[BULETIN KAFFAH] Ibrahim dan Ismail, Teladan dalam Ketaatan Tanpa Keraguan
Pada 10 Zulhijjah merupakan detik yang penuh dengan kebahagiaan dan keberkatan. Hari di mana berjuta-juta umat Islam berkumpul di tempat yang dimuliakan dan diberkati oleh Pencipta dan Pemilik alam semesta, tidak lain untuk mewujudkan ketaatan dalam ibadah yang mulia iaitu ibadah haji. Sepanjang menunaikan ibadah haji, jutaan umat Islam terus mengagungkan Zat Yang Maha Agung. Mereka juga berdoa tanpa henti, sambil melaungkan kalimah talbiyah, “Labbayk AlLâhumma labbayk.” Mereka menjawab panggilan Allah dengan penuh kekhusyukan untuk hadir memenuhi ketaatan kepada-Nya.
Mereka adalah dhuyûfulLâh, ‘tetamu Allah’. Mereka berhak mendapat kedudukan mulia di sisi-Nya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW.:
الحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ وَفْدُ اللهِ، دَعَاهُمْ فَأَجَابُوْهُ، سَأَلُوْهُ فَأَعْطَاهُمْ
“Jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah. Allah telah memanggil mereka. Mereka pun memenuhi panggilan-Nya. Mereka memohon kepada Allah. Allah pun mengabulkan permohonan mereka.” (HR Ibnu Majah).
Di luar Tanah Suci, berbilion umat Islam melaungkan takbîr, tahmîd, tasbîh, dan tahlîl, berbondong-bondong menunaikan solat hari raya Aidiladha dan mendengar khutbah. Kemudian menyembelih dan mengagihkan haiwan korban. Gema kalimah thayyibah dan penyembelihan korban berterusan sehingga Hari Tasyriq selesai. Sesungguhnya, ia merupakan hari-hari yang sangat suci dan memberikan rasa ketundukan kepada Allah Taala.
Ini adalah Aidil Adha 10 Zulhijjah. Sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW., penetapan awal bulan Zulhijjah tidak ditentukan berdasarkan kuasa pihak penguasa negara nasional masing-masing, tetapi wajib berdasarkan pengumuman Amir Mekah. Husayn bin Harits al-Jadali telah menyatakan, Amir Mekah, al-Harits bin Hatib, telah menyampaikan khutbah kepada kami sambil berkata:
عَهِدَ إِلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسَلَّمَ أَنْ نَنْسُكَ لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ لَمْ نَرَهُ، وَشَهِدَ شَاهِدَا عَدْلٍ نَسَكْنَا بِشَهَادَتِهِمَا
“Kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW. untuk mengerjakan manasik (ibadah haji) kerana melihat hilal. Jika kami tidak melihat hilal, lalu ada dua orang saksi yang adil melihatnya, maka kami pun akan mengerjakan manasik berdasarkan kesaksian mereka berdua.” (HR Abu Dawud dan Ad-Daraquthni).
Hari Terbaik
Ini adalah satu dari dua hari yang disebutkan oleh Nabi SAW. sebagai hari terbaik berbanding dengan semua hari raya umat lain di seluruh dunia. Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW. menyaksikan orang-orang Yahudi menyambut hari raya mereka, Nairuz dan Mihrajan. Hari raya tersebut disambut oleh penduduk Madinah, termasuk golongan Ansar. Kemudian Nabi SAW. bersabda:
قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ وَلَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْراً مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ
“Aku datang kepada kalian, sedangkan kalian mempunyai dua hari raya pada masa Jahiliyah yang kalian penuhi dengan bermain-main. Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha (Hari Raya Korban).” (HR An-Nasa’i dan Ahmad).
Sikap Nabi SAW. ini menjadi petanda bagi orang yang beriman bahawa umat Islam adalah satu umat dengan agama dan syariat yang berbeza dengan umat lain. Berbeza dalam ibadah, hari raya, dan juga dalam peraturan hidup. Umat Islam telah diberikan agama yang mulia yang berada di atas agama-agama lain. Tidak ada satu agama, ajaran atau ideologi yang dapat menandingi kemuliaan Islam. Sabda Nabi SAW.:
اْلإِسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” (HR Ad-Daruquthni).
Jika Rasulullah SAW. sudah menyatakan bahawa Islam itu tertinggi dan terbaik, tidak ada yang setinggi dan semulia agama ini, maka akan terasa sangat menyesakkan dada jika umat Islam sendiri tidak mempunyai perasaan bangga terhadap agamanya, sebaliknya memilih ajaran atau ideologi lain, menceraikan diri dari shirâthal-mustaqîm dan berjalan di atas bukan jalan Islam.
Begitu juga rasa sangat menyedihkan jika umat Islam sanggup dipimpin oleh umat lain yang sebenarnya menjerumuskan mereka ke dalam jurang kemerosotan.
Keteladanan dalam Ketaatan
Apabila membincangkan tentang ketaatan, maka kisah teladan ayah dan anak, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alayhimâ as-salâm, patut untuk selalu diulang. Kedua-dua utusan Allah ini mengajar kita taat tanpa ragu, taat tanpa kata “nanti dulu”.
Nabi Ibrahim as. diuji oleh Allah untuk mengorbankan buah hati dan buah cintanya yang telah lama ditunggu-tunggu, iaitu anaknya sendiri. Adapun Nabi Ismail as. diuji oleh Allah untuk mengorbankan nyawanya agar ayahnya dapat melaksanakan perintah-Nya. Allah SWT. berfirman,
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَابُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى
“Tatkala anak itu telah sampai (pada usia mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, ‘Anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Kerana itu fikirkanlah apa pendapatmu.’.” [TMQ Ash-Shaffat (37): 102].
Nabi Ibrahim as. memberikan teladan bahawa tidak ada kecintaan yang paling tinggi melebihi kecintaan kepada Allah SWT.. Kecintaan kepada Allah SWT. melebihi kecintaannya kepada pasangan, anak, harta dan takhta. Kecintaan kepada Allah ‘Azza wa Jalla ini tentunya perlu dizahirkan dalam ketaatan melaksanakan segala perintah-Nya.
Di sisi lain, Nabi Ismail as. juga meyakini sepenuh hati bahawa ketaatan kepada Allah SWT. di atas segalanya walaupun perlu mengorbankan jiwa dan raga. Oleh kerana itu, Ismail as. juga mengukuhkan keteguhan hati ayahnya dengan mengatakan:
يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
“Ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. insya-Allah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar.” [TMQ Ash-Shaffat (37): 102].
Menuju Ketaatan Total
Hari ini kita menyaksikan umat Islam tanpa ragu melaksanakan perintah menunaikan haji dan berlumba-lumba mempersembahkan korban yang terbaik di jalan Allah. Tetapi jangan lupa, ketaatan yang dituntut oleh Allah ialah ketaatan total pada segala perintah-Nya dan segala larangan-Nya. Bukan ketaatan separa. Bukan juga ketaatan yang dipilih-pilih mengikut kehendak dan kemahuan hawa nafsu.
Apabila umat Islam mencurahkan ketaatan kepada Allah dalam menunaikan ibadah haji dan dalam berkorban, ke manakah perginya ketaatan itu ketika mereka diseru untuk melaksanakan syariat-Nya dalam perkara muamalah, jenayah, jihad, politik, dan pemerintahan? Mengapa kita mengabaikan hukum-hukum Allah? Bukankah semua itu juga perintah dari Tuhan yang sama? Tuhan yang menyerukan perintah berkorban dan berhaji?
Apa yang lebih menyayat hati, semangat dan usaha untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah secara kaffah dengan melaksanakan syariat Islam sebenarnya berhadapan dan dihina dengan label utopia, arabisme juga tuduhan radikalisme. Padahal Allah SWT. telah berfirman,
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوْكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُم ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيْمًا
“Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa suatu keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima (keputusan itu) dengan sepenuhnya.” [TMQ an-Nisa’ (4): 65].
Tidak wajar bagi orang yang mengaku beriman kepada Allah mencari alasan untuk menolak perintah dan larangan-Nya. Apatah lagi, memutar belitkan ayat untuk keuntungan duniawi. Mengharamkan yang halal. Menghalalkan yang haram. Lebih-lebih lagi, perintah untuk menerapkan syariat Islam sudah jelas dalam Kitabullah. Banyak ayat yang memerintahkan umat Islam untuk berhukum dengan hukum Allah. Allah SWT., contohnya, berfirman,
فَٱحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ ٱلحَقِّ
“Putuskanlah hukum di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” [TMQ Al-Maidah (5): 48].
Demikianlah yang Allah SWT. perintahkan kepada umat Islam. Jadi, mengapa hari ini umat Islam yang mengaku taat kepada Allah lebih tunduk kepada undang-undang yang dibuat oleh Montesquieu, Piagam PBB, IMF, World Bank, dan pelbagai institusi antarabangsa, sambil mencari alibi untuk membenarkan sikap tersebut?
Janganlah kita terikut-ikut dengan sikap orang-orang munafik yang sentiasa mencari alasan untuk menolak perintah Allah SWT., sebagaimana mereka enggan pergi ke medan Perang Tabuk dengan alasan cuaca panas. Allah SWT. berfirman,
فَرِحَ الْمُخَلَّفُوْنَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلٰفَ رَسُوْلِ اللّٰهِ وَكَرِهُوْا اَنْ يُّجَاهِدُوْا بِاَمْوَالِهِمْ وَاَنْفُسِهِمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَقَالُوْا لاَ تَنْفِرُوْا فِى الْحَرِّۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ اَشَدُّ حَرًّاۗ لَوْ كَانُوْا يَفْقَهُوْنَ
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut berperang) itu merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah. Mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka berkata, ‘Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam keadaan panas terik ini.’ Katakanlah, ‘Api neraka Jahanam itu jauh lebih panas jika mereka mengetahui.’.” [TMQ At-Taubah (9): 81].
Wahai umat Islam, sedarlah bahawa masalah berterusan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada hilangnya ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT. dan digantikan dengan sikap diskriminasi terhadap perintah dan larangan-Nya. Peraturan yang menguntungkan seperti peraturan haji, zakat, dan perkahwinan dilaksanakan, tetapi yang bertentangan dengan hawa nafsu dicampakkan. AstaghfirulLâh al-‘Azhîm. []
—*—
Hikmah:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلأَاخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ
“Di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi (tidak tetap pendirian). Jika dia memperoleh kebaikan, dia tetap dalam keadaan itu. Jika dia ditimpa oleh suatu musibah, dia berpatah balik ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian adalah kerugian yang nyata.” [TMQ Al-Hajj (22): 11].
Sumber: Buletin Kaffah No. 298 (5 Zulhijah 1444 H/23 Juni 2023 M)
#Zulhijjah