[Ath-Thariq] Konsep Kapitalisme (Bahagian 1/3)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Melalui pembahasan yang lalu, kita telah ketahui bahawa kapitalisme itu merupakan sebuah ideologi yang tidak layak untuk dijadikan landasan kebangkitan, kerana rosaknya qaidah fikriyyah (landasan berfikir) kapitalisme yang tidak dapat memuaskan akal dan juga tidak sesuai dengan fitrah.
Dalam tulisan ini, kami akan menjelaskan beberapa konsep kapitalisme dan memaparkan kerosakannya agar lebih menguatkan pendapat kami tentang rosaknya ideologi ini, selain untuk memberikan penjelasan kerosakan konsep-konsep kapitalisme pada mereka yang belum mengetahuinya.
Lebih-lebih lagi dengan terbiusnya berbagai konsep tersebut di benak anak-anak umat ini tanpa mereka ketahui bahawa semua itu merupakan konsep dan idea kapitalisme yang rosak. Dominasi idea serta konsep tersebut akan terus-menerus berlangsung melalui perang pemikiran, ahli politik yang menjadi hamba penjajah, golongan intelektual dan ilmuwan yang ada dalam masyarakat, serta adanya orang-orang yang telah dirasuki tsaqafah Barat ini.
Sebahagian dari konsep-konsep tersebut adalah sebagai berikut.
Pertama: Konsep Kapitalisme Seputar Masyarakat
Kapitalisme memandang masyarakat sebagai sebuah kumpulan individu yang hidup bersama. Mereka membuat kesimpulan bahawa setiap kumpulan manusia boleh disebut sebagai masyarakat, mereka mengatakan bahawa sebuah pesawat Jumbo Jet yang melalui penerbangannya yang tidak lebih dari 5 jam boleh disebut masyarakat.
Idea seperti ini lahir dari konsep yang berkaitan dengan individu dalam kapitalisme. Konsep mereka berpindah dari individu pada keluarga, kemudian pada kelompok, lalu masyarakat dengan anggapan bahawa masyarakat itu terbentuk dari kumpulan individu.
Berdasarkan pandangan seperti ini, kapitalisme telah menetapkan banyak solusi untuk berbagai masyarakat. Ia memandang masyarakat sebagai satu entiti tersendiri yang terpisah sehingga apa yang sesuai dan layak bagi sebuah masyarakat, dan kadang-kadang tidak sesuai bagi masyarakat yang lain.
Dengan pandangan seperti ini, para penganut kapitalisme telah memusatkan perhatiannya pada individu dan mengabaikan masyarakat. Ketika mereka memahami bahawa masyarakat itu merupakan kumpulan individu saja, maka mereka menganggap masyarakat sebagai sesuatu yang tidak penting dan meletakkan berbagai solusi hanya untuk individu-individu saja.
Mereka hanya menaruh perhatian pada individu dan mengharuskan adanya berbagai kebebasan yang semuanya berkaitan dan khusus untuk individu. Mereka menjamin dan menyangjung berbagai kebebasan tersebut, walaupun mereka membatasinya dalam beberapa hal setelah berdirinya negara dan sebagai al-tarqi’ al-fikriy (tampal sulam pemikiran) setelah terbukti terdapat kemustahilan penerapan idea-idea kebebasan sebagaimana dalam falsafah ideologinya.
Dengan demikian, kedaulatan tertinggi terdapat pada individu, bukan pada masyarakat ataupun negara. Adapun masyarakat, ia menjadi syai’un tsanawiyun (sesuatu yang tidak penting), sedangkan negara menjadi sesuatu yang tidak lebih dari sebuah medium yang melindungi kebebasan dan kebahagiaan individu.
Ketika membahas masyarakat secara rasional dengan metode berfikir yang cemerlang, kita akan menemukan bahawa konsep kapitalisme seputar masyarakat itu merupakan sebuah konsep yang keliru dan menyebabkan timbulnya berbagai pemecahan dan solusi yang salah yang membawa pada penderitaan dan kesengsaraan manusia.
Konsep yang benar tentang masyarakat memandang bahawa masyarakat itu tidaklah terbentuk dari al-afrad (individu-individu) tetapi ia terbentuk dari beberapa hal, yakni al-insan (manusia), bukan al-fard (individu), al-‘alaqat (hubungan-hubungan), serta al-andzimah (peraturan-peraturan). Perbezaan antara individu dengan manusia adalah bahawa individu itu disebut sebagai seorang individu ketika ia dibahas sebagai seorang manusia yang berbeza dengan manusia yang lain, tiada lain kerana ia memiliki karakter tertentu yang berbeza dengan manusia lain.
Individu disebut sebagai seorang manusia ketika ia dibahas dengan karakternya sebagai manusia dan menggambarkan spesis manusia dan memiliki ciri dan karakter yang menjadikannya hidup bersama dengan manusia lain dan memaksanya untuk terikat dengan mereka. Seorang individu tidak terikat dengan yang lain kerana perbezaannya dengan orang lain, sedangkan seorang manusia mestilah terikat dengan yang lain.
Berdasarkan hal ini, unsur mendasar yang membentuk masyarakat itu adalah manusia, yakni kumpulan manusia dengan karakternya sebagai manusia yang sama-sama memiliki ciri dan sifat kemanusiaan, bukan sebagai individu-individu yang berbeza-beza. Ini menjelaskan salah satu sisi kerosakan konsep kapitalisme tentang masyarakat.
Bagi menjelaskan hakikat masyarakat, kami katakan bahawa secara etimologis kata “mujtama” yang bermaksud Masyarakat, yakni merupakan bentukan dari kata kerja ”ijtama’a” yang bererti berkumpul dan memberikan erti adanya dua orang atau lebih yang menetap di satu tempat. Jika “ijtima (keberkumpulan atau interaksi)” tersebut berdasarkan pada kesepakatan awal antara para pihak dan ditimbulkan oleh adanya keperluan dan keinginan para pihak untuk berkumpul, seperti pertemuan dalam sidang diskusi, pernikahan, jual beli atau “jenaka” yang melalaikan sekalipun, maka keadaan dari contoh “interaksi” ini adalah berterusan dan tidak berubah.
Adapun jika keberkumpulan tersebut dilakukan meskipun yang hadir tidak suka, maka keadaannya akan berakhir atau berlalu begitu saja seiring hilangnya faktor eksternal yang mempengaruhinya. Jenis “ijtima’” yang pertama adalah yang memberikan pada masyarakat bentuk keberkumpulannya, adapun model kedua, maka keadaannya tidak mewujudkan masyarakat, kerana tidak ada masyarakat tanpa adanya interaksi pada manusia.
Sedangkan jenis pertama, yakni keberadaan orang-orang dalam satu tempat berdasarkan pada hubungan bersama, itulah masyarakat, sedangkan jenis kedua tidak menunjukkan keberadaan masyarakat, tetapi hanya menunjukkan adanya jemaah (kelompok) saja. Oleh kerana itu, kita dapat memahami bahawa bukan setiap kumpulan itu dikatakan sebagai masyarakat, tetapi kumpulan itu hanya membentuk jemaah. Adapun masyarakat tidak hanya memerlukan keberadaan manusia, tetapi ia juga memerlukan adanya hubungan-hubungan di antara manusia.
Unsur-unsur pembentuk masyarakat itu ada empat, yakni manusia, pemikiran, perasaan, dan peraturan atau sistem. Bagi menjelaskan bagaimana terbentuknya masyarakat berdasarkan asasnya itu, kami katakan bahawa agar terjadi hubungan antara manusia, maka perlu ada kepentingan atau tujuan bersama di antara dua pihak. Tanpa adanya kepentingan atau tujuan bersama tersebut, maka keberkumpulan di antara manusia tersebut tidak ada dan hilanglah karakter kemasyarakatannya dari manusia tersebut.
Bagi mewujudkan kepentingan bersama, maka perlu ada fikrah (pemikiran) yang menentukan kepentingan tersebut, hal ini kerana perilaku manusia merupakan hasil dari pemikiran dan pemahaman yang diyakininya. Dengan demikian, perlu ada sebuah pemikiran yang menentukan kepentingan dan tujuan manusia tersebut.
Meskipun demikian, adanya pemikiran bersama di antara dua pihak seputar kepentingan bersama tersebut tidaklah cukup untuk menjadikan manusia di sekitarnya sebagai sebuah masyarakat. Akan tetapi, perlu ada sesuatu yang lain selain kesatuan pemikiran yakni kesatuan perasaan seputar kepentingan tersebut. Jika salah satu pihak bersetuju dengan adanya kepentingan tersebut, sedangkan pihak lain tidak bersetuju, marah, atau tidak mahu, maka kedua belah pihak belum boleh dikatakan sebagai bermasyarakat.
Meskipun demikian, keberadaan pemikiran dan perasaan bersama di antara dua pihak tersebut tidaklah membawa pada sesuatu kecuali hanya adanya keinginan untuk bermasyarakat dan membentuk hubungan. Akan tetapi, menegakkan hubungan di antara dua pihak di atas asas pemikiran dan perasaan bersama akan memiliki dua kemungkinan, seiring sejalan atau sebaliknya saling berbenturan dengan sistem yang ada dalam masyarakat (sistem pemerintahan menjadi salah satu unsur dari sebuah ideologi atau fikrah mana pun). Jika selaras, hubungan dan terbentuknya masyarakat di atasnya dapat dibentuk, tetapi jika tidak (yakni dalam keadaan berbenturan) hubungan akan sukar dibentuk. Oleh kerana itu, sebuah masyarakat tidak terbentuk jika keempat pilar yang disebutkan tadi tidak terpenuhi.
Perbezaan pemikiran atau perasaan seputar kepentingan bersama serta keberadaan sistem yang kontraproduktif dengan hubungan tersebut dapat menghalangi terbentuknya masyarakat. Oleh kerana itu, perlu ada manusia (bukan individu) dan adanya kepentingan bersama, pemikiran dan perasaan bersama akan kepentingan atau hubungan, serta perlu ada sistem yang menjaga dan memelihara hubungan-hubungan yang ditegakkan di atas asas kepentingan bersama agar sebuah masyarakat yang berkekalan dan teguh di antara manusia dapat diwujudkan. Jika tidak, masyarakat itu tidak akan ada.
Oleh kerana itu, ternyata rosaklah pernyataan “perbaikilah individu, nescaya masyarakat pun menjadi baik”, tiada lain kerana masyarakat itu tidaklah terbentuk dari inidividu-individu saja. Akan tetapi, terbentuk dari manusia (bukan individu), selain hubungan yang berkelanjutan di antara manusia serta sistem yang memelihara hubungan tersebut. Adapun perbaikan individu tidaklah membawa pada sesuatu kecuali hanya baiknya individu itu dengan segala karakter khasnya, tidak memperbaiki apa yang ada dalam masyarakat.
Jarang disebutkan bahawa majoriti hubungan yang berkuasa saat ini di berbagai masyarakat (terlebih lagi dalam masyarakat yang tidak bangkit) semata hubungan yang diwajibkan pada manusia, baik ditorehkan dari generasi yang telah lalu ataupun dari sistem yang ada saat ini. Oleh kerana itu, para penyeru perubahan dan kebangkitan hendaklah memahami masyarakat dengan bekal pemahaman yang cukup dan memahami juga substansi hubungan yang saat ini berkuasa dan berbagai sumbernya, sebagai persiapan untuk menyelesaikan dan mengubahnya dengan hubungan yang benar agar dapat membangkitkan masyarakat dengan kebangkitan yang benar pula. Hal itu akan terjadi setelah hilangnya sistem yang menyemai dan memelihara hubungan-hubungan yang rosak tersebut.
Bersambung ke bahagian 2/3
Sumber: Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)