[Tafsir Al-Quran] Penderitaan Orang Kafir pada Hari Kiamat [Tafsir Surah Al-Muddaththir [74]: 8-16] – Bahagian 1/2
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I
Allah SWT berfirman,
فَإِذَا نُقِرَ فِي ٱلنَّاقُورِ ٨ فَذَٰلِكَ يَوۡمَئِذٖ يَوۡمٌ عَسِيرٌ ٩ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ غَيۡرُ يَسِيرٖ ١٠
“Kerana apabila telah ditiup sangkakala, maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar, kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah.” [TMQ Al-Muddaththir (74): 8-10].
Ayat-ayat sebelumnya menyampaikan beberapa seruan yang ditujukan kepada Nabi SAW. Baginda diperintahkan untuk memberi peringatan, mengagungkan dan membesarkan Tuhannya, menyucikan pakaiannya, meninggalkan berhala dan pelbagai perbuatan dosa, memberi harta tanpa mengharapkan balasan dari manusia, dan bersabar dengan Tuhannya. Kemudian ayat ini beralih kepada tema lain, memberikan penjelasan dan ancaman kepada orang-orang yang celaka.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman: فَإِذَا نُقِرَ فِي ٱلنَّاقُورِ (kerana apabila telah ditiup sangkakala). Huruf al-fâ‘ pada awal ayat ini mengandung makna as-sabab (sebab). Boleh jadi menjadi sebab bagi al-wa’îd (ancaman) yang diperintahkan dalam firmanNya: فَأَنذِرۡ (kemudian berilah peringatan, Surah Al-Muddaththir (74): 2].
Maksudnya, sampaikanlah peringatan kepada orang-orang yang diberi peringatan. Juga peringatkan mereka tentang waktu tiupan sangkakala dan apa yang akan menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan pada waktu itu, kemudian mereka berpaling darinya. Ini kerana, huruf al-fâ’ mestilah berkaitan dengan kalimah sebelumnya. [1]
Boleh juga menjadi sebab bagi perintah bersabar menghadapi gangguan orang-orang kafir. Seolah-olah dikatakan, “Bersabarlah dengan gangguan mereka kerana di hadapan mereka ada hari yang amat dahsyat yang akan mereka hadapi akibat gangguan mereka dan kamu juga akan mengalami akibat kesabaranmu terhadapnya.” [2]
Perkara yang berlaku ketika itu ialah tiupan sangkakala. Perkataan an-nâqûr adalah bentuk fâ’ûl dari perkataan an-naqr. [3] Menurut Al-Qurthubi dan As-Syaukani, seolah-olah benda itu ditiup untuk menghasilkan suara. Menurut bahasa Arab, perkataan an-naqr bermaksud as-shawt (suara). [4]
Ibnu ‘Ajibah juga mengatakan bahawa makna asalnya ialah al-qar’ (pukulan, benturan) yang menjadi punca suara tersebut. [5]
Mujahid dan ulama lain mengatakan bahawa an-naqr adalah sejenis al-bûq (tanduk, terompet, sangkakala). [6]
Menurut Ibnu Asyur, an-nâqûr ialah terompet yang digunakan oleh pasukan perang untuk berseru. Terompet itu disebut as-shûr. Ini adalah terompet yang sangat besar atau sejenisnya yang ditiup oleh peniupnya untuk memanggil orang ramai berkumpul kepadanya, sama ada dari pasukan perang atau yang lain. [7]
Menurut para ulama, yang dimaksudkan dengan an-nâqûr di sini ialah as-shûr (terompet sangkakala). Ini telah dikatakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, As-Sya’bi, Zaid bin Aslam, Al-Hasan, Qatadah, Ad-Dhahhak, Ar-Rabi’ ibnu Anas, dan Ibnu Zaid. [8] Hal itu juga dikatakan Ibnu ‘Athiyah, Al-Khazin, dan lain-lain. [9]
Mujahid berkata bahawa bentuk sangkakala itu sama seperti tanduk. [10]
Dari Ibnu Abbas RA, mengenai firmanNya: فَإِذَا نُقِرَ فِي ٱلنَّاقُورِ (kerana apabila telah ditiup sangkakala, Surah Al-Muddaththir [74]: 8), Rasulullah SAW bersabda, “Bagaimana aku dapat hidup gembira, sedangkan Malaikat Israfil telah mengulum sangkakalanya dan mengerutkan dahinya, menunggu diperintahkan untuk meniup?” Para sahabat bertanya, “Apakah yang engkau anjurkan kepada kami untuk kami lakukan, ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “Ucapkanlah, ‘Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan hanya kepadaNya kami bertawakal.’” [HR Ahmad].
Maka, menurut para ulama, yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah tiupan terompet sangkakala pada Hari Kiamat. [11]
Namun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang tiupan ke berapa yang dimaksudkan oleh ayat ini. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah tiupan pertama. Ini kerana tiupan sangkakala pertama itulah yang menyebabkan kekecohan di seluruh tempat. [12] Ada juga yang mengatakan ia tiupan kedua. Antara yang berpendapat demikian ialah As-Syaukani. [13]
Kemudian Allah SWT berfirman, “(maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar).” Dari segi bahasa, perkataan al-‘usyr (kesukaran, kesempitan) adalah lawan dari perkataan al-yusr (kemudahan, kelapangan). [14] Terdapat cukup banyak ayat yang menunjukkan dua perkataan tersebut sebagai perkataan yang berlawanan [Lihat, sebagai contoh Surah As-Syarh (94): 5-6; Surah At-Thalaq (65): 7].
Hari itu dicirikan dengan عَسِيرٌ (yang sukar) kerana apa yang berlaku pada masa itu adalah kesukaran bagi orang-orang yang mengalaminya. Kesukaran itu ialah pelbagai peristiwa yang berlaku pada ketika itu. [15]
Kemudian Allah SWT berfirman, عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ غَيۡرُ يَسِيرٖ “(kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah.” Setelah diberitakan bahawa hari itu adalah hari yang sukar, kemudian dinyatakan bahawa keadaan bagi orang-orang kafir itu tidaklah mudah.
Perlu diperhatikan bahawa perkataan ghayru yasîr (tidak mudah) adalah murâdif (sinonim) dengan perkataan ‘asîr (yang sukar). [16] Ini bermakna apabila dinyatakan bahawa hari itu adalah يَوۡمٌ عَسِيرٌ (hari yang sukar) maka dapatlah difahami bahawa hari itu juga adalah ‘asîr (sukar). Jadi bagaimana kita memahami kedua-duanya?
Mengenai ini, terdapat dua tafsiran. Pertama, keadaan ‘asîr (sukar) yang digambarkan oleh Allah SWT dalam ayat sebelumnya ia merangkumi semuanya, sama ada yang beriman mahupun yang kafir. Ini berdasarkan riwayat bahawa nabi-nabi ketika itu berasa terkejut dan rambut anak-anak menjadi beruban. Namun, orang-orang kafir jauh lebih teruk keadaannya [17]
Sedangkan ghayru yasîr (tidak mudah) memberi makna tambahan khusus untuk orang-orang kafir kerana kesukaran kadang-kadang berupa kesukaran yang sedikit, kemudian berubah menjadi kemudahan. Terdapat juga kesukaran yang besar. Pada mulanya telah ditentukan bahawa akan ada kesukaran bagi semua, kemudian ditetapkan banyak dan hebat lagi kesukaran bagi orang-orang kafir. [18]
Menurut Imam Al-Qurthubi, makna ghayru yasîr ialah tidak mudah dan tidak ringan. Ini kerana ikatan mereka tidak boleh dilepaskan, malah semakin kuat dan keras. Ia berbeza hanya dengan orang beriman yang mentauhidkan Allah SWT, tetapi berdosa. Ikatan mereka akan dilepaskan, lebih ringan dari sebelumnya sehingga mereka masuk syurga dengan rahmat Allah SWT. [19]
Kedua, keadaan sukar dan tidak mudah hanya dialami oleh orang-orang kafir. Menurut Ibnu Asyur, firmanNya, ‘alâ al-kâfirîn (kepada orang-orang kafir),” muta’alliq (berkaitan) dengan firmanNya, “‘asîr (yang sukar).“ [20] Dalam membacanya pun sebaiknya tidak di-waqf pada firmanNya: يَوۡمٌ عَسِيرٌ, sehingga maknanya: عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ غَيۡرُ يَسِيرٖ (kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah). [21]
Disebabkan sama dan menimpa objek yang sama, maka at-tikrâr (pengulangan) difahami sebagai at-ta‘kîd (penegasan). [22] Ini seperti dalam kalimat: أنا محب لك غير مبغض “(aku adalah pencintamu, bukan pembenci[mu]).” [23]
Penegasan itu menyampaikan bahawa kesukaran hanya dialami oleh orang kafir dan tidak boleh diharap akan hilang seperti kesukaran dalam urusan dunia yang boleh dihilangkan. [24]
Menurut Az-Zamakhsyari, pengulangan ini adalah untuk memberitahu mereka bahawa apa yang menimpa mereka tidak seperti apa yang menimpa orang-orang mukmin; yasîr[an] hayyin[an] (mudah dan ringan) untuk menggabungkan ancaman kepada orang-orang kafir dan tambahan kemurkaan kepada mereka dengan berita gembira kepada orang-orang mukmin dan penglipurlara bagi mereka. [25]
Kontras dengan orang-orang kafir, orang-orang mukmin diberikan Kitab Catatan di tangan kanan mereka dan dibangkitkan dengan wajah yang putih.
*Bersambung di bahagian 2/2