[Kaedah-Kaedah Taklid] Penjelasan terhadap Surah Al-Anfal Ayat 67 (Bahagian 1/2)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Sebahagian kaum muslim yang berpendapat bolehnya Rasulullah SAW melakukan ijtihad bersandar kepada surah Al-Anfal ayat 67. Allah SWT berfirman,
“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.” (TMQ Al-Anfal: 67).
Ayat ini menunjukkan disyariatkan hukum tawanan perang dengan syarat setelah berhasil melumpuhkan sejumlah besar musuh di muka bumi. Hal itu diperkuat oleh firman Allah SWT,
“Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka.”(TMQ Muhammad: 4).
Hukum mengenai tawanan perang tidak terdapat di dalam surah Al-Anfal ayat 67, yakni, “Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan.” (TMQ Al-Anfal: 67).
Akan tetapi, telah diturunkan sebelumnya di dalam surah Muhammad yang dinamakan juga dengan surah al-qital (perang). Surah Muhammad ini lebih awal turun dibandingkan surah al-Anfal. Allah SWT berfirman,
“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti.” (TMQ Muhammad: 4).
Oleh kerana itu, hukum mengenai tawanan perang telah disampaikan dan dikenal sebelum turunnya surah Al-Anfal ayat 67. Dari sini boleh difahami bahawa surah Al-Anfal ayat 67 di atas hanya berhubungan dengan teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW atas ketidak-tepatan beliau dalam memilih mana yang lebih utama (khilaf al-aula).
Surah Al-Anfal ayat 67 sama sekali tidak berbicara mengenai hukum tawanan perang, mahupun membetulkan kesalahan ijtihad Rasulullah (SAW). Dengan kata lain, surah Al-Anfal ayat 67 hanya berisi teguran kepada Rasulullah SAW bahawa beliau SAW tidak boleh memiliki atau mengambil tawanan perang sebelum berjaya melumpuhkan sejumlah besar musuh-musuhnya. Ini kerana makna “al-itskaanu” adalah melakukan pembunuhan dan menimbulkan ketakutan yang luar biasa.
Kenyataannya para sahabat telah membunuh sejumlah besar musuh hingga mereka berjaya memenangkan pertempuran. Adapun melumpuhkan sejumlah besar musuh di sini tidak disyaratkan perlu membunuh seluruh musuh. Namun, cukup membunuh sebahagian besar saja. Ketika sebahagian besar musuh berjaya dilumpuhkan, boleh dilakukan penawanan terhadap tawanan perang.
Oleh kerana itu, bolehnya menawan musuh telah ditetapkan di dalam surah Muhammad ayat 4 sebelum diturunkannya surah Al-Anfal ayat 67. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukan ijtihad dalam masalah hukum tawanan perang. Beliau hanya melaksanakan ketentuan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebelumnya, yakni bolehnya menawan musuh setelah melumpuhkan sejumlah besar musuh.
Dengan kata lain, surah Al-Anfal ayat 67 sama sekali tidak mengandungi hukum baru (hukum tawanan perang), mahupun membetulkan kesalahan ijtihad yang dilakukan oleh Rasulullah (SAW). Ayat tersebut hanya berisi teguran kepada Rasulullah SAW dalam hal khilaf al-aula sebab ketentuan mengenai tawanan perang sudah ditetapkan dan turun sebelum turunnya surah Al-Anfal ayat 67. Rasulullah SAW tidak melakukan ijtihad dalam masalah tertentu, tetapi hanya melaksanakan hukum yang telah turun kepadanya (surah Muhammad ayat 4).
Atas dasar itu, keputusan Rasulullah SAW untuk menawan musuh usai perang Badar tidak termasuk perkara tasyri‘ baru, lalu datang ayat yang menjelaskan kesalahannya. Tindakan Rasulullah SAW menawan musuh usai perang Badar bukanlah dosa yang menyalahi hukum yang diturunkan Allah SWT, tetapi menunjukkan bahawa Rasul menerapkan hukum tentang tawanan perang yang terdapat dalam surah Muhammad ayat 4.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat