[Kaedah-Kaedah Taklid] Realiti Taklid Seorang Mujtahid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Pada dasarnya, taklid adalah mengikuti pendapat orang lain tanpa hujah yang bersifat mengikat. Oleh kerana itu, sisi yang dipentingkan dalam taklid adalah mengikuti pendapat orang lain, tanpa memandang lagi siapa yang melakukan taklid, apakah seorang mujtahid atau muqallid.
Seorang mujtahid diperbolehkan mengikuti pendapat mujtahid lain dalam satu masalah, walaupun dia sendiri ahli dalam berijtihad. Benar, pada konteks awalnya, seorang mujtahid jika telah berijtihad hingga melahirkan sebuah hukum, dia dilarang mengikuti pendapat mujtahid lain. Namun, jika dia tidak melakukan ijtihad dalam suatu masalah, dia diperbolehkan bertaklid kepada mujtahid yang lain. Dalam keadaan semacam ini, mujtahid tersebut disebut muqallid dalam satu masalah itu saja. Ini menunjukkan bahawa suatu pendapat yang digali oleh seorang mujtahid kadang-kadang diikuti oleh seorang mujtahid lain atau diikuti oleh seorang muqallid.
Seorang mujtahid yang memiliki kemampuan dan keahlian ijtihad dalam suatu masalah atau semua hal, jika dia berijtihad hingga melahirkan suatu hukum syariat, dia tidak boleh bertaklid kepada mujtahid lainnya. Dia juga tidak diperbolehkan meninggalkan hasil ijtihadnya, kecuali kerana empat sebab:
- Ijtihadnya Terbukti Lemah.
Terbukti dengan sangat jelas bahawa dalil-dalil yang dijadikan sandaran pendapatnya lemah, sedangkan dalil yang diketengahkan oleh mujtahid lain lebih kuat. Dalam situasi semacam ini, seorang mujtahid wajib meninggalkan pendapatnya dan mengikuti dalil yang lebih kuat.
Haram baginya tetap berkeras dengan pendapatnya yang telah terbukti lemah. Dia tidak boleh menolak untuk mengambil hukum baru yang digali oleh mujtahid baru, atau hukum yang belum pernah dinyatakan oleh para mujtahid sebelumnya sebab yang jadi penanda aras (benchmark/patokan) adalah kekuatan dalilnya, bukan banyaknya orang yang menyatakan pendapat itu, atau pendapat itu telah dikemukan ulama-ulama dahulu.
Selain itu, berpendapat dan beramal dengan pendapat yang lebih rajih adalah wajib. Para sahabat ra. bersepakat memilih pendapat yang lebih rajih dalam berbagai masalah hukum yang bertentangan. Oleh kerana itu, kewajipan untuk berpendapat dan beramal dengan pendapat yang rajih didasarkan pada ijmak sahabat. Contohnya, para sahabat lebih memilih khabar dari ‘Aisyah ra. daripada khabarnya Abu Hurairah mengenai masalah puasa orang junub sebab mereka memahami bahawa ‘Aisyah lebih memahami Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah ra.. Selain itu, betapa banyak ijtihad para sahabat yang terbukti kelemahannya pada masa berikutnya.
Jika seorang mujtahid menyedari kelemahan dalilnya, sedangkan dalil mujtahid lain lebih kuat berdasarkan tarjih yang dia lakukan terhadap sebahagian dalil, dalam situasi semacam ini mujtahid tersebut adalah seorang muqallid sebab keadaan mujtahid tersebut seperti halnya seorang muqallid yang melakukan tarjih atas suatu pendapat.
Namun, jika dia menyedari kelemahan dalilnya dan dalil mujtahid lain jelas-jelas lebih kuat berdasarkan penyelidikan dan istinbatnya terhadap dalil hingga melahirkan suatu kesimpulan seperti kesimpulan mujtahid lainnya itu, dalam situasi semacam ini dia bukanlah seorang muqallid, tetapi dia tetap dianggap seorang mujtahid yang telah menyedari kesalahan ijtihadnya yang pertama (qaul qadim), kemudian dia mengadopsi ijtihadnya yang baru (qaul jadid). Hal semacam ini sering kali dilakukan oleh Imam Syafi’i ra..
- Meyakini Mujtahid Lain Lebih Berkelayakan.
Jika seorang mujtahid memandang mujtahid lain lebih berkelayakan dan lebih ahli (pakar/mahir) dalam suatu masalah, lebih banyak menguasai dalil-dalil sam’iyyah, lebih kuat dalam memahami dalil-dalil syarak, dan sebagainya. Lalu dia melakukan tarjih dengan sebuah keyakinan bahawa mujtahid tersebut lebih dekat dengan kebenaran dalam masalah tertentu maka dalam keadaan semacam ini dia boleh meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat mujtahid lain yang dianggapnya lebih faham dan lebih menguasai bidang tersebut.
Imam Asy-Sya’biy menuturkan bahawa Abu Musa pernah meninggalkan pendapatnya kerana mendengar pendapat Ali ra., Zaid juga meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat Ubay bin Ka’ab, ‘Abdullah bin Umar meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat Umar bin Khattab. Juga dituturkan dalam sebuah hadis bahawa Abu Bakar ra. dan Umar ra. meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat Ali ra..
Ini menunjukkan bahawa seorang mujtahid boleh saja mengikuti pendapat mujtahid lain didasarkan pada ke-tsiqah-annya (kepercayaannya) kepada mujtahid yang lain itu. Akan tetapi, hal ini hukumnya hanyalah mubah bagi seorang mujtahid dan tidak wajib.
- Jika Ketua Negara Telah Melegalisasi Hukum Tertentu.
Jika ketua negara memutuskan untuk melegalisasi sebuah hukum yang digali oleh mujtahid lain, dalam situasi semacam ini, ketetapan ketua negara wajib untuk diikuti dan dilaksanakan oleh seorang mujtahid, walaupun pendapat tersebut bertentangan dengan pendapatnya. Dia mesti beramal dengan pendapat yang dilegalisasi ketua negara, bukan pendapat dirinya sendiri.
Imam Al-Amidiy menuturkan bahawa para ulama telah sepakat mengenai tidak boleh dihapuskan ketetapan penguasa dalam masalah-masalah ijtihadiyah demi kemaslahatan hukum. Namun, ketetapan penguasa boleh saja dihapus jika bertentangan dengan nas-nas qath’i. Jika ketetapan penguasa (khalifah) bertentangan dengan dalil-dalil dzanni, ketetapannya tidak boleh dihapus.
Masih menurut Imam Al-Amidiy, para ulama telah sepakat mengenai ketidakbolehan seorang khalifah melegalisasi hukum yang bertentangan dengan hasil ijtihadnya dan taklid kepada mujtahid lain. Dalam situasi semacam ini, ketetapan hukum khalifah boleh batal. Ini terjadi jika khalifah tersebut seorang mujtahid.
Jika seorang khalifah bertaklid kepada seorang imam, kemudian dia mengadopsi hukum yang bertentangan dengan pendapat imamnya, hal ini perlu dilihat dahulu. Jika dia berpendapat boleh taklid kepada imam yang lain, ketetapannya tidak batal. Jika dia berpendapat tidak boleh taklid kepada imam yang lain, keputusannya boleh dihapuskan.
- Menjaga Kesatuan dan Persatuan Kaum Muslim.
Jika dalam keadaan tertentu kaum muslim perlu sepakat pendapat demi menjaga kepentingan bersama dan demi utuhnya persatuan dan kesatuan kaum muslim maka seorang mujtahid boleh saja meninggalkan pendapatnya demi tujuan-tujuan tersebut. Dalilnya adalah ijmak sahabat ra. saat membaiat ‘Abdurrahman bin ‘Auf.
Diriwayatkan bahawa ‘Abdurrahman bin ‘Auf setelah bertanya kepada masyarakat, baik secara terang-terangan mahupun rahsia, beliau lantas mengumpulkan masyarakat di dalam masjid. Dia naik ke mimbar dan memanjatkan doa yang panjang sekali. Setelah itu dia memanggil ‘Ali bin Abi Talib seraya menggenggam tangannya. ‘Abdurrahman bertanya kepada ‘Ali ra., “Apakah anda bersedia membaiatku agar engkau memerintah sesuai dengan Kitabullah, Sunnah Rasul-Nya, serta ijtihadnya Abu Bakar dan Umar?”
Ali menjawab, “Aku akan membaitmu atas dasar Kitabullah, Sunnah Rasul-Nya, dan ijtihadku.”
Abdurrahman bin ‘Auf melepaskan tangannya. Kemudian dia memanggil ‘Uthman bin ‘Affan dan bertanya, “Apakah anda bersedia membaiatku agar engkau berdasarkan Kitabullah, Sunnah Rasul-Nya, dan ijtihadnya Abu Bakar dan Umar? Uthman menjawab. “Allaahumma, bersedia.”
Abdurrahman mendongakkan kepalanya ke atas masjid, sedangkan tangannya masih memegang tangan ‘Uthman bin ‘Affan; dan berkata tiga kali, “Ya Allah, dengarkanlah dan saksikanlah.” Lalu dia membaiat ‘Uthman bin ‘Affan dan seluruh yang ada di masjid membaiat ‘Uthman bin ‘Affan.
Dari kisah di atas terlihat dengan jelas bahawa Abdurrahman telah meminta seorang mujtahid, yakni ‘Ali bin Abi Talib untuk meninggalkan ijtihadnya dan mengikuti ijtihad Abu Bakar dan Umar ra. dalam seluruh masalah. Para sahabat pun menyetujui tindakan ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan kemudian membaiat ‘Uthman bin ‘Affan.
Bahkan Ali yang menolak untuk meninggalkan ijtihadnya juga turut membaiat Uthman bin Affan. Akan tetapi, ketentuan semacam ini tidaklah wajib bagi seorang mujtahid. Buktinya, Ali ra. tidak bersedia meninggalkan ijtihadnya. Tindakan Ali ini juga tidak diingkari oleh satu pun sahabat, ini bererti menunjukkan kemubahan (jaiz), bukan kewajipan.
Inilah beberapa fakta taklidnya seorang mujtahid kepada mujtahid lain kerana sebab-sebab tertentu. Namun demikian, jika seorang mujtahid belum berijtihad untuk suatu masalah, dia diperbolehkan taklid kepada mujtahid lain dan tidak melakukan ijtihad dalam masalah itu sebab hukum ijtihad adalah fardhu kifayah, bukan fardhu ain.
Jika seorang mujtahid dihadapkan pada suatu masalah baru, dia tidak wajib melakukan ijtihad dalam masalah tersebut. Akan tetapi, dia boleh saja berijtihad maupun taklid kepada mujtahid lain dalam masalah tersebut.
Dalam sebuah riwayat dituturkan bahawa Umar pernah berkata kepada Abu Bakar, “Lebih baik kami mengikuti pendapat anda.” Dituturkan juga bahawa Ibnu Mas’ud pernah mengambil pendapat Umar bin Khattab. Perkara ini telah masyhur dan disaksikan oleh para sahabat. Mereka tidak pernah mengingkari perbuatan Umar mahupun Ibnu Ma’sud. Walhasil, bolehnya seorang mujtahid taklid kepada mujtahid lain merupakan kesepkatan para sahabat (ijma’ sukutiy). Sedangkan ijmak sahabat absah digunakan sebagai dalil syarak.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat