[Kaedah-Kaedah Taklid] Seorang Muqallid Tidak Harus Terikat dengan Satu Mazhab Saja
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Seorang muqallid tidak harus terikat dengan satu mazhab untuk setiap persoalan yang dia hadapi. Dia boleh saja berpindah ke mazhab yang lain untuk masalah-masalah yang berbeza. Dalilnya adalah ijmak sahabat. Kaum awam pada masa sahabat biasa merujuk satu masalah kepada seorang sahabat dan untuk masalah yang lain merujuk kepada sahabat yang lain. Ini menunjukkan bahawa orang awam boleh saja mengambil pendapat dari satu mazhab untuk satu masalah dan mengambil pendapat dari mazhab lain, untuk masalah yang berbeza.
Apabila seorang muqallid telah menentukan mazhab tertentu, misalnya Mazhab Syafie atau Maliki dan berkata, “Saya berada di atas Mazhab Syafie dan terikat dengan mazhabnya,” dalam masalah ini perlu perincian lebih lanjut. Jika amal yang hendak dia hukumi dengan pendapat mazhab lain berhubungan dengan amal perbuatan yang telah dihukumi dengan pendapat mazhab yang diikutinya, dalam keadaan semacam ini dia dilarang mengikuti pendapat mazhab yang lain. Namun, jika amal perbuatan yang hendak dia hukumi dengan pendapat mazhab yang lain tersebut tidak berhubungan dengan amal perbuatan yang telah dihukuminya dengan pendapat mazhabnya, dia tidak dilarang mengikuti pendapat mazhab yang lain.
Oleh kerana itu, muqallid semacam ini perlu benar-benar mengetahui syarat-syarat yang membolehkan dirinya untuk merujuk kepada mazhab yang lain. Syaratnya adalah masalah yang hendak dia hukumi dengan pendapat mazhab lain tersebut tidak berhubungan atau terpisah sama sekali dengan masalah mazhabnya dan jika dia meninggalkan pendapat mazhabnya, hal itu tidak mengakibatkan kekacauan dalam hukum syariat. Namun, jika masalahnya saling berhubungan dan berkaitan dengan pendapat mazhabnya, dia dilarang merujuk kepada pendapat mazhab lain.
Suatu masalah dianggap berkaitan dengan masalah yang lain jika masalah tersebut menjadi syarat atau menjadi rukun kesempurnaan bagi masalah yang lain. Misalnya, solat, wudhuk, dan rukun-rukun solat. Seseorang yang bermazhab Syafie tidak boleh mengikuti pendapat Abu Hanifah dalam hal batal atau tidaknya wudhuk, sedangkan solatnya tetap mengikuti pendapat Imam Syafie.
Dia juga tidak boleh mengikuti pendapat yang membolehkan gerakan lebih tiga kali di dalam solat atau pendapat yang mengatakan bahawa membaca surah Al-Fatihah bukan termasuk rukun solat, tetapi tetap mengerjakan solat dengan bertaklid kepada ulama yang melarang gerakan tiga kali dalam solat dan berpendapat bahawa membaca Al-Fatihah termasuk rukun solat. Hukum yang boleh ditinggalkannya adalah yang tidak memberikan pengaruh bagi perbuatan-perbuatan yang hendak dihukumi dengan pendapat lain.
*Pembahasan sebelumnya: “Ijtihad Mujtahid adalah Hukum Syariat bagi Muqallid”
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat