[Nafsiyah] Kita Akan Ditanya Tentang Nikmat
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Allah SWT berfirman, “Kemudian pada hari itu kalian benar-benar akan ditanya tentang nikmat.” [TMQ at-Takatsur (102): 8].
Sudah tentu kita sering membaca atau mendengar ayat ini. Berkaitan dengan ayat ini, terdapat riwayatnya. Dinyatakan bahawa baginda Rasulullah SAW sering berasa lapar kerana sering tidak mempunyai makanan di rumahnya. Apabila baginda tidak mempunyai makanan di rumah, baginda berpuasa. Baginda tidak sedih atau terganggu kerana “musibah” kelaparan. Kemudian apabila ada sahabat menghantar kurma kepada baginda, bukannya bersikap gembira, malah baginda kelihatan sedih dan terganggu sambil mengingatkannya tentang ayat di atas.
Begitulah sikap Rasulullah SAW apabila mendapatkan nikmat. Kenapa? Ini kerana mengenai nikmat yang Allah berikan kepada manusia, walau sekecil mana pun, mereka akan dipertanggungjawabkan. Nikmat yang dimaksudkan sudah tentu ialah semua keseronokan dunia. [Lihat: As-Suyuthi, Durr al-Mantsur, X/337].
Sebaliknya, Allah SWT tidak akan meminta pertanggungjawapan atas musibah yang ditimpakanNya kepada manusia. Oleh itu, baginda Rasulullah SAW tidak sedih kerana musibah yang menimpa baginda.
Namun, kita sememangnya sangat berbeza dengan baginda Rasulullah SAW. Kita sering merasakan sangat sedih apabila kenikmatan terlepas dari diri kita. Sebaliknya, kita terlalu gembira apabila kenikmatan itu datang kepada kita. Kita lupa bahawa untuk kenikmatan itu kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Terkait dengan nikmat pula, kita sering teringat akan sabda baginda Rasulullah SAW, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Mas’ud RA, “Tidak akan bergeser kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan Rabbnya hingga ditanya tentang lima perkara, iaitu umurnya untuk apa dihabiskan, masa mudanya untuk apa dihabiskan, hartanya dari mana dia dapatkan dan dibelanjakan untuk apa harta tersebut, dan sudahkah beramal terhadap ilmu yang telah dia ketahui.” [HR At-Tirmidzi].
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, disebutkan bahawa baginda Rasulullah SAW pun pernah bersabda, “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, adalah kesihatan dan waktu lapang.” [HR Al-Bukhari].
Sesungguhnya, mengenai nikmat kesihatan dan waktu lapang, kita juga akan ditanya dan dipertanggungjawabkan, sejauh mana kita menggunakan kesihatan dan waktu lapang, adakah untuk kebaikan atau keburukan? Adakah untuk memperbanyakkan amal soleh atau perkara mungkar? Adakah untuk taat atau maksiat?
Bagaimana pula dengan nikmat harta? Walaupun kita mempunyai sedikit harta, kita tetap akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan, dari mana dan untuk apa? Lebih-lebih lagi jika harta kita melimpah ruah, sudah tentu akan timbul lagi persoalan dari Allah SWT kepada kita pada hari akhirat nanti.
Oleh kerana itu, baginda Rasulullah SAW pernah bersabda tentang Abdurrahman bin Auf RA, seorang sahabat yang sangat kaya. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Ummul Mukminin Aisyah RA, “Di akhirat nanti, Abdurrahman bin Auf akan masuk syurga dengan merangkak (kerana hartanya yang banyak akan menyusahkan dia untuk dihisab di hadapan Allah SWT, pen.).” [HR Ahmad dan Ath-Thabarani].
Mendengar sabda baginda Rasulullah SAW demikian, Abdurrahman bin Auf RA segera menyedekahkan seluruh hartanya. Ini termasuk emas dan perak yang diangkut dengan 700 ekor unta (bersama semua untanya), walaupun harta itu baru tiba di Madinah hasil keuntungan beliau berniaga di Syam.
Dia melakukan ini kerana sangat bimbang tentang berapa lama tempoh penghisaban Allah SWT ke atas dirinya di akhirat nanti kerana hartanya yang melimpah ruah itu.
Sebenarnya Abdurrahman bin Auf RA pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda kepada dirinya, “Wahai Ibnu Auf, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang kaya dan kamu akan masuk syurga dengan merangkak. Oleh itu, pinjamkanlah suatu pinjaman kepada Allah supaya Allah membebaskan kedua telapak kakimu.” [HR Al-Hakim, 3/ 311 dan Al-Hilyah, 1/ 99].
Sejak itu, dia banyak menginfakkan hartanya di jalan Allah. Kemudian, Allah SWT gandakan balasan kepadanya di dunia dan akhirat.
Pada suatu hari, dia pernah menjual tanah dengan harga 40,000 dinar (lebih kurang RM67,000,000), kemudian membahagikan semuanya kepada keluarganya, iaitu Bani Zahrah, untuk Ummahatul Mukminin, dan kaum fakir dari kalangan kaum muslim.
Pada suatu hari, dia pernah memberikan 500 ekor kuda kepada tentera Islam. Pada hari yang lain, dia menginfakkan sebanyak 1500 ekor unta.
Apabila dia meninggal dunia, dia mewasiatkan sebanyak 50,000 dinar (lebih kurang RM83,750,000) di jalan Allah. Dia juga mewasiatkan untuk setiap tentera yang masih hidup dalam Perang Badar agar menerima 400 dinar (lebih kurang RM670,000) di jalan Allah. Masyaallah!
Wama tawfiqi illa billah wa ‘alaihi tawakaltu wa ilayhi unib.
Sumber: ariefbiskandar[dot]com