Aidiladha 1445H: Saatnya Menjadikan Detik Monumental Perhimpunan Ummah sebagai Penggerak Melawan Kebatilan
الله اكبر
الله اكبر
الله اكبر
ولله الحمد
Kita masih lagi diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan 10 Zulhijjah 1445 H dan mengerjakan ibadah-ibadah yang dituntut pada bulan yang mulia ini. Pada hari ini saudara-saudara kita yang berada di Mekah sedang mengerjakan ibadah haji. Pada 9 Zulhijjah, lebih dari sejuta jemaah haji dari pelbagai negara dan latar belakang, berkumpul dan bersatu di Arafah. Situasi ini saban tahun kita lihat, himpunan manusia tanpa membezakan warna kulit, pangkat dan darjat, disatukan di atas tanah Arafah dan di bawah teriknya matahari. Inilah satu bentuk ketaatan yang tercermin dari perintah Allah SWT.
Ironinya, ketika kita berbincang tentang penyelesaian genosid saudara muslim kita di Gaza, kita masih tidak dapat bersatu malah masih bertarik tali dengan PBB untuk mencari penyelesaian tuntas. Jika pejuang kemanusiaan di Barat dan seluruh dunia sedang bangkit melawan pemimpin mereka atas keputusan bacul untuk mendiam diri, kenapa pemimpin negeri-negeri umat Islam masih diam membisu? Mesir contohnya, negara yang paling dekat dengan Rafah, sanggup menutup mata dan telinga menyaksikan penderitaan saudara muslim di Rafah. Padahal, Mesir bukanlah negara mundur yang tidak ada persenjataan, malah Mesir antara negeri umat Islam yang memiliki aset ketenteraan yang canggih. Kenapa ia tidak dikerahkan?
Akhwati Rahimakumullah,
Apa hujah kita nanti di hadapan Allah SWT? Adakah kita sudah berusaha semaksimanya untuk membantu saudara kita di Palestin? Jika mereka ingin membungkam diri dari memperjuangkan nasib saudara kita, kita tidak boleh ikut berdiam diri. Allah SWT mewajibkan jihad dalam melawan kebatilan. Kewajipan jihad setara dengan ibadah lainnya seperti solat dan puasa sebagaimana firman dalam surah Al-Hajj,
“Wahai orang-orang beriman, rukuk dan sujudlah serta beribadahlah kepada Tuhan kamu dan perbuatlah amalan baik, semoga kamu beroleh kejayaan. Dan berjihadlah pada jalan Allah dengan Jihad yang sebenar-benarnya…..”
[TMQ al-Hajj: 77-78]
Jika kita tidak mampu untuk berjihad atas faktor tertentu, maka lakukan yang paling minima untuk menyeru pemimpin dan tentera kita keluar berjihad. Tiada solusi lain untuk menghentikan genosid ini kecuali dengan jihad sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah SWT. Sudah lebih 8 bulan berlalu, sudah ratusan ribu saudara kita yang mati dan cedera. Kita tidak boleh lagi tunggu dan lihat, buatlah sesuatu.
Semoga bulan haji yang penuh berkah ini akan menyatukan kita dan menguatkan akidah kita. Tiada tempat kembali yang lain kecuali kepada Allah SWT. Semoga setiap usaha yang kita lakukan ini menjadi hujah di hadapan Alllah SWT kelak. Allah SWT bukan sahaja menguji saudara kita di Palestin, tetapi turut menguji kita.
Wallahu ‘alam.