[Kisah Inspirasi] Aisyah al-Qurthubiyah, Ulama Wanita “Ulat Buku”
Penulis: Chusnatul Jannah
Di masa wanita-wanita Eropah hidup di dalam zaman kegelapan, terdapat seorang muslimah daripada Andalusia yang memiliki bakat kepintaran dalam penulisan. Disebabkan kegemarannya itulah, beliau memiliki sebuah perpustakaan besar. Beliau adalah Aisyah al-Qurthubiyah yang lahir pada abad ke-10 Masihi dimana pada ketika itu Islam berada di tahap kegemilangan pentas dunia. Pada ketika itu orang-orang Eropah menggelar zaman tersebut sebagai “Dark Ages” (Zaman Gelap). Walaubagaimanapun, kegelapan itu tidak berlaku di Andalusia. Disinilah zaman kegemilangan Islam menjadi kiblat dan mercusuar tamadun dunia.
Keperibadian Aisyah
Nama penuh beliau adalah Aisyah binti Ahmad al-Qurthubiyah. Beliau merupakan tokoh awam, penyair, dan seorang sasterawati yang terkenal di Cordoba, Sepanyol. Disebabkan pengetahuan dan wawasannya yang luas itulah yang melayakkan dirinya digelar syughufah bi al-qira’ah wa al-mu’asanah bil al-kutub atau “si ulat buku”, yang bermaksud wanita yang “gila” membaca buku.
Aisyah memiliki perpustakaan peribadi yang dipenuhi buku-buku dan manuskrip yang jarang dimiliki oleh orang lain. Jika boleh digambarkan, seolah-olah setiap ruang rumahnya dipenuhi timbunan buku-buku. Sebahagian koleksi bukunya, beliau hadiahkan kepada perpustakaan Cordoba. Aisyah al-Qurthubiyah memiliki tulisan tangan yang sangat cantik. Sehinggakan Khalifah Andalusia pada ketika itu, Abdurrahman III yang bergelar An-Nashir (sang pemenang) merupakan salah seorang yang mengagumi Aisyah. Beliau juga memberi perhatian dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada Aisyah kerana keupayaan ilmu pengetahuan beliau yang menonjol di kalangan para intelektual lelaki.
Seorang sasterawan dan sejarawan yang hebat, Abu Hayyan at-Tauhidi menulis dalam bukunya yang bertajuk Al-Muqtabas membuktikan keupayaan wanita pintar seperti Aisyah. Beliau menyatakan kekagumannya yang luar biasa terhadap Aisyah. Beginilah kalimat yang disampaikannya, “Tiada sesiapa pun di Andalusia pada masa itu yang mampu mengatasi kebolehan Aisyah al-Qurthubiyah dalam pelbagai aspek seperti ilmu pengetahuan, sastera, puisi, kefasihan bertutur, dan keluhuran keperibadiannya.”
Seorang penulis buku Al-Maghrib atau Sejarah Maghribi, menggelar Aisyah sebagai innaha min ‘ajaib zamaniha wa gharaib awaniha (wanita yang paling menawan dan unik pada zamannya).
Kenyataan Ibnu Hayyan mengambarkan perilaku Aisyah sebagai keperibadian yang penuh inspirasi. Ibnu Hayyan menyebut, “Aisyah memiliki gudang yang penuh dengan buku-buku. Beliau juga mahir dalam bidang penulisan mushaf dan journal.” Aisyah meninggal dunia pada 1010 Masihi. Di kala ini, figura Aisyah al-Qurthubiyah telah dimasukkan ke dalam kategori Muslim Terkemuka di Saudi Aramco World edisi khas 2002.
Hikmah
Kisah Aisyah al-Qurthubiyah memberi pengajaran yang penting. Wanita di zaman tamadun Islam merupakan penuntut ilmu yang tekun, pelajar yang baik, mampu mengimbang peranan sebagai figura awam dan peranan domestiknya mengikut kesesuaian.
Wanita di bawah naungan sistem Islam dipenuhi dengan hak mereka. Mereka mendedikasikan pengetahuan mereka untuk disampaikan kepada generasi seterusnya. Wanita di dalam penjagaan Islam adalah wanita yang berpendidikan dan progresif, baik perilakunya mahupun intelektualnya. Kepintaran mereka digunakan untuk menpersiapkan generasi terbaik sebagai pembina tamadun Islam.
*Dinarasikan ulang dari pelbagai sumber