Jangan Berpaling dari Hukum Islam
Pada ketika dunia telah dikuasai oleh sistem buatan manusia, sistem yang menyaksikan meningkatnya kegelisahan di seluruh dunia akibat ketidakfungsian yang dipupuk oleh peraturan yang pada dasarnya berat sebelah dan terhad, pada masa yang sama, keinginan untuk melakukan perubahan dalam kalangan umat manusia boleh menjadi sia-sia.
Hal ini boleh menjadi peluang hebat sekaligus kekuatan berbahaya. Sebuah peluang besar kerana mereka yang telah menjadikan bimbingan Ilahi sebagai dasar pemikiran dan tindakan mereka untuk memaparkan mesej mereka kepada masyarakat yang sedang mencari jalan yang lebih baik.
Ia juga merupakan kekuasaan yang berbahaya kerana pada masa sukar, kompromi dengan pihak berkuasa atau dengan pihak yang menginginkan perubahan mungkin kelihatan seperti jalan yang menarik dan singkat. Namun, bahaya ini boleh dielakkan jika mereka yakin bahawa mereka boleh memahami apa kehendak mereka dan apakah cara untuk mencapai perubahan.
Landasan Islam yang paling mendasar adalah meyakini kewujudan Pencipta alam semesta dan bahawa mesej terakhir-Nya kepada manusia, Al-Quran, telah diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW.). Sudah tentu keputusan Allah SWT. dalam semua perkara adalah yang terbaik dan satu-satunya hasil yang patut dilaksanakan. Jika tidak, kepercayaan bahawa Allah SWT. adalah pencipta kita, menjadi tidak bermakna.
Surah Al-Ma’idah ayat 49 merupakan salah satu di antara banyak ayat yang menegaskan bahawa keputusan mesti merujuk kepada apa yang diturunkan oleh Allah Taala. Namun, ayat ini juga memberi peringatan agar berhati-hati terhadap orang-orang yang menghasut Nabi SAW. dan pengikutnya supaya menjauhi dari hukum-Nya.
Allah SWT. berfirman, “Dan putuskanlah (wahai Muhammad) di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan waspadalah terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian daripada apa yang diturunkan Allah kepadamu. Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hanya bermaksud menimpakan kepada mereka sebahagian dari dosa-dosa mereka. Memang benar, ramai di antara umat manusia yang tidak taat.” [TMQ Al-Ma’idah (5): 49].
Kitab-kitab tafsir meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan ketika Ka’ab bin Asad, Ibnu Saluba, ‘Abdullah bin Surya, dan Shas bin Qays, berkata satu sama lain, “Mari kita menemui Muhammad untuk cuba menyesatkannya dari agamanya.”
Mereka menemui Nabi SAW. dan berkata, “Wahai Muhammad! Anda tahu bahawa kami adalah ulama, bangsawan, dan pemimpin Yahudi. Jika kami mengikut anda, orang-orang Yahudi akan mengikut dan tidak akan menentang kami. Namun, terdapat permusuhan antara kami dan sebahagian kaum kami, maka kami akan meminta anda untuk membuat keputusan dalam hal ini, dan anda mesti memenangkan kami dan kami akan beriman kepada anda.”
Allah SWT. pun menurunkan ayat tadi tentang mereka. Walaupun ayat tersebut diturunkan selepas kejadian khusus ini, tetapi ayat ini boleh digunakan untuk semua masa dan situasi dalam bidang hukum ini sesuai dengan kaedah syarak bahawa “yang dilihat adalah keumuman lafaz, bukan dengan kekhususan sebab”.
Ayat berikut menyambung, “Lalu apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? Hukum siapa yang lebih baik daripada Allah bagi orang yang yakin [imannya]?” [TMQ Al-Ma’idah (5): 50].
Ibnu Katsir dalam tafsirnya terhadap ayat ini mengatakan seperti berikut.
“Allah mencela orang-orang yang mengabaikan perintah-perintah Allah, yang mencakup segala macam kebaikan dan melarang segala kemungkaran, tetapi mereka sebaliknya mengacu pada pendapat, keinginan, dan adat istiadat yang diciptakan manusia sendiri, yang semuanya tidak berlandaskan kepada agama Allah.”
“Pada zaman jahiliyah, manusia telah terbiasa mengikut kesesatan dan kebodohan yang mereka ciptakan hanya kerana pendapat dan hawa nafsu semata-mata. Bangsa Tatar (Mongol) mematuhi hukum yang mereka warisi daripada raja mereka—Jenghis Khan—yang menulis Al-Yasiq untuk mereka. Kitab ini mengandungi beberapa kaedah yang berasal dari pelbagai agama, seperti Yahudi, Kristian, dan Islam. Banyak dari keputusan ini datang dari pendapat dan keinginannya sendiri. Kelak, hukum-hukum tersebut akan menjadi hukum yang ditaati oleh anak-anaknya, lebih diutamakan daripada Hukum Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”
“Siapakah yang lebih adil dalam membuat keputusan daripada Allah bagi orang-orang yang memahami Hukum Allah, beriman kepada-Nya, yang yakin bahawa Allah adalah yang terbaik di antara mereka yang membuat keputusan dan bahawa Dia lebih penyayang terhadap ciptaan-Nya daripada ibu dengan anaknya sendiri? Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan Dia Maha Adil dalam segala urusan.”
Ibnu Katsir di sini menghubungkan ayat ini dengan pelbagai zaman, bermula dari sebelum dan semasa kenabian Muhammad SAW., juga menggunakan contoh pada zaman pemerintahan Bangsa Mongol.
Sayyid Quthb dalam kitab tafsirnya Fii Zlilalil Qur’an mengulas ayat-ayat ini dengan menonjolkan hubungan antara penerapan peraturan Allah SWT. dan keimanan.
“Tuhan (Dia dalam kemuliaan-Nya yang tidak terbatas) berkata bahawa seluruh persoalan ini adalah masalah beriman atau tidak beriman, Islam atau bukan Islam, hukum Ilahi atau prasangka manusia. Tidak ada kompromi atau perdamaian yang dapat dilakukan antara kedua rangkaian nilai ini. Orang-orang yang mengadili berdasarkan hukum yang Allah turunkan, menegakkan seluruh bahagiannya dan tidak menggantikannya dengan sesuatu pun, mereka adalah orang-orang yang beriman.”
“Sebaliknya, mereka yang tidak menjadikan hukum yang diturunkan oleh Allah sebagai dasar penghakiman mereka adalah orang-orang kafir, pelaku kesalahan, dan pelanggar. Para penguasa boleh menerapkan hukum Tuhan secara keseluruhan. Dengan demikian, mereka kekal dalam lingkup keimanan atau mereka boleh menegakkan hukum lain.”
“Dalam kes terakhir ini, tiga gambaran tentang kekufuran, perbuatan salah dan pelanggaran berlaku kepada mereka. Jika manusia menerima pemerintahan dan penghakiman Tuhan, yang dilaksanakan oleh penguasa dan hakim, maka mereka adalah orang-orang yang beriman. Jika tidak, mereka tidak akan melakukannya. Tidak ada jalan tengah di antara keduanya dan tidak ada justifikasi atau tuntutan apa pun yang menyokong kepentingan yang sah.”
“Tuhan, Penguasa umat manusia, mengetahui apa yang bermanfaat bagi manusia dan Dia telah menetapkan hukum-hukum-Nya untuk tujuan tersebut. Tidak ada undang-undang atau sistem pemerintahan yang lebih unggul daripada-Nya. Tidak ada hamba-Nya yang boleh menolak hukum-Nya atau mendakwa mempunyai pengetahuan yang lebih baik daripada-Nya dalam perkara yang bermanfaat untuk kepentingan manusia. Jika dia membuat kenyataan sedemikian, dengan perkataan atau perbuatan, maka dia mengisytiharkan dirinya kafir.
“Pertimbangan lain dalam keseluruhan masalah ini ialah hakikat bahawa hukum Allah pasti dan secara mutlak lebih baik untuk manusia daripada undang-undang buatan manusia. Fakta ini dirujuk oleh ayat terakhir ayat ini, ‘Tetapi bagi orang-orang yang teguh imannya, siapakah Pemberi Hukum yang lebih baik daripada Allah?’ (Ayat 50).”
“Ayat ini merupakan sumber renungan dan arahan yang luar biasa pada zaman ini. Ketika gerakan dan keinginan untuk melakukan perubahan semakin meningkat momentumnya, umat Islam mesti menahan sebarang godaan atau alasan untuk mengabaikan atau menyembunyikan seruan untuk menerapkan agama Allah Taala.”
“Tidak ada justifikasi yang boleh diterima memandangkan arahan yang jelas diberikan oleh Allah SWT. dalam ayat ini, sama ada atas sebab “menyatukan” umat manusia, mendapatkan sokongan dan simpati daripada komuniti antarabangsa, atau kerana takut kuasa dunia berkumpul menentang manusia. Tidak ada yang boleh membenarkan tindakan yang melanggar hukum Allah SWT., baik dalam perkataan mahupun perbuatan.”
Sayyid Quthb mengulas lebih lanjut.
“Adalah satu idea yang salah untuk cuba menyatukan orang-orang dengan mengorbankan hukum Tuhan. Lebih-lebih lagi, usaha tersebut pasti akan gagal. Harga yang perlu dibayar adalah terlalu tinggi kerana sebarang perubahan kepada hukum Tuhan akan mengakibatkan kerosakan di muka bumi, ketidakadilan, dan ketundukan sesetengah orang kepada orang lain. Ini benar-benar jenayah besar. Jika tiada kompromi terhadap hukum Allah yang boleh diterima untuk mencapai tujuan mulia, iaitu untuk menyatukan manusia, bagaimanakah ia boleh dibenarkan untuk sesuatu yang lebih remeh? Malah ada di antara mereka yang mengaku beragama Islam berpendapat, hukum Islam tidak boleh diguna pakai supaya tidak kehilangan keuntungan daripada perniagaan pelancongan!”
“Sama ada hukum Allah atau undang-undang buatan manusia, yang didasarkan pada pengetahuan yang tidak mencukupi dan keinginan yang sia-sia. Tidak mungkin ada persamaan antara keduanya. “Lalu apakah hukum jahiliyah yang mereka inginkan? Siapakah yang lebih baik daripada Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah (5): 50].
Kenyataan ini mendefinisikan makna “jahiliyah” yang diterjemahkan di sini sebagai ‘kejahilan kufur’ sebagaimana istilah yang digunakan dalam al-Quran. Jāhiliyyah bermaksud sesebuah masyarakat itu dikuasai oleh masyarakat lain, menandakan bahawa mereka tunduk antara satu sama lain. Mereka enggan tunduk hanya kepada Allah dan menolak Ketuhanan-Nya, dan sebaliknya mengakui bahawa sesetengah manusia mempunyai sifat “Ketuhanan” sehingga mereka tunduk kepada kekuasaan mereka.
Oleh itu, istilah kejahilan kufur atau jahiliyah, tidak merujuk kepada tempoh masa tertentu, tetapi lebih kepada keadaan tertentu yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Jika ada, ia harus digambarkan sebagai jahiliyah yang berbeza dengan Islam.
Apakah yang boleh dikatakan seseorang untuk membenarkan tindakannya mengenepikan hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum jahiliyah, dalam prosesnya meletakkan keinginannya sendiri, atau keinginan masyarakat atau generasi tertentu, di atas hukum Allah?
Apa yang boleh dia katakan jika—walaupun demikian—dia masih mengaku sebagai seorang muslim? Apakah justifikasinya? Adakah keadaan, peristiwa, keengganan masyarakat, atau ketakutan terhadap musuh? Bukankah semua ini diketahui oleh Allah apabila Dia memerintahkan umat Islam untuk melaksanakan hukum-Nya dan mengikuti jalan hidup-Nya, dan jangan sesekali tergoda untuk menyimpang dari mana-mana bahagian dari wahyu-Nya?
Atau adakah dia membenarkan sikapnya dengan menyatakan bahawa hukum Allah tidak memenuhi keperluan dan keadaan baru? Adakah keperluan dan keadaan ini tidak diketahui oleh Allah ketika Dia memberikan peringatan yang sangat keras ini?
Peluang yang muncul di hadapan umat pada hari ini, ketika tatanan dunia sedang mengalami kemerosotan, mestilah dimanfaatkan melalui tuntunan ayat-ayat yang mulia ini. Jika kita menghindarinya—kerana satu sebab atau hal lain— menyeru dan berusaha untuk mengembalikan pemerintahan Islam, kita akan kehilangan akhirat dan keadilan, serta keharmonian di dunia ini yang secara semulajadi terhasil daripada pelaksanaan sistem Pencipta kita.
Pemerintahan Nabi SAW. benar-benar adalah contoh terbaik kita dalam kekal teguh di jalan Allah meskipun ada tawaran yang diberikan kepadanya oleh perantara kekuasaan; walaupun mendapat kritikan daripada ahli keluarga dan masyarakat yang lebih luas, dan walaupun digertak dan penganiayaan yang dilakukan oleh musuh-musuhnya. Sesungguhnya, tidak ada yang menjadi perhatian Nabi SAW., kecuali memelihara risalah Ilahi yang murni yang pada akhirnya akan mengangkat darjat umat manusia. Wallahualam.
Sumber: muslimahnewsid
#HukumAllah #TerapkanHukumIslam #JanganBerpalingDariHukum Islam