Rasulullah sebagai Tonggak Perubahan dan Kesatuan Umat
Penulis : Tim Lajnah Tsaqafiyah
Pada ayat terakhir daripada Surah al-Fath dihuraikan bagaimana sifat-sifat umat yang memegang teguh kepercayaan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. “Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang ada bersamanya bersikap keras dan tegas terhadap mereka yang kafir, sayang-menyayangi di antara sesama mereka.” [TMQ al-Fath(48) : 29].
Ayat ini memberikan panduan yang jelas tentang bagaimana pendirian umat Islam terhadap orang-orang disekeliling. Orang-orang yang beriman bersikap keras terhadap orang yang masih kafir dan tidak mahu menerima kebenaran seruan Ilahi. Tetapi apabila bertemu sesama mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul, mereka saling berkasihan dan merahmati antara satu sama lain. Walaupun saudara kandung seayah dan seibu, jika keyakinan kepada Tuhan berbeza, akan ada rasa renggang. Sebaliknya, walaupun seseorang dari bangsa Arab dan seorang lagi dari bangsa Rom, jika keyakinan hidup dan keimanan adalah satu, iaitu Islam, mereka akan menjadi saling berkasihan dan merahmati.
Kita melihat contoh pada zaman Rasulullah SAW iaitu Bilal dari Habsyi, Shuhaib dari Rom, dan Salman dari Parsi, yang hidup seperti bersaudara, berbaris menjadi satu di medan perang, bersaf menjadi satu di belakang Rasulullah SAW bersama-sama dengan Abu Bakar yang merupakan seorang bangsa Quraisy. “Muhammad adalah utusan Allah!” Inilah pedoman hidup dan perjuangan bagi umat Islam dalam menghadapi dunia. Kita mengakui kerasulan baginda dengan meneladani langkahnya, mencontohi kekuatannya, dan menjunjung tinggi sunnahnya.
Muhammad Rasulullah SAW adalah laksana cahaya yang menerangi kita untuk melanjutkan perjuangan dan jihad ini. Apabila kalimat ini dimulai dengan “La ilaha illallah” disusuli dengan “Muhammadur Rasulullah,” tersimpullah seluruh kehidupan Muslim kepada dua kata itu: hidup menurut kehendak Allah dan mati pun menurut kehendak-Nya. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Untuk memastikan seluruh kehidupan itu menempuh jalan yang benar dan diredhai oleh Allah, hendaklah kita menuruti contoh teladan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW.
Untuk kehidupan seperti ini, akan muncullah orang-orang yang sefahaman, seakidah, sehaluan, dan sama tujuan. Inilah yang dinamakan umat. Maka umat ini diberi nama yang tegas, iaitu umat Islam. Erti Islam ialah penyerahan dengan segala sukarela, penyerahan yang wajar kerana akal itu sendiri yang telah mendapat jalan itu, tidak ada lagi jalan yang lain. Maka dengan sendirinya, umat Islam ini mempunyai persaudaraan yang amat luas, seluas tersebarnya fahaman itu sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: “Muslim adalah saudara dari orang yang Muslim. Dia tidak akan menghinakannya, dan dia tidak akan mengecewakannya.” Apabila datang waktu solat, mereka pun bersatu tempat menghadap kiblat yang sama. Walau di mana mereka tinggal dan bangsa apa sekalipun, kiblatnya satu. Allah, Tuhan yang mereka sembah itu, yang jadi asas tujuan hidup mati, zahir batin seorang Muslim itu pun juga satu. Tidak berbeza Allah orang Afrika yang berkulit hitam dengan Allah orang Eropah yang berkulit putih dan orang Jepun yang berkulit kuning.
Walaupun beratus-ratus jenis bahasa yang mereka guna, ucapan salam mereka tetap sama: “Assalamu’alaikum,” dan jawapannya pun sama: “Wa’alaikumus-salam.” Setelah terjadi persatuan keyakinan, persatuan akidah dan ibadah, dan persatuan dalam pandangan hidup, dengan sendirinya timbullah persaudaraan yang rapat. Lantaran persaudaraan yang rapat, timbullah penyatuan sikap dan perangai: “Dan orang-orang yang bersamanya akan bersikap keras terhadap orang-orang yang kafir, saling menyayangi di antara sesama mereka.”
Begitulah sikap hidup umat yang telah mengaku tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah. Mereka sesama sendiri, bersatu akidah, bersatu pandangan hidup, dan cinta-mencintai, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Di antara mereka yang sefaham, tidak ada persoalan yang tidak diselesaikan, tidak ada keruh yang tidak dijernihkan. Inilah yang dinamakan “Ukhuwwah Islamiah.”
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Perumpamaan persaudaraan orang-orang yang beriman itu, dalam cinta-mencintai dan berkasih-sayang adalah umpama tubuh yang satu; apabila mengeluh satu bahagian tubuh, rasa demam dan tidak tidur akan menjalar ke seluruh bahagian tubuh.” Dan sabda baginda SAW juga: “Orang yang beriman dengan sesama orang yang beriman adalah laksana satu bangunan jua; satu bahagian menguatkan yang lain.”
Diolah daripada tulisan Buya Hamka (Tafsir Al-Azhar, Jilid 9)