[Tafsir Al-Quran] Keanehan Berfikir Orang Kafir [Tafsir Surah Qaf (50): 1-3]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
قٓۚ وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡمَجِيدِ ١ بَلۡ عَجِبُوٓاْ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٞ مِّنۡهُمۡ فَقَالَ ٱلۡكَٰفِرُونَ هَٰذَا شَيۡءٌ عَجِيبٌ ٢ أَءِذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابٗاۖ ذَٰلِكَ رَجۡعُۢ بَعِيدٞ ٣
“Qaaf. Demi Al-Quran yang sangat mulia. Bahkan mereka hairan kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri. Berkatalah orang-orang kafir, ‘Ini adalah sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah kami selepas mati dan selepas menjadi tanah (akan kembali lagi)? Itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin.’” [TMQ Qaf (50): 1–3].
Surah ini dinamakan Qaaf, diambil dari huruf pada ayat pertama. Penamaan surah tersebut sepertimana Surah Shaad, Nuun, dan lain-lain yang diambil dari huruf pertamanya. Terdapat 45 ayat kesemuanya. Menurut para ulama, surah ini dikategorikan sebagai Makkiyyah.[1] Menurut Ibnu Abbas dan Qatadah tidak semua ayat diturunkan di Mekah.[2]
Hubungan dengan surah sebelumnya, iaitu Surah Al-Hujurat ialah pada ayat akhir diberitakan tentang perkataan dan anggapan salah orang-orang Arab Badwi yang kemudiannya diperbetulkan oleh Allah SWT.
Surah ini pada ayat-ayat awalnya menjelaskan kemuliaan Al-Quran, juga menjelaskan keraguan orang-orang kafir terhadap nubuwwah dan Hari Kebangkitan, serta bantahan semua keraguan mereka itu.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman,
قٓۚ وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡمَجِيدِ ١
“Qaaf. Demi al-Quran yang sangat mulia.”
Qaf adalah salah satu huruf hija’iyah. Dibaca seperti mana adanya: Qâf. Menurut Az-Zuhaili, ini memperingatkan tentang kemukjizatan al-Quran dan perkara lain yang sangat penting, iaitu dalam bentuk pelbagai hukum dan peristiwa yang akan dijelaskan kemudian.[3]
Mengenai maknanya, terdapat banyak perbezaan pendapat di kalangan ulama. Menurut Abu Hayyan, terdapat sebelas pendapat ahli tafsir mengenai pengertian huruf qaf. Di antaranya adalah pendapat As-Sya’bi yang mengatakan bahawa surah ini adalah fatihat as-sûrah (pembukaan surah).[4]
Kemudian diteruskan wâwu al-qasam. Huruf ini berguna untuk menyatakan sumpah. Yang disebut sebagai al-muqsam bih adalah al-Quran. Biasanya yang dijadikan sebagai al-muqsam bih (sesuatu yang dijadikan sebagai alat sumpah) adalah sesuatu yang besar, agung, dan istimewa. Al-Quran jelas memenuhi kriteria tersebut.
Telah dimaklumi bahawa al-Quran adalah kitab yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW sekaligus mukjizat bagi baginda. Di dalamnya terdapat petunjuk kebenaran bagi manusia. Terdapat juga pelbagai berita penting, baik yang telah lalu, sedang berlangsung, dan yang akan berlaku di masa depan. Sebagai kitab yang diturunkan kepada Rasul terakhir, al-Quran juga merupakan kitab terakhir yang diturunkan kepada seluruh manusia. Kedudukannya adalah nâsikh (menasakh) kitab-kitab sebelumnya, ghayru mansûkh (tidak dinasakh) oleh mana-mana kitab.
Dalam ayat ini, perkataan al-Quran dicirikan dengan perkataan al-majîd (yang mulia). Dari segi bahasa, perkataan « الْمَجْدُ » bermaksud « السّعة في الكرم والجلال » (keluasan dalam kemuliaan dan keagungan).[5] Menurut Imam Al-Qurthubi, maknanya ialah darjat yang tinggi.[6]
As-Syaukani berkata, “Al-Majîd ialah « ذُو مَجْدٍ وَشَرَفٍ » (yang mempunyai kemuliaan dan keagungan) atas semua kitab yang diturunkan sebelumnya.”[7]
Ulama berbeza pendapat tentang jawapan kepada sumpah yang disebutkan dalam ayat ini. Menurut Ibnu Jarir dan sebahagian ulama nahwu, jawab qasamnya adalah firman Allah SWT,
قَدۡ عَلِمۡنَا مَا تَنقُصُ ٱلۡأَرۡضُ مِنۡهُمۡۖ وَعِندَنَا كِتَٰبٌ حَفِيظُۢ ٤
“Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang dihancurkan oleh bumi dari (tubuh-tubuh) mereka. Di sisi Kami juga terdapat kitab yang memelihara (mencatat).” [TMQ Qaf (50): 4].
Ada juga yang mengatakan bahawa jawab qasamnya telah terkandung dalam kalimat yang berikutnya. Namun perkara yang ditekankan oleh sumpah itu tidak disebut secara tekstual, iaitu menetapkan kenabian dan hari akhir, serta mengukuhkan dan meyakinkan kewujudannya. Menurut Ibnu Kathir, perkara seperti ini sering ditemui dalam qasam-qasam yang ada dalam al-Quran, seperti dalam firmanNya,
صٓۚ وَٱلۡقُرۡءَانِ ذِي ٱلذِّكۡرِ ١ بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فِي عِزَّةٖ وَشِقَاقٖ ٢
“Sad. Demi al-Quran yang mempunyai keagungan. Sesungguhnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit.” [TMQ Sad (38): 1–2].[8]
Al-Jazairi turut mengemukakan penjelasan yang sama. Menurut Al-Jazairi, jawapannya tersirat dan dianggap berbunyi seperti berikut: Sesungguhnya Muhammad adalah seorang Rasul yang boleh dipercayai.[9]
Menurut Az-Zuhaili, makna ayat ini ialah, “Aku bersumpah demi al-Quran yang banyak kebaikan dan keberkatannya atau yang sangat tinggi darjat dan kemuliaannya. Sesungguhnya, wahai Muhammad, engkau benar-benar datang kepada mereka sebagai pemberi peringatan akan adanya al-ba’t (kebangkitan).”[10]
Kemudian diteruskan,
بَلۡ عَجِبُوٓاْ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٞ مِّنۡهُمۡ ٢
“Malah mereka hairan kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri.”
Dhamîr atau kata ganti mereka dalam ayat ini merujuk kepada orang-orang kafir. Mereka adalah orang-orang yang mendustakan Rasulullah SAW.[11] Hal ini diketahui dari ayat seterusnya yang menyatakan dengan jelas: « فَقال الْكافِرُونَ » (Kemudian berkatalah orang-orang kafir).
Perkataan « مُنْذِرٌ » (pemberi peringatan) ialah ism al-fâ’il daripada perkataan « إِنْذَارٌ » (peringatan). Perkataan « الْإِنْذَارُ » bermakna « تخويف فيه اخبارٌ » (memberi maklumat yang mengandungi ancaman).[12] Yang dimaksudkan dengan munzir (pemberi peringatan) di sini ialah Nabi Muhammad SAW.[13]
Menurut ayat ini, orang-orang kafir itu merasa hairan terhadap orang yang memberi peringatan kepada mereka. Kehairanan itu disebabkan oleh hakikat bahawa yang diutus sebagai pemberi peringatan kepada mereka adalah manusia seperti mereka.
Sikap hairan itu mengandungi makna pengingkaran kerana mereka hairan terhadap sesuatu yang sebenarnya tidak perlu dihairankan. Atas sikap itu, mereka pun diperingatkan dan diancam dengan azab neraka selepas rasul yang diutuskan dari kalangan mereka dan bangsa mereka sendiri.[14]
Ibnu Jarir at-Thabari menjelaskan bahawa Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad SAW, “Kaummu yang musyrik itu mendustakan kamu bukan kerana mereka tidak mengetahui bahawa kamu adalah orang yang jujur dan benar. Namun mereka mendustakanmu kerana merasa hairan orang yang menjadi pemberi peringatan kepada mereka tentang seksa Allah SWT dari kalangan mereka sendiri. Tidak lain seorang manusia dari kalangan mereka. Bukan malaikat yang datang kepada mereka dengan membawa risalah.”[15]
Kemudian Allah SWT berfirman,
فَقَالَ ٱلۡكَٰفِرُونَ هَٰذَا شَيۡءٌ عَجِيبٌ ٢
“Kemudian berkatalah orang-orang kafir, ‘Ini adalah sesuatu yang sangat menghairankan.’”
Dalam ayat ini, ism az-zhâhir digunakan pada pelakunya: al-kâfirûn (orang-orang kafir), padahal boleh juga digunakan ism ad-dhamîr atau kata ganti seperti kalimat sebelumnya sehingga disebutkan: Faqâlû (Kemudian mereka berkata).
Menurut ayat ini, orang-orang kafir itu berkata: « هَذَا شَيْءٌ عَجِيبٌ » (“Ini adalah sesuatu yang amat ajaib”). Perkataan « العجيب » ialah « الأمر الذي يتعجب » (sesuatu yang sangat menghairankan atau menakjubkan).[16] Kemudian apa yang membuatkan mereka merasa hairan?
Dalam ayat ini hanya disebut « هَذَا » (ini). Tidak disebutkan secara tersurat apa yang dimaksudkan sehingga di sini ada beberapa penjelasan. Sebahagian ulama memahami bahawa kehairanan itu dikaitkan dengan kalimat sebelumnya, iaitu pemberi peringatan yang diutuskan kepada manusia dari kalangan manusia sendiri. Antara yang berpendapat demikian ialah Ibnu Kathir. Ahli tafsir tersebut berkata, “Mereka merasa hairan dengan diutusnya seorang rasul dari kalangan manusia kepada mereka.” Ini seperti yang dinyatakan dalam firmanNya,
أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنۡ أَوۡحَيۡنَآ إِلَىٰ رَجُلٖ مِّنۡهُمۡ أَنۡ أَنذِرِ ٱلنَّاسَ ٢
“Patutkah manusia hairan bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka, ‘Berilah peringatan kepada manusia.’” [TMQ Yunus (10): 2].
Maksudnya: Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Allah SWT telah memilih dari kalangan malaikat dan manusia menjadi utusanNya.”[17]
Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh Ibnu Jarir at-Thabari. Menurut At-Thabari, kedatangan seorang lelaki dari kalangan mereka, iaitu dari anak Adam dengan membawa risalah Allah SWT kepada mereka, itulah yang sangat menghairankan.[18]
Menurut Wahbah az-Zuhaili, orang-orang Quraisy bukan sahaja ragu dan menolak. Mereka juga menjadikan pengutusan Rasulullah SAW itu sebagai salah satu yang menghairankan. Mereka berkata, “Kewujudan Rasulullah SAW yang menjadi pemberi peringatan adalah manusia, seperti kita, adalah sesuatu yang menghairankan.”[19]
Menurut Abdurrahman as-Sa’di, kehairanan mereka berpunca daripada dua kemungkinan.
Pertama, boleh jadi mereka memang jujur dalam rasa hairan tersebut. Jika ini yang berlaku, ia menunjukkan puncak kebodohan mereka dan kelemahan akal mereka. Hal ini seperti keadaan orang gila yang merasa aneh dengan kata-kata orang yang berakal; seperti pengecut yang merasa hairan apabila bertemu dengan penunggang kuda; atau orang bakhil yang merasa aneh dengan kemurahan hati orang yang dermawan. Jadi, apakah bahaya yang ditimbulkan oleh orang yang merasa hairan seperti itu? Kehairanan itu menjadi bukti kezaliman dan kebodohan.
Kedua, mereka merasa hairan dengan kesalahan mereka. Jika ini yang berlaku, ia adalah kezaliman yang besar dan paling keji.[20]
Kemudian pada ayat berikutnya disebutkan:
أَءِذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابٗاۖ ٣
“Adakah kami selepas mati dan selepas menjadi tanah (akan kembali lagi)?”
Ini masih mengkhabarkan perkataan orang-orang kafir. Jika dalam ayat sebelumnya mereka merasa hairan dengan pemberi peringatan yang berasal dari kalangan manusia seperti mereka, mereka juga merasa hairan kerana selepas mati manusia akan dihidupkan semula.
Ayat ini dimulakan dengan huruf al-hamzah iaitu istifhâm (kata tanya). Perkataan tersebut mengandungi makna istifhâm inkâriy (kalimat tanya yang mengandungi makna pengingkaran) kerana adanya kebangkitan (dihidupkan semula selepas mati) adalah sesuatu yang mustahil.[21]
Dalam penggalan ayat ini, terdapat kalimat yang dihilangkan atau disembunyikan. Menurut al-Qurthubi, perkataan itu ialah « نبعث » (kami dibangkitkan).[22] Oleh itu, kalimat lengkapnya ialah, “Adakah kami selepas mati dan menjadi tanah akan dibangkitkan atau dihidupkan semula?”
Penjelasan serupa juga dikemukakan oleh Ibnu Kathir. Ahli tafsir tersebut berkata tentang penggalan ayat ini: Mereka berkata, “Ketika kita telah mati dan menjadi tulang-belulang, semua sendi tulang-tulang kita bercerai-berai, dan kita menjadi tanah, bagaimana mungkin kita sesudah itu akan dihidupkan semula seperti jari jemari dan susunan yang sekarang ini selengkapnya?”[23]
Kemudian diteruskan:
ذَٰلِكَ رَجۡعُۢ بَعِيدٞ ٣
Ia adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin.
Inilah komen mereka terhadap berita bahawa manusia selepas mati akan dihidupkan semula. Menurut mereka, ia sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Dalam ayat ini dinyatakan: « رَجْعٌ بَعِيدٌ » (pengembalian yang tidak mungkin).
Menurut Imam al-Qurthubi, perkataan « الرجع » bermakna « الرد » (pengembalian). Maknanya, « رد بعيد » yang bermaksud « محال » (mustahil).[24]
Menurut Ibnu Jarir al-Thabari, perkataan « بَعِيدٌ » (jauh, mustahil); seperti perkataan anda kepada seseorang yang salah tentang suatu masalah: « لقد ذهبت مذهبا بعيدا من الصواب » (sesungguhnya kamu telah mengambil pendapat yang jauh dari kebenaran). Maksudnya: « أخطأت » (kamu telah melakukan kesilapan).[25]
Ibnu Kathir juga memaknakan kalimat tersebut sebagai mustahil terjadi. Maksudnya, mereka percaya ia adalah sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku.”[26]
Wahbah az-Zuhaili berkata, “Manusia selepas mati dibangkitkan dan dihidupkan semula adalah peristiwa yang tidak masuk akal. Mereka menganggapnya sesuatu yang tidak mungkin dan tidak wajar menurut hukum kebiasaan.”[27]
Pengingkaran mereka terhadap penghidupan semula manusia yang sudah mati adalah disebabkan oleh kesalahan berfikir mereka. Menurut As-Sa’di, mereka menyamakan kekuasaan Zat Yang Maha Kuasa dengan segala sesuatu dan Maha Sempurna dalam semua perkara, dengan kekuasaan hamba yang fakir dan lemah dalam semua aspek. Mereka menyamakan orang yang bodoh dan tidak tahu apa-apa dengan Allah SWT yang mengetahui segala-galanya.[28]
Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 392; Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol.
2 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964), 3
3 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 280
4 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 275
5 Al-Asfahani, al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 760
6 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17, 3
7 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), 84
8 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 395
9 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktbah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), 137
10 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 283
11 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahman (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 803
12 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân (Beirut: Dar al-Qalam, 1992), 797
13 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17, 3
14 Lihat Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 280
15 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 326-327
16 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17, 4
17 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 395
18 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 22, 327
19 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 283
20 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahman, 803
21 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26 , 279
22 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17, 4
23 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 395
24 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 17, 4
25 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 22, 327
26 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 395
27 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 283
28 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahman, 803