[Nafsiyah] Ancaman Neraka bagi para Pendosa
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Selain penting untuk selalu meyakini kewujudan syurga agar sentiasa terdorong untuk melakukan amal-amal kebaikan, setiap muslim sejati perlu sentiasa meneguhkan kepercayaan dalam dirinya terhadap kewujudan neraka. Kepercayaan ini penting sebagai jalan untuk kita sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala bentuk dosa.
Malangnya, kepercayaan seperti ini selalunya terbatas kepada hanya wujud dalam hati dan diucapkan secara lisan. Secara praktiknya, tidak sedikit umat Islam yang dalam kehidupan seharian mereka banyak menjalankan amalan ahli neraka, iaitu seolah-olah mereka tidak takut dengan dahsyatnya azab neraka. Terdapat banyak bukti yang berkaitan dengan hal ini, seperti meningkatnya kes rasuah. Semakin banyak kes rasuah didedahkan. Skandal-skandal dan perzinaan semakin berleluasa. Penyalahgunaan dadah semakin terbuka. Kes-kes rogol semakin menggerunkan. Menunjukkan aurat semakin dianggap perkara biasa. Jenayah semakin berleluasa. Sebaliknya, penguatkuasaan undang-undang menjadi semakin huru-hara dan keadilan semakin jauh panggang dari api.
Semua in mungkin kerana manusia pada masa kini seolah-olah tidak lagi takut dengan ancaman neraka. Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman, antaranya,
“Takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” [TMQ al-Baqarah (2): 24].
Katakanlah, “Api neraka Jahanam lebih panas membakar,kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.” [TMQ at-Taubah (9): 81].
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” [TMQ an-Nisa’ (4): 56].
Selain daripada ayat di atas dan ayat-ayat lain, ancaman neraka juga disebutkan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang menyatakan,
“Sesungguhnya seksaan paling ringan yang akan dialami oleh ahli neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang diletakkan dua bara api dibawah kedua-dua tumitnya yang dapat mendidihkan otaknya.” [HR Al-Bukhari dan Muslim dari Nu’man bin Basyir].
Azab neraka tersebut disediakan untuk orang yang mendustakan petunjuk Allah SWT dan berpaling dariNya, serta orang-orang yang suka melakukan dosa dan bermaksiat kepadaNya. Ironinya, bukannya takut dengan azab neraka, malah sebahagian daripada para pendosa dan pelaku maksiat itu melakukan semua perkara tersebut dengan rasa bangga. Mereka tidak berasa bersalah atau berasa sedikit pun menyesal.
Yang pasti mereka akan merasai penyesalan di akhirat kelak iaitu apabila Allah SWT menjatuhkan azab yang keras kepada orang yang berdosa.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
Sumber: ariefbiskandar[dot]com