[Tafsir Al-Quran] Tafsir Al-Quran Tematik: Perbezaan antara “Imra’ah, Zaujah, Sahibah” dalam Al-Quran
Al-Quran menggunakan tiga lafaz: imra’ah, zaujah, dan sahibah. Namun, adakah konotasi setiap lafaz ini sama? Atau ia berbeza? Adakalanya isteri disebut zaujah, kadangkala imra’ah. Mengapa dibezakan? Mari kita hadam dan analisa dengan baik, perbezaan antara setiap lafaz ini dalam al-Quran:
Pertama, imra’ah (wanita). Jika dia mempunyai hubungan fizikal, antara lelaki dan wanita, tetapi tidak ada keharmonian dan keserasian pemikiran, wanita ini disebut imra’ah.
Kedua, zaujah (wanita yang menjadi isteri). Jika ada hubungan fizikal, saling mengasihi, kerana adanya keserasian pemikiran, keharmonian, dan cinta kasih. Wanita ini disebut zaujah [isteri/pasangan hidup]. Mari kita perhatikan, apabila Allah SWT menyebut,
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ
“Allah telah membuat perumpamaan untuk orang-orang kafir, wanita [isteri] Nuh dan wanita [isteri] Luth.” [TMQ At-Tahrim (66): 10].
Allah tidak menyebut “zaujah Nuh” atau “zaujah Luth”, kerana perbezaan akidah antara mereka. Mereka, Nuh dan Luth ‘alaihima as-salam, adalah para Nabi; dan [mereka] beriman. Sedangkan isteri-isteri mereka tidak beriman. Begitu juga ketika Allah menyebut,
وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِّي وَلَكَ ۖ
“Dan berkatalah wanita [isteri] Fir’aun, ‘(Dia) adalah penyejuk mata bagiku dan bagimu.’” [TMQ Al-Qasas (28): 9].
Allah tidak menyebut “zaujah Firaun” kerana Firaun tidak beriman [kafir], sedangkan isterinya telah beriman. Sementara itu, perhatikanlah beberapa kedudukan apabila al-Quran yang mulia menggunakan lafaz “zaujah” [isteri/wanita yang menjadi pasangan hidup], Allah SWT berfirman,
وَقُلْنَا يٰٓاٰدَمُ اسْكُنْ اَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
“Dan Kami [Allah] berfirman, ‘Wahai Adam, tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 35].
يٰٓاَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِّاَزْوَاجِكَ
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu…”[TMQ Al-Ahzab (33): 28].
Itu semua kerana Allah SWT ingin menunjukkan bahawa terdapat keserasian pemikiran dan keharmonian yang sempurna antara mereka. Namun, kadangkala Allah menggunakan lafaz “imra’ah” [wanita], dengan konotasi isteri yang seagama, seperti yang digunakan melalui lisan Nabi Zakaria AS, walaupun pemikirannya sama dan ada keharmonian antara mereka. Allah SWT berfirman,
وَكَانَتِ امْرَاَتِيْ عَاقِرًا
“Isteriku adalah seorang wanita yang mandul.” [TMQ Maryam (19): 5].
Apa sebabnya? Rupa-rupanya pada masa itu ada kemungkinan berlaku masalah dalam hubungan antara Zakaria dan isterinya kerana kemandulan, lalu Nabi Zakaria mengadukan harapannya kepada Allah SWT. Namun, selepas Allah menganugerahkan seorang anak lelaki kepadanya, iaitu Saidina Yahya AS, maka ungkapan al-Quran yang digunakan juga berbeza. Allah SWT berfirman,
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَىٰ وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ ۚ
“Maka Kami perkenankan doanya dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung.” [TMQ Al-Anbiya’(21): 90].
Dalam konteks lain, Allah SWT juga mengupas mengenai rumah tangga Abu Lahab, seraya berfirman,
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
“Dan (begitu juga) isterinya, pembawa kayu api.” [TMQ Al-Lahab (111): 4].
Al-Quran ingin menunjukkan bahawa antara mereka sebenarnya tiada persefahaman dan keserasian.
Ketiga, lafaz “sahibah” [pendamping]. Al-Quran menggunakan lafaz “sahibah” ketika hubungan secara fizikal dan pemikiran antara suami isteri tersebut telah putus. Oleh itu, untuk menggambarkan fenomena pada hari kiamat, hampir sebahagian besarnya al-Quran menggunakan lafaz “sahibah”. Allah SWT berfirman,
“Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya.” [TMQ ‘Abasa (80): 24-26].
Ini kerana hubungan fizikal dan pemikiran antara mereka telah terputus. Pertama, kerana kematian; dan kedua kerana huru-hara pada hari kiamat. Untuk menegaskannya, Allah SWT dengan tegas berfirman,
أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صَاحِبَةٌ ۖ
“Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri?”[TMQ Al-An’am (6): 101].
Mengapa Allah tidak menggunakan lafaz “zaujah” atau “imra’ah”? Itu semua untuk menafikan kewujudan hubungan fizikal dan pemikiran dengan penafian yang pasti, baik secara global mahupun secara terperinci. Maha Suci Allah SWT, mukjizat al-Quran yang luar biasa.
Sumber: https://tsaqofah.id/tafsir-al-quran-tematik-beda-imraah-zaujah-shahibah-dalam-al-quran/ dengan pelarasan editorial.