[Kaedah-Kaedah Taklid] Penjelasan terhadap Surah Al-Anfal Ayat 67 (Bahagian 2/2)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Dalam kes perang Badar, yang lebih utama adalah memperbanyakkan lagi pembunuhan terhadap musuh sehingga kegentaran dan rasa takut pada diri musuh lebih dahsyat lagi. Selanjutnya, turunlah surah Al-Anfal ayat 67 yang menegur ketidak-tepatan Rasulullah dalam memilih perkara yang lebih utama.
Surah Al-Anfal ini hanya berisi teguran kepada Rasulullah SAW kerana menetapkan keputusan yang menyalahi perkara yang lebih utama. Ini kerana ketetapan sebelumnya (surah Muhammad ayat 4) telah membolehkan Rasulullah SAW untuk memilih antara melakukan penawanan atau membunuh tawanan perang. Hanya saja, Rasulullah SAW memutuskan untuk menawan tawanan perang, padahal pilihan ini bukanlah keputusan yang lebih utama. Selanjutnya, Allah menurunkan surah Al-Anfal ayat 67 untuk menegur Rasulullah SAW yang menyalahi perkara yang lebih utama (khilaf al-aula).
Dari sini dapat difahami dengan sangat jelas bahawa surah Al-Anfal bukanlah tasyri‘ baru mahupun pembetulan atas ijtihad Rasulullah SAW yang salah. Redaksi lengkap surah Al-Anfal ayat 67 adalah sebagai berikut,
“Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (TMQ Al-Anfal: 67).
Frasa ini memperkuat teguran yang terdapat di ayat tersebut. Makna ayat ini adalah, “Kamu telah mengambil tawanan perang, padahal kalian belum sampai pada taraf melumpuhkan musuh secara besar-besaran. Ini semua disebabkan ketamakan dalam mengharapkan tebusan mereka, yakni agar kamu dapat mengaup harta benda dari hasil tebusan perang. Akan tetapi, Allah SWT menghendaki terbunuhnya mereka lebih banyak lagi di medan pertempuran dan tidak menghendaki kamu untuk mengambil tawanan perang.”
Topik yang dibahas pada ayat ini adalah persoalan menawan musuh (tawanan perang), sedangkan kemegahan hidup dunia hanyalah implikasi dari tawanan perang. Ayat ini bukan teguran kerana mengambil tebusan, melainkan teguran atas tindakan beliau SAW menawan musuh sebelum melumpuhkannya secara besar-besaran. Dengan demikian, frasa ini merupakan penyempurna makna keseluruhan makna yang terkandung mulai dari awal ayat,
“Tidak patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (MQ Al-Anfal: 67).
Adapun firman Allah SWT,
“Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (MQ Al-Anfal: 68).
Ayat ini bukan ancaman Allah yang berupa azab terhadap pengambilan tebusan, tetapi hanya menunjukkan akibat-akibat yang mungkin timbul kerana menawan musuh sebelum pada taraf melumpuhkan mereka secara besar-besaran. Ini merupakan kerugian peperangan dan dimungkinkan boleh menyebabkan jatuhnya musibah bagi kaum muslim, yakni pembunuhan balas dari pihak kafir dan ini merupakan azab besar yang bukan berasal dari azab Allah.
Oleh kerana itu, maksud surah Al-Anfal ayat 68 ini adalah, “Seandainya Allah tidak memberitahu kalian bahawa kalian akan mendapatkan kemenangan (pertolongan), nescaya kalian akan tertimpa pembunuhan dan pelumpuhan dari musuh-musuh kalian disebabkan kalian telah mengambil tawanan perang sebelum berhasil pada tahap melumpuhkan musuh sebesar-besarnya.”
Al-Quran sendiri menggunakan kata “azab” untuk “terbunuh di dalam peperangan.” Allah SWT berfirman,
“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyiksa (mengazab) mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu.” (TMQ At-Taubah: 14).
Selain itu, surah Al-Anfal ayat 68 tidak mungkin bermakna azab dari Allah (SWT). Ini didasarkan kenyataan bahawa seruannya bersifat umum mencakup Rasul dan kaum mukmin. Jika ayat tersebut dianggap pembenaran suatu ijtihad, nescaya hal itu termasuk perkara yang dimaafkan sebab mereka (Rasulullah SAW dan kaum mukmin) tidak layak mendapatkan azab Allah.
Begitu pula jika ayat tersebut dianggap sebagai teguran terhadap perkara khilaf al-aula, sebagaimana kenyataannya, ini pun tidak layak juga memperoleh azab dari Allah sebab Nabi SAW boleh-boleh saja dan tidak akan berdosa tatkala melakukan khilaf al-aula. Oleh kerana itu, kata “azab” di dalam surah Al-Anfal tersebut tidak mungkin bermakna azab Allah (SWT). Makna yang tepat adalah pembunuhan dan penghinaan dari musuh-musuh kaum muslim.
Sedangkan hadis-hadis yang menuturkan sebab turunnya ayat-ayat ini adalah hadis ahad dan tidak layak digunakan sebagai hujah dalam perkara akidah, termasuk masalah apakah Rasul SAW boleh berijtihad atau tidak. Hadis-hadis tersebut bertentangan dengan dalil-dalil qath’i, yakni surah Muhammad tentang hukum tawanan perang yang ditujukan kepada Rasulullah (SAW). Sedangkan hadis-hadis tersebut menunjukkan sebaliknya, yakni para sahabatlah yang memberikan pendapatnya kepada Rasulullah SAW, padahal masalah hukum tentang tawanan termasuk hukum syarak yang Rasul dalam perkara ini menunggu wahyu.
Dalam masalah seperti ini, beliau tidak bermusyawarah dengan para sahabatnya mahupun melaksanakan apa yang mereka musyawarahkan dengan beliau SAW, lalu turun wahyu yang membetulkan kesalahan hukum yang telah ditetapkan Rasulullah SAW berdasarkan ijtihad mahupun musyawarah dengan para sahabat. Oleh kerana itu, seluruh hadis yang menerangkan dua ayat tersebut tertolak secara dirayah (matan hadis) dan tidak boleh dijadikan hujah.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat