[Nafsiyah] Selamatkan Hati Kita
Penulis: Ustaz M. Taufik N.T.
Marilah kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, Zat yang akan membangkitkan manusia di hari akhirat ketika manusia tidak lagi boleh berdusta, di hari di mana harta, kedudukan, pangkat, serta ibu bapa, anak-anak, dan isteri tidak lagi dapat memberi manfaat. Pada hari itu, hanya orang yang bersih hatinya akan nampak berseri-seri serta penuh rasa syukur kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Allah SWT berfirman,”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” [TMQ Asy-Syu’araa (26): 88-89].
Dalam kitab Ighootsatul Lahfaan halaman 7, Ibnu Qoyyim Al Jauziyah menulis tentang beberapa makna hati yang bersih. Salah satunya ialah hati yang bersih dari setiap syahwat atau keinginan yang bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT. Juga bersih dari setiap syubhah (keraguan) yang bertentangan dengan nasNya, sehingga hati itu bersih dari menyembah selain Allah dan dari berhukum dengan selain RasulNya.
Syahwat yang bertentangan dengan perintah dan larangan Allah boleh berpunca dari wanita, anak-anak, dan harta. Allah SWT berfirman, “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan haiwan ternakan, serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” [TMQ Al-Imran (3):14]
Kecintaan kepada wanita kadang kala boleh mengotori hati sehingga menyebabkan kita melanggar larangan Allah SWT, bermula dari melihat aurat mereka, walaupun tanpa syahwat, apatah lagi dengan syahwat, berkhalwat, melakukan perbuatan yang mendekati zina atau berzina, malah membunuh Nabi Yahya AS juga berpunca daripada seorang wanita. [Siaru A’laamin Nubalaa’ juz 2/294, Al-Muhalla juz 2/22, ‘Uud al Hijaab juz 2/195, Al-Muwajahah hlm. 80]
Demikian juga, anak-anak dan harta boleh membuatkan hati kita buta. Banyak kes rasuah, suapan, dan penipuan lain akibat dari hati yang kotor kerana tergoda dengan harta.
Tanda lain bersihnya hati adalah terbebas dari syubhah. Syubhah bukanlah alasan bagi seorang muslim untuk melakukan atau mengucapkan sesuatu. Malah, kita tidak sepatutnya membenarkan, mengucapkan, atau melakukan sesuatu yang kita tidak pasti kebenarannya.
Diriwayatkan dari Nu’man bin Basyir RA bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh banyak orang. Maka sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhah, dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah, dia telah terjerumus ke dalam perkara yang haram, seumpama pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, kemungkinan besar binatangnya akan memasuki ke dalam kawasan tersebut. Ingatlah! Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya kawasan terlarang Allah ialah apa sahaja yang diharamkanNya. Ingatlah! Sesungguhnya dalam tubuh manusia terdapat seketul daging, jika baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ingatlah! Itulah hati.” [HR Bukhari-Muslim]
Dari hadis ini jelas bahawa tanda kebaikan agama seseorang dan kebersihan hatinya adalah apabila dia melakukan yang halal, meninggalkan yang haram, dan menjauhi yang syubhah. Orang yang membersihkan dan melindungi hatinya adalah orang yang sungguh-sungguh berusaha mewujudkan syariatNya dalam kehidupan peribadi, sosial dan politik.
Tanda kotornya hati jika seseorang hanya mengikuti dan berkata, “Yang penting hatinya bersih. Masalah sesuai dengan peraturan Allah atau tidak, itu kan bergantung pada niatnya.” Lebih teruk lagi, jika seseorang yakin hatinya sudah bersih, maka dia melanggar aturan Allah SWT. Ingatlah, Rasulullah SAW memalingkan mukanya apabila melihat Asma’ binti Abu Bakar masuk ke rumah beliau dengan pakaian yang nipis. Baginda juga segera bergegas apabila turunya perintah Allah, padahal baginda adalah orang yang paling bersih hatinya.
Tanda hati yang kotor ialah jika seseorang merasakan tidak ada masalah melihat perkara yang diharamkan Allah, contohnya tidak berasa bersalah melihat aurat wanita atau menonton perkara yang tidak senonoh. Dia rela melakukan kemungkaran dan hukum-hukum Allah diingkari. Malah, jika sekadar tidak rela tetapi berdiam sahaja, itu menurut Rasulullah SAW adalah selemah-lemahnya iman.
Rasulullah SAW bersabda,”Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, Nasaai, Ahmad, Ibn Majah]
Semoga Allah SWT membersihkan hati kita, mengisinya dengan keimanan, ilmu, dan hikmah kerana hanya Dia sebaik-baik pembersih hati, serta pemimpin, dan pembalik hati kita.