[Ath-Thariq] Akidah Aqliyah yang Layak Menjadi Asas Kebangkitan (Bahagian 2/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Sebuah pemikiran menyeluruh (al-fikrah al-kuliyah) boleh diperoleh seseorang melalui pemikiran sehingga ia menjadi akidah rasional yang memungkinkannya untuk melahirkan berbagai pemikiran dan menjadi asas bangunan pemikiran. Pemikiran-pemikiran tersebut menjadi penyelesaian yang memecahkan permasalahan kehidupan. Ketika ada akidah yang dapat melahirkan hukum-hukum sebagai penyelesaian, maka telah lahirlah sebuah ideologi. Oleh kerana itu, ideologi didefinisikan sebagai akidah rasional yang melahirkan sistem.
Berdasarkan hal ini, kapitalisme merupakan sebuah ideologi kerana ia merupakan akidah aqliyah yang melahirkan sistem, iaitu pemikiran-pemikiran yang memecahkan permasalahan kehidupan. Sosialisme juga merupakan sebuah ideologi kerana ia merupakan akidah aqliyah yang melahirkan sistem, iaitu pemikiran-pemikiran yang dapat memecahkan permasalahan kehidupan. Islam juga merupakan sebuah ideologi kerana ia merupakan akidah aqliyah yang memancarkan sistem, iaitu hukum-hukum syarak yang memecahkan permasalahan kehidupan manusia.
Akan tetapi, perlulah jelas bahawa keberadaan akidah dan sistem dalam sebuah ideologi tidak bermaksud bahawa ideologi itu layak diterapkan. Kerana ia hanyalah sebuah ideologi saja. Adapun, yang boleh menjadikan ideologi itu layak diterapkan sehingga dapat meraih kebangkitan di atas asasnya, ialah tatacara atau metode (thariqah) yang menjelaskan tatacara penerapan dan pelaksanaan ideologi tersebut di dalam negara dan mengembangkannya ke luar negara serta memelihara ideologi tersebut. Jika tatacara (al-kaifiyat) ini belum ada, maka ideologi tersebut hanya menjadi sebuah fikrah (idea) yang ada di dalam pemikiran penganutnya atau dalam lembaran buku-buku seperti Plato’s Republic, Utopia Thomas More, dan Kota Al-Farabi yang Ideal.”
Dalam Islam, terdapat thariqah (metode) pelaksanaan, iaitu daulah dan ketakwaan individu, sosialisme juga memiliki metode untuk itu iaitu negara saja, begitu juga kapitalisme. Adapun, untuk mengembangkan ideologi, Islam melakukannya dengan metode Jihad, sedangkan kapitalisme melakukannya dengan cara penjajahan dan sosialisme pula melalui parti-parti komunis.
Berdasarkan perkara ini, maka sebuah ideologi terdiri daripada fikrah (idea) dan thariqah (metode). Fikrah merupakan akidah, iaitu pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan atau dengan kata lain, penyelesai penghurai simpul besar, ditambah dengan sistem iaitu sebagai penyelesai pemecahan masalah kehidupan.
Adapun, thariqah (metode) merupakan tatacara yang telah disebutkan di atas. Terpenuhinya fikrah dan thariqah ini menunjukkan bahawa sebuah sistem tersebut layak atau dapat diterapkan, dan tidak menunjukkan bahawa ideologi itu benar.
Yang menunjukkan bahawa ideologi itu satu kebenaran adalah, sebagaimana yang telah kita bahas dahulu. Kebenaran, asas ideologinya adalah ia bersesuaian dengan fitrah dan dapat memuaskan akal manusia. Jika asasnya itu benar, ideologinya akan benar. Jika ia rosak, maka ideologi tersebut juga rosak.
Ideologi dan tatacara munculnya ideologi tidak lebih sebagai hasil dari pemikiran manusia atau yang diwahyukan dari Allah SWT., Pencipta Yang Maha Mengatur, yang diyakini keberadaannya dengan hujah rasional yang pasti melalui pemikiran cemerlang.
Jika sebuah ideologi berasal dari manusia, ia menjadi ideologi yang batil kerana manusia bersifat terbatas iaitu lemah, kurang dan memerlukan dan apa yang dihasilkannya akan cenderung pada karakter dirinya sendiri (terbatas dan tidak sempurna). Oleh kerana itu, ideologi ciptaan manusia itu bersifat lemah, terbatas, mengandungi kontradiksi dan berbeza-beza kerana pemahaman manusia mengandungi potensi yang berbeza dan bertentangan serta terpengaruh oleh lingkungan.
Seorang manusia, boleh saja dia berubah fikiran. Boleh saja apa yang dia anggap harini benar merupakan apa yang dia anggap salah pada hari semalam. Kerana itu, sistem yang dibuat oleh manusia pasti tidak mampu meliputi dan mengetahui realiti manusia sebagai manusia dan tidak mampu juga mengetahui apa yang diperlukannya. Berdasarkan perkara ini, maka ideologi buatan manusia, jika satu masa dianggap layak, maka ia juga tidak akan layak di masa yang lain. Jika sesuai untuk sesebuah tempat, pasti tidak akan sesuai di tempat yang lain.
Adapun, ideologi dari Illahi merupakan ideologi yang sahih dan tidak mungkin terdapat kebatilan dari sisi manapun. Al-Khalik (Pencipta) mengetahui setiap bahagian terkecil yang ada pada makhluknya kerana Dia-lah yang menciptakannya sehingga Dia mampu menetapkan sistem yang dapat menjamin kebahagiaan manusia dan merealisasikan ketenteramannya.
Berdasarkan perkara ini, melalui pemahaman yang benar atas sebuah ideologi, maka di dunia ini hanya terdapat tiga ideologi yang dapat diterapkan dan memungkinkan menjadi asas kebangkitan, tetapi kebangkitan ini tidak dengan sendirinya menjadi kebangkitan yang sahih, kecuali jika ideologi tersebut bercirikan kebenaran yang telah kami sebutkan syarat-syaratnya.
Berkaitan dengan ideologi-ideologi penting dalam objek bahasan kebangkitan yang kami maksudkan dalam aktiviti ini, maka kami akan memproses dan memaparkannya secara panjang lebar, insyaallah. Adapun ideologi yang menjadi bahasan bab berikutnya adalah:
- Ideologi kapitalisme.
- Ideologi sosialisme.
- Ideologi Islam.