Jangan Terlena dengan Kesenangan Hidup di Dunia
Oleh: Dr. Nasrul Syarif, M.Si
Jangan terlena dengan kesenangan hidup di dunia.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَاۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
“ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (TMQ Ali Imran [3]: 14)
Sahabat,
Sesudah dijelaskan pada ayat sebelum ini tentang kekeliruan pandangan orang kafir terhadap harta dan anak-anak serta penyimpangan mereka dari kebenaran, maka dalam ayat ini diterangkan segi kesesatan mereka yang disebabkan oleh harta dan anak yang dijadikan tumpuan harapan mereka.
Adalah keliru kalau manusia menjadikan harta dan anak sebagai tujuan hidupnya. Perempuan, anak-anak, emas dan perak, kenderaan, binatang peliharaan, dan semua kekayaan adalah menyenangkan manusia dan sangat dicintainya.
Sebenarnya bukan sesuatu yang terlarang mencintai benda-benda itu, kerana manusia tidak dapat terhindar dari mencintainya. Namun sedikit sekali orang yang memahami keburukan atau bahayanya, sekalipun bukti-bukti cukup jelas dan banyak yang memperlihatkan keburukan dan bahayanya itu. Kadang-kadang manusia menyukai sesuatu, padahal dia mengetahui sesuatu itu buruk, dan tidak berguna. Siapa yang menyukai sesuatu tetapi dia menganggap hal itu tidak baik untuk dirinya, dia dapat melepaskan diri dari pengaruhnya.
Sahabat,
Sesungguhnya Allah menjadikan tabiat manusia cinta kepada harta benda dan kesenangan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan harta benda dan kesenangan sebagai sarana menguji keimanan seseorang, apakah dia akan menggunakan semua harta dan kesenangan itu untuk kehidupan duniawi saja, ataukah dia akan menggunakan harta bendanya untuk mencapai keredhaan Allah.
„Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.“ (TMQ al-Kahfi [18]: 7)
Benda-benda kesenangan manusia secara terperinci adalah sebagai berikut:
Pertama: Perempuan (isteri), isteri adalah tumpuan cinta dan kasih sayang. Jiwa manusia selalu cenderung tertuju kepada isteri, sebagaimana difirmankan Allah dalam Al-Quran:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.“ (TMQ Ar-Rum [30]: 21)
Sebahagian besar hasil usaha kaum lelaki yang diperoleh dengan susah payah diperuntukkan bagi anak dan isteri. Para lelaki adalah pembimbing yang bertanggung jawab atas kaum perempuan, kerana lelaki itu memiliki kekuatan dan kemampuan melindungi mereka. Tetapi mencintai perempuan secara berlebihan mempunyai efek yang kurang baik terhadap keluarga, masyarakat, dan bangsa, dan dapat pula mempengaruhi keseimbangan hak dan kewajipan antara lelaki dan perempuan.
Sahabat,
Dalam ayat ini, mencintai isteri disebutkan lebih dahulu daripada mencintai anak-anak, walaupun cinta kepada isteri itu boleh luntur, sedang cinta pada anak tidak; kerana cinta pada anak jarang sekali berlebih-lebihan seperti halnya mencintai perempuan.
Pada umumnya mencintai anak tidak menimbulkan masalah. Dalam masyarakat banyak terjadi seorang lelaki mengutamakan cinta kepada perempuan dengan mengabaikan cinta kepada anak. Seperti lelaki yang kawin lebih dari satu, dia curahkan cintanya pada isteri yang lain, diberinya nafkah yang banyak, sedang isterinya yang tua diabaikan. Dengan demikian anak-anaknya jadi terlantar, kerana pendidikannya tidak lagi diperhatikan. Banyak pula anak-anak penguasa dan orang kaya yang rosak akhlaknya kerana bapanya mencintai perempuan lain.
Kedua: Anak, lelaki atau perempuan. Cinta kepada anak adalah fitrah manusia. Sama halnya dengan cinta kepada isteri kerana tujuannya untuk melanjutkan keturunan.
Anak sebenarnya adalah hiasan rumah tangga, penerus keturunan dari generasi ke generasi. Tetapi dia boleh berubah menjadi ujian: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu),” (TMQ At-Tagabun [64]:15)
Ketiga: Harta kekayaan yang melimpah ruah. Ar-Razi mengatakan dalam tafsirnya, “Emas dan perak amat disenangi, kerana keduanya adalah alat penilai harga sesuatu. Orang yang memilikinya sama dengan orang yang memiliki segala sesuatu. Memiliki bererti menguasai. Berkuasa adalah salah satu kesempurnaan, dan kesempurnaan itu diinginkan oleh semua manusia. Kerana emas dan perak adalah alat yang paling tepat untuk memperoleh kesempurnaan, maka ia diinginkan dan dicintai. Apabila sesuatu yang dicintai tidak dapat diperoleh kecuali dengan sesuatu yang lain, maka sesuatu yang lain itu pun dicintai pula. Maka kerana itulah emas dan perak dicintai”.
Harta yang melimpah ruah akan menggoda hati manusia serta menyibukkan mereka sepanjang hari untuk mengurusnya. Hal ini sudah tentu akan dapat melupakan orang kepada Tuhan dan kehidupan di akhirat.
Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan berkata kepadamu, “Kami telah disibukkan oleh harta dan keluarga kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami¦ (TMQ al-Fath [48]: 11)
Cinta kepada harta telah menjadi tabiat buruk manusia, kerana harta adalah alat untuk memenuhi keinginan. Keinginan manusia tidak ada batasnya. Maka mereka mengejar harta tidak henti-hentinya. Rasulullah SAW bersabda:
“Sekiranya manusia itu mempunyai satu lembah harta, nescaya dia ingin yang kedua (satu lembah lagi). Kalau dia mempunyai dua lembah, nescaya dia ingin yang ketiga. Tidak ada yang dapat memenuhi perut Bani Adam kecuali tanah. Dan Allah mengampuni orang-orang yang bertaubat kepada-Nya.“ (HR al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas).
Keempat: Kuda yang dipelihara di padang rumput, terutama kuda yang berwarna putih di bahagian dahi dan kakinya, sehingga tampak sebagai tanda. Bagi masyarakat Arab, kuda yang demikian ini adalah kuda yang paling baik dan paling indah. Mereka berlumba-lumba agar dapat memilikinya. Mereka merasa bangga dengan kuda semacam itu dan kadang-kadang bersaing membelinya dengan harga yang amat tinggi.
Kelima: Binatang ternak lainnya, seperti lembu, unta, kambing. Binatang-binatang ini termasuk harta kekayaan Arab Badwi. Keperluan hidup mereka seperti pakaian, makanan peralatan rumah tangga dan sebagainya, sebahagian besar terpenuhi dari hasil penternakan binatang-binatang tersebut. Allah berfirman menerangkan nikmat-Nya ini:
“Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan. Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi). Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya. Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya“. (TMQ an-Nahl [16]: 5-8).
Keenam: Sawah ladang adalah sumber kehidupan manusia dan haiwan. Keperluan manusia kepada sawah ladang melebihi keperluan mereka kepada harta lainnya yang disenangi, kerana sawah ladang adalah sumber pemenuhan keperluan seseorang.
Demikianlah keenam-enam jenis harta yang disenangi manusia di dunia ini, dan merupakan alat kelengkapan bagi hidup mereka, yang memenuhi segala keperluan dan keinginan mereka. Syaitan menggoda manusia sehingga ia memandang baik mencintai harta benda tersebut. Tetapi hendaknya manusia menyedari bahawa semua harta benda itu hanya untuk kehidupan duniawi yang tidak kekal. Tidak benar, apabila harta benda dijadikan manusia sebagai cita-cita dan tujuan akhir dari kehidupan di dunia yang fana ini, sehingga dia terhalang untuk mempersiapkan diri bagi kehidupan yang sebenarnya, iaitu kehidupan akhirat yang abadi. Bukankah di sisi Allah ada tempat kembali yang baik (syurga)? Alangkah bahagianya manusia, sekiranya dia mempergunakan harta benda itu dalam batas-batas petunjuk Allah.
Sahabat,
Ketahuilah bahawa semua manusia jika jiwanya tidak dididik, maka pemilik jiwa ini akan menjadi liar dan buas. Jiwa manusia hanya boleh dididik dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mendekatkan diri kepada Allah akan terjadi hanya tatkala ada keimanan hakiki kepada Allah dalam hati yang melampaui akalnya.
Sahabat,
Jika kesedaran mendekatkan diri kepada Allah bangkit dalam hati, maka pemiliknya akan hidup sepenuhnya. Dia akan menjadi waspada dan berhati-hati kepada hawa nafsunya sendiri. Dia selalu meneliti kesalahan-kesalahan diri sendiri. Pemilik hati seperti ini akan meninggalkan dunia ini dengan khusnul khatimah. Maka jiwa manusia ini akan menjadi jiwa yang tenang.
يَاأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.”
Sahabat,
Dalam ayat-ayat ini, Allah memanggil jiwa yang tenang dan damai ketika diwafatkan, iaitu jiwa yang suci kerana iman dan amal soleh yang dikerjakannya, sehingga memperoleh apa yang dijanjikan Allah kepadanya. Jiwa itu diminta Allah untuk pulang memenuhi panggilan-Nya dengan menghadap kepada-Nya kembali dengan perasaan puas dan senang kerana telah memenuhi perintah-perintah-Nya waktu hidup di dunia. Allah juga puas dan senang kepadanya kerana sudah menjalankan perintah-perintah-Nya. Setelah datang kepada-Nya, jiwa itu dipersilakan Allah masuk ke dalam kelompok hamba-hamba-Nya, iaitu ke dalam syurga-Nya.
Sumber: Tintasiyasi / Dr. Nasrul Syarif, M.Si, penulis Buku Gizi Spiritual. Pensyarah Pascasarjana UIT Lirboyo