Indahnya Akhlak Ulama
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Imam Ibnu Sirin, seorang ulama besar dari kalangan tabiin, suatu saat bertanya kepada seseorang, “Bagaimana khabarmu?”
Kemudian, orang itu bertanya kembali, “Bagaimana keadaan orang yang memiliki hutang 500 dirham, sedangkan dia juga perlu menanggung nafkah keluarganya?”
Ibnu Sirin memahami keadaan itu. Beliau pun segera masuk ke rumahnya dan keluar semula dengan membawa wang 1000 dirham (sekitar RM1283.17) sehingga tidak ada baki wang pun di rumahnya. Kemudian dia berkata, “Ini untuk melunasi hutangmu 500 dirham dan untuk menafkahi keluargamu 500 dirham.”
Imam Hasan al-Basri, juga salah seorang ulama terkemuka sering mengghibahi dirinya sendiri dengan berkata, “Kamu ini suka berkata-kata dengan perkataan yang soleh dan selalu taat dalam beribadah, sedangkan kamu melakukan perbuatan orang-orang fasik, munafik dan mereka yang suka berlagak!” (Tanbih al-Mughtarrin, hlm. 9).
Muhammad bin Sa’ad, merupakan seorang ulama yang zuhud. Suatu saat, tanpa disedari beberapa wang dinarnya -yang bernilai ratusan ribu ringgit saat ini- telah jatuh dan hilang.
Kemudian beliau pun mengajak seorang pengayak tepung untuk mencari wang tersebut. Akhirnya, beliau sendiri menemukan kembali wangnya. Namun, beliau malah berkata sendiri kepada dirinya, “Adakah di dunia ini hanya ada dinarmu sahaja?”
Seketika itu, wang itu pun beliau tinggalkan lalu berkata kepada si pengayak, “Dinar itu menjadi milikmu.” (Tarikh Baghdad, 5/15).
Sultan Murad II, salah seorang penguasa Khilafah Uthmaniyyah telah memilih guru-guru khusus untuk mendidik puteranya. Salah seorang darinya adalah Syeikh Ahmad Bin Ismail al-Kaurani. Sultan Murad II juga memberikan Syeikh al-Kaurani sebuah cambuk yang boleh digunakan untuk memukul Muhammad kecil jika dia melakukan pembangkangan (Nashr al-Kabir Muhammad al-Fatih, hlm. 40–41).
Ketika muda, Imam Abu Yusuf pernah menghadiri majlis ilmu Imam Abu Hanifah. Namun, ayahnya melarang, “Janganlah engkau pergi kepada Abu Hanifah. Dia bukan orang yang kaya, sedangkan engkau memerlukan bahan (untuk bekal belajar).”
Sejak itu, Abu Yusuf mula jarang menghadiri majlis Imam Abu Hanifah sehingga beliau merasa kehilangan. Pada suatu hari, Imam Abu Hanifah bertanya mengenai sebab ketidakhadiran Abu Yusuf. Abu Yusuf menjawab, “Aku sibuk bekerja dan mentaati apa yang dikatakan oleh orang tuaku.”
Mendengar perkara itu, Imam Abu Hanifah memberikan sebuah beg berisi 100 dirham (sekitar RM127.46) dan berkata “Gunakan ini dan tetaplah mengikuti halaqahku. Jika wang itu sudah habis, segera khabarkan padaku.”
Akhirnya, Imam Abu Yusuf kembali aktif dalam halaqah. Imam Abu Hanifah juga secara rutin terus memberikan wang kepada Abu Yusuf. Beliau melakukan perkara itu selama 29 tahun sehingga Abu Yusuf memperolehi banyak ilmu dan juga bahan belajar (Al-Muwaffaq al-Khawarizmi, Manaqib Abi Hanifah, 1/469).
Imam Abu Hanifah pernah menahan diri untuk tidak memakan kambing selama beberapa tahun. Beliau melakukan itu sebagai langkah berjaga-jaga setelah mendengar bahawa seekor kambing jirannya telah dicuri. Beliau melakukan perkara itu selama beberapa tahun sesuai dengan usia kehidupan seekor kambing sehingga dianggarkan kambing itu telah mati (Ar-Rawdh al-Faiq, hlm. 215).
Imam Al-Hulwani, ulama pengikut mazhab Hanafi yang menjadi imam besar di Bukhara pernah berkata, “Sungguh aku memperoleh ilmu ini dengan memuliakannya. Aku tidak mengambil catatan ilmu, kecuali dalam keadaan suci.”
Murid beliau, yang juga seorang ulama besar iaitu Imam Syamsuddin as-Sirakhsi, pada suatu hari mengulangi wuduk pada malam hari sehingga 17 kali kerana sakit perut. Perkara itu beliau lakukan agar dapat menelaah ilmu dalam keadaan suci. (Mukhatsar al-Fawaid al-Makkiyyah, hlm. 30).
Beberapa kisah di atas hanyalah gambaran kecil tentang bagaimana para ulama terdahulu mempraktikkan adab atau akhlak yang mulia.
Kebesaran dan keagungan mereka bukan semata-mata kerana keluasan ilmu mereka, tetapi juga kerana ketinggian adab dan akhlak mereka. Wajar saja, kerana mereka memandang adab atau akhlak mulia sebagai perkara yang amat penting, bahkan lebih penting daripada ilmu.
Diriwayatkan, Imam Malik bin Anas menghabiskan waktu selama 16 tahun untuk mempelajari adab (akhlak) dan 4 tahun untuk mencari ilmu.
Terkait pentingnya adab atau akhlak mulia, Imam Syafie pernah ditanya oleh seseorang, “Bagaimana Anda mempelajari adab?”
Imam Syafie menjawab, “Aku mempelajari adab seperti usaha seorang ibu mencari-cari anaknya yang hilang.” (Hasyim Asy’ari, Adab al-‘Alim wa al-Muta’allim, hlm. 10–11).
Imam Ibnu Qasim, salah seorang murid senior Imam Malik mengatakan, “Aku telah mengabdi sekaligus belajar daripada Imam Malik bin Anas selama 20 tahun. Selama itu, 18 tahun aku mempelajari adab (akhlak), sisanya 2 tahun untuk mempelajari ilmu.” (Tanbih al-Mughtarrin, hlm. 12).
Semoga saja kita dapat meneladani keagungan adab dan akhlak mereka.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.