Tonggak Baru Peradaban
Oleh: Dr. Rini Syafri
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW. menjadi tonggak baru peradaban terutamanya terkait fungsi dan tanggungjawab negara. Negara Islam yang Baginda dirikan setelah hijrah, berfungsi sebagai junnah (pelindung) rakyat dari segala bahaya dan juga sebagai raa’in (pengurus) kepentingan rakyat.
Hal ini selaras dengan konsep kuasa berpusat dan pentadbiran desentralisasi yang berpegang pada tiga perkara iaitu peraturan yang sederhana, pelaksanaan pantas serta dilakukan oleh orang yang berkebolehan. Negara juga mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi kerana melaksanakan bajet berasaskan baitulmal semata.
Adapun dari segi tanggungjawab umum, para pemimpin dari negara yang Baginda SAW. dirikan wajib berkarakter sebagai seorang yang bertakwa selain dari bijak berfikir dan berkecenderungan sebagaimana layaknya seorang penguasa dalam Islam. Dalam masa yang sama, seorang pemimpin juga perlu bersifat lemah lembut dan tidak kejam terhadap rakyat.
Selain itu, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengadakan hubungan baik dengan rakyat iaitu dengan cara saling menasihati, bebas dari unsur penipuan, dilarang menyentuh harta rakyat dan menerapkan syariat Islam semata.
Kedua-dua aspek tersebut -fungsi negara dan tanggungjawab penguasa- dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW. dan diteruskan oleh para khalifah setelah Baginda. Sungguh keadaan ini sangat memukau dunia kerana keperluan hidup -baik fizikal ataupun tidak- kehidupan setiap individu rakyat benar-benar terjamin dan dipenuhi. Bermula dari makanan dan air bersih sehinggalah ke pendidikan, kesihatan dan keselamatan hidup mereka. Hasilnya, masyarakat Daulah berada di puncak peradaban dan perkara ini berlangsung di dua pertiga dunia selama berbelas abad.
Jauh berbeza dengan keadaan hari ini dimana fungsi dan tanggungjawab negara diterapkan mengikut konsep kapitalisme iaitu good governance (tadbir urus yang baik) dan reinventing government (dan mencipta semula kerajaan). Realitinya saat ini, yang terjadi malah kesengsaraan dan penderitaan yang tidak berkesudahan. Rakyat sukar untuk memenuhi berbagai keperluan hidup mereka. Ironinya, semua ini terjadi di tengah-tengah kemajuan ilmu pengetahuan dan juga teknologi.
Apa yang berlaku semasa zaman pemerintahan Daulah merupakan suatu perkara yang mustahil terjadi dalam sistem kehidupan sekular yang berasaskan sistem ekonomi kapitalis dan politik demokrasi. Tiada jalan lain untuk mengakhiri kesengsaraan dan kehinaan ini kecuali dengan kembali kepada pangkuan kehidupan Islam. Tentu saja dengan meneladani jalan perubahan yang Rasulullah SAW. contohkan. Wallahua’lam.