[Ath-Thariq] Islam dan Al-Quran (Bahagian 2/4)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Mukjizat Nabi Muhammad saw. pasti layak untuk setiap tempat dan setiap masa, atau dengan kata lain menjadi sesuatu yang melemahkan dan mencabar manusia di setiap tempat dan setiap masa (untuk mendatangkan semisalnya). Allah Swt. berfirman,
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (TMQ Al-Isra’: 88).
Agar benar-benar menjadi sebuah cabaran, sebuah mukjizat perlu memiliki beberapa syarat, yakni cabaran agar mendatangkan sesuatu semisal mukjizat tersebut; pihak lain yang dicabar perlu memiliki kemampuan untuk menerima cabaran tersebut; dan tidak adanya penghalang untuk menjawab cabaran, yakni seseorang yang membawa mukjizat perlu mencabar manusia untuk mendatangkan hal serupa tidak memperuntukkan mukjizat tersebut hanya bagi dirinya sendiri; dan perlu mencabar mereka untuk melakukan sesuatu yang mereka mampu kerana kepakaran mereka dalam objek cabaran tersebut (sebagaimana telah kami jelaskan); dan perlu terpenuhinya unsur yang bersifat provokatif, yakni lawan perlu merasa termotivasi untuk menjawab cabaran tersebut. Dalam hal ini sang pencabar melakukan sesuatu yang bersifat memaksa pihak lawan untuk menjawab cabaran tersebut sehingga pemilik mukjizat tersebut tidak berperanan sebagai pencinta perdamaian yang tidak dipercayai siapa pun.
Jika paparan di atas menjadi syarat-syarat utama terbuktinya i’jaz (hal yang melemahkan pihak lain) pada mukjizat tersebut, maka persyaratan ini telah terpenuhi dalam mukjizat Nabi Muhammad saw.. Jika sebuah cabaran secara umum ada dua jenis, yakni cabaran bersifat umum untuk seluruh manusia di setiap tempat dan masa dan cabaran bersifat khusus untuk satu umat dan satu bangsa yang ada pada satu masa dan di satu tempat tertentu, maka mukjizat Nabi Muhammad saw. ini telah memiliki ciri dua jenis cabaran tersebut.
Sebuah mukjizat perlu memiliki lima syarat agar dapat dikategorikan sebagai mukjizat ilahiah, yakni:[1]
- Mukjizat tersebut menjadi sesuatu yang tidak disanggupi kecuali oleh Allah Swt..
- Tidak sesuai dengan kebiasaan dan menyalahi sunnah kauniyah (hukum alamiah). Kalau ada seseorang yang mengaku nabi berkata, “Mukjizatku adalah mendatangkan siang setelah malam, atau mendatangkan musim hujan setelah musim bunga,” maka pengakuannya ini tidak boleh diterima (kerana hal ini selain tidak ada yang boleh selain Allah, juga telah ada sebelumnya). Adapun jika dia berkata, “Mukjizatku adalah menerbitkan matahari di sebelah barat,” maka boleh saja menjadi bukti bila syarat-syarat lainnya terpenuhi.
- Mukjizat perlu berupa hal yang dijadikan saksi oleh seseorang yang mengaku membawa risalah Ilahi sebagai bukti atas kebenaran pengakuannya dan terjadi ketika dituntut untuk membuktikannya.
- Mukjizat tersebut perlu sesuai dengan pengakuan, tidak menyalahinya, kerana bila berbeza dengan pengakuannya, mukjizat tersebut akan menunjukkan ketidakbenaran pengakuannya.
- Mukjizat tersebut tidak boleh ditandingi oleh siapa pun, jika ada seseorang yang dapat menandinginya, batallah kedudukannya sebagai mukjizat.
Allah Swt. berfirman,
“Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimat yang semisal Al-Quran jika mereka orang-orang yang benar.”(TMQ Ath-Thur: 34).
Saya katakan, jika beberapa syarat dan karakter tersebut menjadi sebuah syarat yang dapat membuktikan sesuatu sebagai mukjizat dan bukti kebenaran pemiliknya (pembawanya), sesungguhnya semua itu telah terpenuhi dalam mukjizat Rasulullah saw., yakni Al-Quran.
Jika para ulama telah berbeza pendapat tentang segi-segi kemukjizatan Al-Quran, iaitu sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa segi kemukjizatan Al-Quran terkandung dalam susunan bahasa Al-Quran itu sendiri yang bersifat asing dan berbeza dengan nadham (puisi) dan natsar (prosa) Arab, baik dalam mathla’ (awal bait), suku kalimat, mahupun dalam sela atau komanya; sedangkan sebahagian lagi berpendapat bahawa segi kemukjizatan terkandung dalam kejelasan (fashahat) lafaz katanya, sifat sastera redaksinya, dan keindahan susunannya; sedangkan sebahagian dari mereka ada yang berpendapat bahawa segi kemukjizatan tersebut ada dalam ketidakadaan pertentangan di dalamnya dan kandungan maknanya yang beragam dan mendalam; sebahagian dari mereka ada juga yang berpendapat bahawa kemukjizatan tersebut tergambar dalam ketidak-bertentangan kandungannya dengan bukti-bukti ilmu pengetahuan yang pasti kebenarannya dan kandungan ilmu pengetahuan yang ada di dalamnya, jika para ulama telah berbeza pendapat dalam masalah dan mereka memiliki pandangan beraneka ragam, tetapi mereka—tanpa kecuali—telah bersepakat tentang kemukjizatan Al-Quran dari segi uslub (gaya pengungkapan bahasa)-nya yang menakjubkan yang berlainan dengan seluruh uslub syair dan natsar yang dikenal oleh bangsa Arab.
Kemukjizatan Al-Quran sangat tampak dalam fashahat (kejelasan kata), balagahnya (sastera), dan ketinggian redaksinya, dan semua itu tampak dengan jelas dalam gaya bahasa (uslub) Al-Quran, kerana dalam uslub Al-Quran itulah terkandung kejelasan, kekuatan, dan keindahan yang melemahkan manusia untuk mendatangkan hal serupa dengannya.
Agar kita sampai pada hakikat sumber Al-Quran, yakni apakah dia berasal dari sisi Allah Swt. ataukah dari selain-Nya, maka kita perlu mempergunakan akal kita dalam memahamai realitinya, hal ini tiada lain kerana Al-Quran itu merupakan sebuah realiti yang boleh diindera (al-waqi’ al-mahsus). Berfikir tentang sebuah realiti yang terindera secara cemerlang akan menjadi penjamin yang menunjukkan manusia pada sumber realiti tadi. Al-Quran sendiri telah meminta kita untuk mempergunakan akal kita dalam memahami realitinya agar sampai pada sumbernya yang hakiki.
Allah Swt. berfirman,
“Apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka telah terkunci?” (TMQ Muhammad: 24).
Dia Swt. berfirman,
“Apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran, kalau sekiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, nescaya mereka mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya.” (TMQ. An-Nisa: 82).
Dengan pembahasan rasional tentang Al-Quran, akan kita temukan bahawa Al-Quran itu berbahasa Arab sehingga pembuatnya tidak ada yang lain kecuali salah satu dari tiga kemungkinan berikut: Bangsa Arab, Muhammad, atau Allah Swt.
[ Bersambung ke Bahagian 3/4]
Nota kaki:
- Muhammad Ali As-Shabuni, At-Tibyan fi Ulumil Quran, 97