[Kewangan Global] Membedah Krisis Kewangan Global: Pendahuluan (Bahagian 3/4)
Penulis: Jamal Harwood
(Sambungan dari “Pendahuluan” Bahagian 2/4)
Berikut ini adalah peristiwa-peristiwa penting yang menghentam dunia sejak krisis itu terjadi.
- Jun 2007: Dua dana Bear Stearns mengalami kerugian besar akibat kegagalan spekulasi dalam sekuriti gadai janji Amerika Syarikat.
- 14 September 2007: Berlaku bank run ke atas Northern Rock apabila para pelanggan panik dan mengeluarkan semua simpanan mereka.
- 17 Februari 2008: Northern Rock dinasionalisasikan selepas mengalami krisis modal.
- 16–17 Mac 2008: Bear Stearns dijual kepada bank pelaburan AS, JP Morgan Chase, selepas menerima tekanan daripada kerajaan Amerika Syarikat.
- 11 Julai 2008: Pengawal selia perbankan AS mengambil alih IndyMac Bancorp Inc, sebuah syarikat pemberi pinjaman gadai janji utama yang disenaraikan awam, selepas para pelanggan mengeluarkan lebih daripada AS$1.3 bilion dalam tempoh hanya 11 hari.
- 13 Julai 2008: Jabatan Perbendaharaan dan Bank Pusat AS mula menasionalisasikan syarikat kewangan gadai janji Fannie Mae dan Freddie Mac, yang menguasai hampir separuh daripada hutang gadai janji AS yang masih bermasalah.
- 15 September 2008: Lehman Brothers diisytiharkan bankrap, merupakan kebankrapan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Merrill Lynch turut menunjukkan tanda-tanda krisis yang sama dan segera diambil alih oleh Bank of America.
- 16 September 2008: AIG, salah satu syarikat insurans terbesar dunia, diselamatkan oleh Bank Pusat AS melalui pengumuman pakej bantuan bernilai AS$85 bilion sebagai pertukaran kepada 80 peratus pegangan saham. Pakej bantuan ini kemudiannya meningkat kepada lebih AS$130 bilion.
- 17 September 2008: Lloyds TSB membeli pesaingnya, HBOS, yang ketika itu berada dalam keadaan tenat. Kerajaan Britain mengetepikan semua isu berkaitan persaingan perniagaan.
- 20–21 September 2008: Perincian pelan penyelamatan kerajaan AS bernilai AS$700 bilion mula didedahkan bagi dua institusi yang sarat hutang, iaitu Goldman Sachs dan Morgan Stanley. Kedua-duanya merupakan baki terakhir bank pelaburan yang kemudiannya menukar status kepada bank holding company, sekali gus menamatkan model bank pelaburan ala Wall Street.
- 25 September 2008: Washington Mutual, bank simpanan terbesar di AS, akhirnya mengisytiharkan muflis sebelum dibeli oleh JP Morgan.
- 29 September 2008: Dewan Perwakilan Rakyat AS menolak pakej penyelamatan dwipartisan, menyebabkan indeks saham Wall Street menjunam sebanyak 778 mata — kejatuhan terbesar dalam sejarahnya.
Pada hari yang sama, Wachovia, bank keempat terbesar di AS, dibeli oleh Citigroup. Kerajaan Britain menasionalisasikan Bradford & Bingley, manakala kerajaan Belgium, Belanda dan Luxembourg masing-masing menasionalisasikan Fortis melalui pakej penyelamatan bernilai €11 bilion. Kerajaan Iceland mengambil alih Glitnir, bank ketiga terbesar negara itu, sementara kerajaan Jerman menambah jaminan kredit bernilai €35 bilion kepada Hypo Real Estate. - 30 September 2008: Kerajaan Belgium dan Perancis menyuntik dana sebanyak AS$6.4 bilion ke dalam Dexia, bank utama ketiga terbesar yang banyak menyalurkan pinjaman kepada kerajaan-kerajaan tempatan. Ireland pula memberi jaminan penuh ke atas deposit enam bank utama negara itu.
- 2 Oktober 2008: Dewan Perwakilan Rakyat dan Presiden AS meluluskan rang undang-undang bagi melepaskan dana AS$700 bilion untuk membeli aset bank-bank yang tidak cair dan bermasalah.
- Oktober–November 2008: Kerajaan AS, Britain dan negara-negara Eropah mengumumkan pakej pinjaman, jaminan dan penyelamatan bernilai trilion dolar, termasuk langkah menasionalisasikan bank-bank utama di negara masing-masing.
- November 2008: Sistem mata wang dan perbankan Iceland runtuh sepenuhnya, menyebabkan salah sebuah negara maju Barat itu terjerumus ke tahap sifar. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) campur tangan dengan pakej bantuan.
Peristiwa-peristiwa tersebut sangat tidak dijangka. Sejak berlakunya Kemelesetan Besar (Great Depression) pada tahun 1930-an, tidak pernah lagi berlaku kejadian yang sedahsyat dan separah itu dalam sistem kewangan dunia. Usulan kerajaan Amerika Syarikat untuk membeli aset-aset yang telah menjadi toksik bernilai sehingga AS$700 bilion daripada sistem perbankan AS pada peringkat awal telah ditolak oleh Dewan Perwakilan Rakyat AS dengan undian 228 berbanding 205. Ramai ahli kongres menyatakan bahawa pakej penyelamatan perbankan itu sangat tidak popular di mata rakyat Amerika.
Orang ramai mengemukakan hakikat bahawa Wall Street selama ini selesa mengekalkan keuntungan berbilion dolar mereka dalam tangan swasta. Namun, apabila keadaan menjadi buruk, mereka cenderung untuk “menasionalisasikan” kerugian supaya ditanggung oleh pembayar cukai Amerika. Ketika rakyat menderita akibat peningkatan kos makanan, tenaga dan perkhidmatan kesihatan, pakej pampasan kepada bekas pengurus bank Wall Street terus dibayar, malah bekas kakitangan Lehman Brothers telah pun menikmati bonus bernilai berbilion dolar daripada majikan baru mereka sejak 2009. Tidak menghairankan apabila masyarakat menunjukkan kekecewaan yang mendalam terhadap Wall Street dan konco-konconya di Washington.
Selain itu, sebahagian pihak turut mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat yang walaupun sudah berhutang bertrilion dolar, masih berhasrat melaksanakan dasar penyelamatan yang menelan kos luar biasa tinggi. Mereka juga mempersoalkan keputusan kerajaan untuk terus menyalurkan ratusan bilion dolar ke pasaran kewangan AS dan dunia.
Dalam sebuah ucapan enam tahun lalu (dari tarikh buku ini ditulis), mantan Gabenor Bank Pusat AS, Ben Bernanke, mendedahkan “senjata rahsia” kemampuan kewangan Amerika Syarikat: “Seperti emas, dolar AS mempunyai nilai kerana keterbatasannya dari segi bekalan. Namun begitu, kerajaan AS memiliki teknologi yang dipanggil mesin cetak (atau kini wujud mesin cetak elektronik), yang membolehkan kerajaan menghasilkan dolar AS sebanyak mana yang dikehendaki dengan kos pengeluaran yang sangat rendah.”
Situasi dasar kepercayaan kini telah menerima tamparan hebat. Satu-satunya langkah yang boleh diharapkan daripada kerajaan-kerajaan negara kapitalis ialah mesin cetak dan mesin cetak elektronik mereka itu. Langkah ini telah menyelamatkan Bear Stearns, AIG, serta Freddie Mac dan Fannie Mae dengan kos beratus-ratus bilion dolar. Kesemua pembiayaannya diperoleh daripada wang yang dicetak atau melalui pinjaman dengan menerbitkan sekuriti 9surat-surat berharga).
Langkah tersebut jelas menunjukkan tekad untuk menstabilkan sistem dalam jangka pendek tanpa mengambil kira berapa pun kosnya. Namun, impak yang sangat besar terhadap inflasi dan penyusutan nilai mata wang langsung tidak diambil kira.
(Bersambung ke “Pendahuluan” Bahagian 4/4)
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#KrisisKewangan #SistemKewangan #Kapitalisme