[Ath-Thariq] Akidah Aqliyah yang Layak Menjadi Asas Kebangkitan (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Kami telah menjelaskan dalam bab terdahulu bahawa dalam pembahasan tentang kaedah atau prinsip pemikiran yang layak untuk dijadikan asas perubahan kita akan menemui pelbagai jalan penyelesaian. Sebahagian penyelesaian tersebut ada yang sama sekali tidak layak, sebagai contoh, pemikiran cabang atau idea umum atau akidah yang tidak rasional, dan telah kami berikan beberapa pencerahan terkait perkara itu. Tetapi, ada juga yang layak untuk menjadi asas kepada perubahan dan kebangkitan dan inilah yang akan menjadi topik perbahasan kali ini.
Ketika membahaskan tentang akidah aqliyah yang layak menjadi asas berpijak demi mencapai sebuah kebangkitan, maka kita hanya akan menemukan tiga akidah aqliyah sahaja iaitu Islam, kapitalisme dan sosialisme. Selain daripada ketiga-tiga akidah ini, tidak layak dijadikan asas kebangkitan kerana sebagaimana yang telah kami ungkapkan di atas, akidah yang lain hanya berupa pemikiran umum atau idea cabang dan merupakan akidah kerohanian yang tidak rasional dan tidak boleh dijadikan sistem untuk mengatasi permasalahan manusia yang timbul dari usaha untuk memenuhi keperluan jasmani dan nalurinya.
Salah satu ciri-ciri akidah aqliyah adalah ia dapat melahirkan sebuah sistem untuk memecahkan permasalahan manusia. Ia juga disebut sebagai sebuah ideologi. Ini tidak lain adalah kerana al-mabda (ideologi) secara bahasa (etimologi) merupakan bentukan kata dari bada’a (memulai), yabda’u (sedang memulai), bad’an (permulaan) dan mabda’an (titik permulaan). Menurut istilah para intelektual, ia disebut sebagai ‘pemikiran asasi yang menjadi asas kepada pelbagai pemikiran’.
Jika seseorang mengatakan “ideologi saya adalah kejujuran,” maka yang dia maksudkan adalah bahawa asas yang menentukan segala perilakunya adalah kejujuran. Jika seseorang mengatakan bahawa ideologinya adalah keikhlasan, maka keikhlasan itu merupakan asas yang menentukan segenap transaksinya dan begitulah seterusnya.
Sedangkan, kejujuran, keikhlasan, tolong-menolong, sikap yang baik terhadap jiran tetangga dan apa yang disebut dengan ideologi perdagangan atau ideologi undang-undang, sebenarnya ia bukanlah satu ideologi melainkan hanya prinsip atau idea sahaja. Adapun, ideologi secara istilah merupakan pemikiran mendasar, sedangkan yang disebutkan di atas tadi (keikhlasan, kejujuran dan sebagainya) merupakan pemikiran cabang.
Adanya potensi wujudnya cabang pemikiran lain di atas idea-idea tersebut tidak dapat menjadikan idea tersebut sebagai pemikiran mendasar (al-fikr al-asasiy) atau ideologi. Ini tidak lain adalah kerana idea-idea tersebut tidak mendasar (ghair asasiyah), tetapi semuanya lahir dari sebuah pemikiran mendasar. Oleh kerana itu, kejujuran dan akhlak secara umum merupakan pemikiran cabang, bukan pemikiran mendasar kerana ia diambil dari sebuah pemikiran mendasar. Kejujuran itu cabang dari sebuah asas kerana kejujuran merupakan hukum syarak yang berasal dari Al-Quran menurut kaum muslim dan merupakan karakter yang baik dan bermanfaat menurut orang-orang kapitalis.
Adapun pemikiran mendasar merupakan sebuah pemikiran yang sebelumnya tidak ada pemikiran lain dan terbatas hanya pada pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan dan pemikiran mendasar selainnya sama sekali tidak ada kerana pemikiran ini merupakan asas dalam kehidupan. Manusia hanya akan dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan tenteram jika dia memiliki pemikiran mendasar ini kerana pemikiran inilah yang akan menghuraikan simpulan besar permasalahan. Jika penghurai permasalahan ini tidak atau belum ada, seseorang akan terus berada dalam kedunguan, mudah berubah, gelisah dan hilang arah.
Kerana itu, sebuah pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan merupakan pemikiran mendasar atau ia juga disebut sebagai asas pemikiran (al-asas al-fikriy), landasan ideologi (kaedah fikriyah), ataupun akidah. Namun, akidah ini tidak mungkin melahirkan sebuah pemikiran atau menjadi asas pembangunan pemikiran kecuali jika ia sendiri merupakan sebuah pemikiran iaitu akidah ini muncul berdasarkan perbahasan rasional. Adapun jika ia hanya berdasarkan penyerahan atau doktrin, akidah tersebut bukanlah satu pemikiran dan tidak disebut sebagai pemikiran yang menyeluruh walaupun boleh saja disebut sebagai akidah.
Bersambung ke bahagian 2/2