PROSES PEMBENTUKAN SYAKHSYIAH ISLAMIYAH PADA PENGEMBAN DAKWAH
Oleh: Ustaz Adi Victoria
Halaqah adalah proses tasqif (pembinaan). Yakni untuk menjadi seorang pengemban dakwah yang bersyakhsyiah Islamiyah (berkeperibadian Islam).
Syakhsyiah Islamiyah atau keperibadian Islam itu meliputi dua perkara, yakni :
1. Memiliki ‘aqliyah islamiyah (pola fikir islam)
2. Memiliki nafsiyah islamiyah (pola sikap islam)
‘Aqliyah (pola fikir) ini boleh diperoleh dengan cara belajar (DIROSAH), yakni ketika duduk di majlis halaqah tersebut. Dia dibina agar terbentuk pola fikir yang sesuai dengan Islam.
Kemudian dia memahami (AL FAHMU) dengan baik apa itu pola fikir Islam (pemikiran Islam).
Pemikiran Islam sendiri didefinisikan sebagai:
الحكم على الواقع من وجهة نظر الإسلام
“Upaya menilai fakta dari sudut pandang Islam”
Maka seseorang yang memikirkan sesuatu untuk mengeluarkan keputusan hukum terhadapnya maka sebelumnya dia akan menyandarkan pemikiran tersebut kepada akidah Islam. Inilah yang disebut dengan pola fikir Islam.
Adapun nafsiyah Islamiyah (pola sikap Islam), yakni berkaitan dengan pemenuhan terhadap fitrahnya sebagai manusia yang memerlukan pemenuhan untuk dipenuhi, baik fitrah berupa gharaiz (naluri-naluri), seperti ;
1. Gharizah at tadayun (naluri beragama),
2. Gharizah an na’u (naluri melestarikan keturunan), dan
3. Gharizah al Baqa (naluri mempertahankan diri).
Serta pemenuhan terhadap fitrah lainnya berupa hajat al-’udhawiyah (keperluan jasmani). Dan usaha memenuhi tuntutan tersebut (gharizah dan hajatul ‘udhawiyah) berdasarkan kaedah yang diimani dan diyakininya (I’TIQODI).
Nafsiyah (pola sikap) tidak akan terbentuk jika hanya diimani dan diyakini saja, namun perlu diterapkan di dalam hidupnya (AT TATHBIQ).
Contoh terkait pemenuhan gharizah at tadayun (naluri beragama), maka dia perlu melaksanakan aktiviti berupa solat, baik yang bersifat wajib dan sunnah. Jika dia melakukan hal tersebut, maka akan terbentuk nafsiyah di dalam dirinya. Nafsiyah tidak akan terbentuk walaupun dia sudah khatam kitab pembentukan nafsiyah misalnya. Walaupun dia tahu fadhilah solat berjemaah, namun jika dia tidak menerapkannya (tidak solat berjemaah) maka nafsiyah tersebut tidak akan terbentuk.
Inilah yang seolah-olah membuat kering dalam diri seorang pengemban dakwah. Begitu pula dengan berbagai amal soleh, baik yang bersifat wajib dan sunnah, akan terbentuk nafsiyah dalam dirinya jika dia menerapkannya di dalam kehidupan sehariannya.
Jadi, seorang pengemban dakwah jika ingin terbentuk Syakhsyiah Islamiyah dalam dirinya adalah dengan cara senantiasa menjadikan pola fikirnya selalu berpijak kepada akidah Islam, dan senantiasa menerapkan syariat Islam dengan baik dalam pola sikapnya demi memenuhi semua gharizah dan hajatul ‘udhawiyahnya. Dan semua itu dimulakan dari halaqah. Jika dia menjalankan proses di atas dengan baik, tidak akan ada perasaan kering atau gersang tatkala hadir di perhalaqahan.
Wallahu a’lam bisshawab.