[Kaedah-Kaedah Taqlid] Penjelasan Mengenai Ayat-Ayat yang Digunakan Sandaran Bolehnya Rasulullah SAW Melakukan Ijtihad
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Orang-orang yang berpendapat bolehnya Rasulullah SAW berijtihad mengetengahkan ayat-ayat untuk menguatkan pendapatnya. Sedangkan jika diteliti secara jernih dan mendalam, ayat ini sama sekali tidak menunjukkan bolehnya Rasulullah SAW melakukan ijtihad. Ayat-ayat itu adalah sebagai berikut,
“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.” (TMQ Al-Anfal: 67).
“Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang).” (TMQ At-Taubah: 43).
“Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.” (QS At-Taubah: 84).
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling kerana telah datang seorang buta kepadanya. “ (TMQ ‘Abasa: 1—2).
Selain itu, masih banyak ayat-ayat lain yang memiliki makna senada. Sesungguhnya ayat-ayat ini tidak menunjukkan adanya ijtihad hukum dan ijtihad dalam masalah tabligh risalah kepada umat manusia.
Ayat-ayat ini hanyalah teguran kepada Rasulullah SAW atas pelaksanaan aktiviti yang kurang tepat (khilaf al-aula). Ayat-ayat tersebut sama sekali tidak menunjukkan adanya kesalahan Rasulullah SAW dalam penyampaian sebuah hukum, lalu datang ketentuan baru yang membetulkan kesalahan hukum yang pertama. Ini kerana tidak satu pun ayat yang menjelaskan kesalahan hukum tertentu mahupun kesalahan ijtihad Rasulullah SAW yang disampaikan kepada umat manusia disebabkan beliau SAW perlu menyampaikan hukum yang benar.
Yang benar adalah bahawa Rasulullah SAW hanyalah melaksanakan sebuah hukum yang telah turun kepada beliau sebelumnya dan telah beliau sampaikan kepada manusia, kemudian beliau kurang tepat dalam memilih pelaksanaan hukum yang lebih tepat (khilaf al-aula).
Namun, teguran ini bukanlah tasyri‘ baru yang menghasilkan hukum baru sebab hukum tersebut telah diturunkan sebelumnya dan telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia. Teguran tersebut hanya berhubungan dengan ketidak-tepatan dalam memilih mana hukum yang lebih tepat untuk dilaksanakan dan tidak menunjukkan kesalahan ijtihad beliau dalam masalah hukum. Ayat-ayat di atas juga tidak menunjukkan adanya pensyariatan hukum baru mahupun revisi atas kesalahan ijtihad Rasulullah (SAW).
Ayat-ayat tersebut hanya berisi teguran terhadap Rasulullah SAW yang kurang tepat memilih mana ketentuan yang lebih baik atau lebih utama (khilaf al-aula) sebab ketentuan hukumnya telah ada dan telah ditetapkan sebelumnya. Sedangkan para Nabi dan Rasul diperbolehkan secara syarie mahupun aqli melakukan khilaf al-ula. Alasannya, khilaf al-aula adalah di sana ada perkara-perkara mubah, tetapi di antara perkara-perkara yang mubah itu ada salah satu perkara yang lebih utama atau lebih layak untuk dilaksanakan ataupun di sana ada perkara-perkara mandub (sunah), tetapi di antara perkara-perkara yang mandub itu ada perkara yang lebih layak dipilih dan dilaksanakan.
Contohnya, seseorang boleh-boleh saja memilih hidup di desa atau di kota. Akan tetapi, tinggal di kota lebih utama dibandingkan tinggal di desa bagi orang yang ingin memantau urusan pemerintahan agar ia dapat melakukan muhasabah atau pembetulan/teguran terhadap para penguasa. Sedangkan memilih tinggal di desa adalah perbuatan khilaf al-aula (menyalahi hal yang lebih layak atau utama).
Contoh lain, bersedekah secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan adalah perkara yang mandub. Akan tetapi, sedekah secara sembunyi-sembunyi lebih utama dibandingkan secara terang-terangan. Dengan kata lain, bersedekah secara terang-terangan merupakan perbuatan khilaf al-aula (menyalahi keutamaan).
Rasul SAW boleh melakukan perkara-perkara yang termasuk khilaf al-aula. Bahkan beliau SAW boleh melakukan segala hal yang tidak termasuk maksiat sebab beliau telah melakukan perkara yang termasuk khilaf al-aula sehingga Allah menegur beliau kerana perbuatannya itu. Siapa saja yang mencermati ayat-ayat di atas pasti akan berkesimpulan bahawa mantuq, mafhum, dan dalalah (penunjukkan) telah menunjukkan hal ini (khilaf al-aula).
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taqlid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat