9 Jun 2024 2024 (Ahad) – Muslimah HTM Cawangan Bangi telah mengadakan aktiviti Street Dakwah dan Program Taaruf dan Ukhwah bersama komuniti Bandar Baru Bangi.
Bersempena Kempen The Power of Ummah yang masih berlangsung, kali ini para aktivis memfokuskan perbincangan ringkas bersama komuniti terkait kepentingan mewujudkan kesedaran politik Islam di kalangan ummah. Turut diedarkan kepada komuniti adalah lampiran nasyrah dakwah bertajuk “Ayuh Mewujudkan Kesedaran Politik Umat” sebagai bahan bacaan tambahan.
Seterusnya, acara street dakwah diteruskan dengan program Taaruf dan Ukhuwah, sebuah acara perkongsian terbuka sambil berukhwah, yang mana kali ini Puan Ummu Zahra selaku penyampai jemputan telah membawakan tajuk “Haji: Perlunya Kesedaran Politik”.
Puan Ummu Zahra mengajak para pendengar agar merefleksi moment ibadah haji sebagai lambang kesatuan umat. Ini kerana sewaktu musim Haji inilah kaum muslim dari pelbagai belahan dunia bersatu berkumpul di bawah satu tujuan iaitu melaksanakan haji yang merupakan salah satu rukun Islam. Beliau turut menerangkan bahawa pentingnya kesedaran politik dari moment haji ini juga merupakan ittiba’ kepada strategi politik dakwah Rasulullah saw. Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat, umat Islam juga perlu sedar hanya dengan berpolitik kita dapat memelihara urusan manusia dengan saksama. Sebab itu setiap umat ini perlu memiliki kefahaman akan kesedaran politik yang merupakan suatu pandangan yang universal (mencakup seluruh dunia internasional) dengan sudut pandang yang khas, yakni Islam. Bukan selainnya. Tanpa kesedaran politik Islam yang benar, seseorang tidak mengetahui nilai Islam dalam kehidupan individu mahupun masyarakat. Tanpa kesedaran politik Islam juga, umat tidak akan mendukung para pengemban dakwah yang berjuang melawan idea-idea kufur, kerana gagal memahami tindak tanduk aktiviti dakwah yang dilakukan dari perspektif Islam.
Justeru itu kami mengajak sekalian umat Islam untuk kembali membangun kesedaran politik Islam dalam diri demi mengubah keadaan umat Islam yang buruk hari ini kepada sebuah kebangkitan yang benar. Wallahu’alam.














