[Fikh] Hukum Berhutang untuk Melaksanakan Akikah
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Bolehkah kita berhutang untuk melaksanakan akikah?
Jawapan:
Hukumnya boleh kita meminjam wang (istiqrādh) untuk melaksanakan akikah, dengan syarat kita mempunyai kemampuan untuk membayar hutang tersebut. Imam Ibnu Taimiyyah berkata,
“Barang siapa yang tidak mempunyai harta yang boleh digunakan untuk berkorban atau berakikah maka dia boleh meminjam wang untuk berkorban atau berakikah, tetapi dia mesti mempunyai kemampuan untuk membayar semula pinjamannya itu.” (Imam Ibnu Taimiyyah, Al-Fatāwā Al-Kubrā, 4/468).
Malah, sebahagian ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, juga Imam Ibnul Mundzir, dan Imam Ibnul Qayyim menganjurkan meminjam wang (istiqrādh) untuk akikah kerana ia termasuk menghidupkan sunnah Nabi SAW. (ihyā`us sunnah). (Husāmuddin ‘Ifānah, Al-Mufashshal fī Ahkām Al-’akikah, hlm. 41–42).
Syeikh Husāmuddin ‘Ifānah menjelaskan hukum berhutang untuk akikah tersebut dengan berkata,
“Sebahagian ulama mengatakan bahawa berakikah itu disyariatkan bagi orang fakir yang tidak mempunyai wang untuk berakikah, bahkan Imam Ahmad menganggap sunnah bagi seorang muslim jika dia dalam kesusahan untuk meminjam (qardh) dan membeli haiwan akikah lalu menyembelihnya untuk menghidupkan sunnah Nabi SAW.” (Husāmuddin ‘Ifānah, Al-Mufashshal fī Ahkām al-’akikah, hlm. 41)
Pendapat Imam Ahmad ini diriwayatkan dalam kitab Tuhfatul Maudūd bi Ahkām Al-Maulūd karya Ibnul Qayyim al-Jauziyyah hlm. 50—51 seperti berikut,
Shalih, anak Imam Ahmad bertanya kepada Imam Ahmad, “Seorang lelaki mempunyai anak, tetapi dia tidak mempunyai wang untuk membeli haiwan akikah, mana yang lebih kamu sukai, dia meminjam wang kemudian menyembelih haiwan akikah dengan wang itu, atau dia menangguhkannya sehingga dia mampu?” Imam Ahmad menjawab, “Hadis yang paling jelas tentang akikah adalah hadis dari Al-Hasan bin Samurah bahawa Rasulullah SAW. bersabda, ‘Setiap anak yang dilahirkan, tergadai dengan akikahnya.’ Sungguh saya berharap jika dia meminjam wang (untuk akikah), Allah akan mempercepatkan gantinya kerana dia telah menghidupkan satu sunnah di antara sunnah-sunnah Nabi (SAW.).” (Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah, Tuhfatul Maudūd bi Ahkām al-Maulūd, hlm. 50—51, dikutip oleh Husāmuddin ‘Ifānah, dalam Al-Mufashshal fī Ahkām al-’akikah, hlm. 41)
Imam Ibnul Mundzir mengulas pendapat Imam Ahmad dengan berkata,
“Pendapat Imam Ahmad benar (bahawa) menghidupkan dan mengikuti sunnah-sunnah Nabi SAW. adalah lebih utama. (Ini kerana) terdapat hadis-hadis yang kami riwayatkan mengenai perkara ini yang tidak terdapat dalam kitab-kitab lain dan kerana akikah itu adalah sembelihan yang diperintahkan oleh Nabi maka ia lebih utama daripada walimah atau korban.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 9/460, dikutip oleh Husāmuddin ‘Ifānah dalam Al-Mufashshal fi Ahkām al-’akikah, hlm. 41).
Imam Ibnul Qayyim mengulas pendapat Imam Ahmad dengan berkata,
“Dan ini (pendapat Imam Ahmad bahawa sunnah berhutang untuk akikah) kerana akikah itu sendiri adalah sunnah dan akikah telah disyariatkan kerana pembaharuan keredhaan dari Allah untuk kedua ibu bapa. Dalam akikah ini ada rahsia yang indah yang diwarisi dari tebusan Nabi Ismail as. dengan kambing kibas yang (awalnya) Ismail yang akan disembelih, kemudian Allah menebusnya dengan kambing kibas itu, maka ini menjadi suatu sunnah untuk anak-anak dia sesudahnya, iaitu anak-anak mereka ditebus pada kelahirannya.…” (Ibnul Qayyim, Tuhfatul Maudūd bi Ahkām Al-Maulūd, hlm. 51, dikutip oleh Husāmuddin ‘Ifānah, dalam Al-Mufashshal fi Ahkām Al-’akikah, hlm. 41).
Imam Nawawi mengulas dalam masalah ini dengan mengatakan,
“Melaksanakan akikah itu lebih utama daripada bersedekah dengan wang yang senilai pada pendapat kami dan itulah pendapat Imam Ahmad dan Imam Ibnul Mundzir.” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, 8/433, dipetik oleh Husāmuddin ‘Ifānah dalam Al-Mufashshal fi Ahkām al-’akikah, hlm. 41).
Kesimpulan
Hukumnya boleh kita meminjam wang (istiqrādh) untuk melaksanakan akikah, dengan syarat kita mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman tersebut. Demikian menurut Imam Ibnu Taimiyyah.
Malah menurut Imam Ahmad, hukumnya sunnah meminjam wang (istiqrādh) untuk melaksanakan akikah, mengikut hukum akikah itu sendiri (iaitu sunnah) kerana orang yang berhutang itu dianggap telah menghidupkan satu sunnah di antara sunnah-sunnah Nabi (SAW.). Wallahualam bissawab.
Sumber: muslimahnewsid
#akikah