses perdamaian” dan pembukaan hubungan diplomatik dengan Yahudi. Sekaligus juga melontarkan satu hujah daripada sejumlah hujah konspirasi Barat-Yahudi yang ditujukan kepada Islam dan umat Islam. Antaranya ialah merampas Palestin dan Masjid al-Aqsa, menusuk pisau beracun ke dada umat Islam, serta menjustifikasi kerjasama antara orang-orang Yahudi, Kristian, dan Islam. Semua ini bertujuan untuk menjalankan otoriti keagamaan dalam pengurusan kota Baitulmaqdis yang telah dianggap sebagai tempat suci bagi tiga agama.
Mereka beralasan bahawa orang-orang Yahudi, Kristian, dan kaum Muslim pada asasnya adalah orang-orang Islam. Masing-masing mereka berasal dari satu agama, iaitu Agama Abraham (Agama Ibrahim). Sementara itu, Ibrahim sendiri adalah Bapa kepada para Nabi (Abū al-Anbiya’). Bagi membongkar serta membantah kekeliruan pemikiran mereka, tiga perkara perlu dijelaskan seperti berikut.
Pertama, aspek bahasa (baca: etimologi).
Secara etimologi, perkataan aslama dalam makna umumnya adalah inqâda (tunduk, patuh, berserah diri). Al-Quran telah menggunakan makna bahasa ini dalam kisah para Nabi dan pemberian sifat kepada mereka sebagai orang-orang yang tunduk patuh kepada perintah Allah SWT.
Allah SWT telah berfirman melalui lisan Nabi Nuh AS, nabi sebelum Nabi Ibrahim AS, “balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.” [TMQYunus (10): 72].
Allah SWT berfirman melalui lisan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu.” [TMQ Al-Baqarah(2): 128].
Allah SWT juga berfirman tentang kaum Nabi Luth AS, “Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Luth).” [TMQ Adz-Dzāariyaāt (51): 36].
Allah SWT pun berfirman melalui lisan Nabi Musa AS, “Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.” [TMQ Yūnus(10): 84].
Sementara itu, melalui lisan kaum Hawariyyun (para pengikut setia Nabi Isa AS,) Allah SWT berfirman, “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)” [TMQ Ali Imran (3): 52].
Dengan demikian, jelas bahawa perkataan muslimun yang terdapat dalam beberapa ayat tersebut maknanya adalah mungâdûn (orang-orang yang patuh, tunduk, dan berserah diri). Ertinya, mereka bukanlah bermaksud menganut satu agama yang sama, iaitu Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Alasannya, Islam belum diperkenalkan kepada mereka dan mereka memang belum diperintahkan untuk menganut agama Islam.
Setiap kaum daripada mereka mempunyai seorang rasul yang diutus khusus untuk mereka. Setiap rasul tersebut menyeru syariat (aturan) tertentu kepada mereka. Allah SWT berfirman, “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” [TMQ Al-Ma’idah (5): 48].
Ketika wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan wahyu tersebut telah dijuruskan perhatiannya pada sejumlah kata Arab tertentu. Melalui wahyu tersebut, sejumlah kata dalam bahasa Arab tersebut mengalami transformasi makna, iaitu daripada makna aslinya ke makna syarie yang dikehendaki. Ini sebagaimana dijelaskan oleh nas-nas syariat yang tercantum dalam Al-Quran dan Sunnah. Di antara kata-kata yang telah mengalami transformasi atau pemindahan makna, ialah perkataan Islam.
Secara etimologi, perkataan Islâm bermakna inqiyâd (tunduk, patuh, berserah diri). Namun demikian, secara terminologi dalam konteks syariat, perkataan tersebut bermaksud agama yang diturunkan Allah kepada RasulNya Muhammad SAW. Ini bermakna, sebagai contoh, terdapat dalam firman Allah SWT yang ditujukan kepada seluruh manusia hingga Hari Kiamat, “… dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [TMQ Al-Ma’idah (5) : 3].
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghantam Islam dan Mengokohkan Peradaban Barat.
(Bersambung ke “Dialog Antara Agama” Bahagian 5/6.)
#PersepsiBahaya #DialogAntaraAgama #Pluralisme #RacunPemikiran