[Ath-Thariq] Syarat Parti Berideologi (Bahagian 3/5)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Para pendiri—pimpinan parti—memiliki kemampuan memimpin parti.
Berkaitan dengan syarat mendasar yang kedua ini, yang perlu dipenuhi oleh sebuah parti berideologi agar mudah mencapai hasil yang diharapkan, berkaitan dengan para pimpinan dan mas’ul (pengurus)-nya. Sebuah parti mestilah memiliki seorang amir berdasarkan sabda Nabi SAW ,
“Jika kalian berjumlah tiga orang, tunjuklah salah seorang dari kalian menjadi amir (pemimpin).”
Dan hendaknya amir atau mas’ul (pengurus) itu berjumlah satu orang, kerana kepemimpinan dalam Islam itu bersifat perseorangan. Seorang pemimpin parti dan para pengurusnya (mas’ul)—yang ditentukan oleh sang pemimpin atau dipilih oleh anggota parti—hendaklah memiliki karakter tertentu sehingga memudahkan parti atau jemaah mencapai kejayaan dalam usaha meraih tujuan parti.
Karakter terpenting bagi seorang pemimpin parti adalah bahawa dia menjadi orang yang paling memahami fikrah aktiviti yang dituntut sekaligus dengan thariqah-nya. Juga menjadi orang yang paling sensitif akan realiti yang rosak dan paling menyedari pentingnya merubah realiti tersebut, serta paling kuat keyakinannya akan kepentingan perubahan itu.
Dengan demikian, pemimpin parti atau jemaah hendaklah dipilih sesuai dengan karakter yang dipaparkan tadi. Oleh sebab itu, dia tidak boleh dipilih atau ditentukan berdasarkan faktor–faktor lain, seperti usia, status sosial, ekonomi, dan sebagainya.
Seorang pemimpin parti itu mestilah menjadi orang yang men“darah-daging“kan idea-idea (al-afkar) yang berusaha diraih oleh parti ke dalam dirinya sehingga tersentuh dalam dirinya pemahaman yang luas, penuh kesedaran, semangat yang berkobar-kobar, penuh bertenaga dan ghairah yang menyala-nyala, keyakinan mendalam terhadap ideologi dan tujuan yang diinginkan, serta penuh perhatian kepada anggota partinya, serta bersikap meneguhkan mereka. Jika semua itu terpenuhi dalam diri seorang pemimpin parti dan para pengurusnya, hal itu menunjukkan parti berjaya memenuhi syarat kedua ini. Akan tetapi, jika tidak, nescaya kegagalanlah yang akan menimpa, walaupun parti tersebut dapat memenuhi persyaratan lainnya.
Ini tidak lain kerana seorang pemimpin parti merupakan pengurus pertama (pengarah utama) parti tersebut sehingga seluruh instrumen dengan segala aktivitinya akan bergantung pada sang pemimpin dan perilakunya. Jika sang pemimpin memiliki karakter yang disebutkan tadi—bersikap teguh menjadi karakter utama— aktiviti parti untuk meraih tujuan di jalan yang benar boleh berjalan sebagaimana sepatutnya. Akan tetapi, jika tidak, instrumen lain dalam parti tersebut akan mundur terbelakang (kendur), dan hal itu akan mengakibatkan parti terpeleset jatuh dalam segala aktivitinya dan mungkin berakhir dengan kehancurannya.
[Bersambung ke bahagian 4/5]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)