Penjajahan Palestin: Perang Tamadun Islam vs Tamadun Kufur
Banyak pihak melakukan propaganda kononnya penjajahan yang dilakukan oleh entiti Yahudi di bumi Palestin bukanlah perang agama. Ini hanya kerana kepentingan politik dan perebutan wilayah antara Yahudi dan Palestin. Mereka beralasan, jika ia disebut sebagai perang agama, dikhuatiri konflik akan meluas berlaku di pelbagai wilayah lain.
Propaganda ini sememangnya salah dan tidak sesuai dengan realiti. Realiti yang berlaku di Palestin jelas merupakan peperangan agama bahkan merupakan pertempuran antara tamadun Islam dengan tamadun kufur. Di antara sebabnya adalah seperti berikut:
Pertama, entiti Yahudi melakukan penjajahan wilayah dan kemudian mendirikan sebuah negara yang mereka namakan “Israel” adalah kerana alasan agama. Mereka mendakwa bumi Palestin adalah tanah yang dijanjikan Tuhan kepada mereka. Dengan dakwaan ini, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menguasai tanah Palestin.
Mengenai nama negara, sebelum ia dinamakan “Israel”, Theodor Herzl, lelaki yang dikenali sebagai Bapa Zi0nis, menyebut negara yang ingin didirikannya di tanah Palestin sebagai Der Judenstaat, alias Negara Yahudi. Kita pasti tahu, Yahudi bukan hanya sebuah bangsa, tetapi juga sebagai agama.
Simbol bendera Israel, iaitu Bintang Daud, juga dipercayai sebagai simbol perisai yang digunakan oleh Raja Daud. Kita pasti tahu bahawa orang Yahudi juga percaya Daud bukan hanya seorang raja. Beliau juga seorang nabi yang diutus kepada Bani Israel. Maka jelaslah, penjajahan Yahudi di bumi Palestin adalah disebabkan oleh motivasi agama.
Kedua, bagi umat Islam, bumi Palestin atau Baitul Maqdis adalah tempat ketiga terpenting selepas Mekah dan Madinah. Di antara alasannya kerana di wilayah tersebut terdapat Masjid Al-Aqsa, iaitu tempat yang menjadi kiblat pertama umat Islam, serta tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW. dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Bagi umat Islam, bumi Palestin, Baitul Maqdis atau Masjid Al-Aqsa adalah lambang kesucian dan kesatuan umat Islam.
Selain itu, umat Islam di seluruh dunia ibarat satu tubuh. Jika ada anggota tubuh yang sakit, seluruh anggota tubuh yang lain juga turut merasai sakitnya. Bagi umat Islam, masalah umat Islam di Palestin adalah masalah semua umat Islam. Kerana itu, jika ada umat Islam di wilayah tersebut mengalami penderitaan, pengusiran, apatah lagi pembunuhan maka umat Islam di seluruh dunia wajib melakukan pembelaan. Bagi umat Islam, membela saudara Islam yang dizalimi adalah sebahagian daripada jihad fii sabiilillah yang dituntut di dalam Islam.
Di sisi yang lain, kita mengetahui bahawa penjajahan ke atas tanah Palestin tidak hanya dilakukan oleh entiti Yahudi semata-mata, tetapi disokong sepenuhnya oleh kuasa negara-negara kafir imperialis seperti Britain dan Amerika. Oleh itu, jelas sekali bahawa penjajahan ke atas wilayah Palestin adalah masalah agama, serta pertarungan tamadun Islam dan tamadun kufur.
Pelakon Utama Kejahatan di Palestin
- Kepentingan Negara Kafir Barat di Timur Tengah.
Bagi negara-negara kafir Barat, terdapat empat kepentingan mereka di Kawasan Timur Tengah iaitu: Islam; kawasan yang strategik; minyak; dan negara Yahudi.
Islam telah dan akan sentiasa menjadi bahaya besar kepada Amerika Syarikat (AS) dan Barat. Wilayah Timur Tengah dianggap sebagai titik permulaan dakwah Islam ke seluruh dunia. Kerana itu, AS menjadikan Islam sebagai musuh utamanya selepas keruntuhan Sosialisme. AS menggunakan slogan keganasan, ekstremisme agama dan fundamentalisme agama sebagai penutup untuk menyerang Islam dan umat Islam di kawasan Timur Tengah. AS dengan segala kuasa yang dimilikinya sedang berusaha untuk menjauhkan gerakan dan kuasa Islam. Ini dilakukan melalui cara kekerasan, kekejaman dan penyeksaan yang dilakukan oleh rejim-rejim pemerintahan yang menjadi pengikut AS di rantau ini.
Kawasan Timur Tengah dianggap sangat strategik kerana dua sebab. Pertama, kerana kawasannya terletak di tiga benua, Asia, Afrika dan Eropah. ia secara automatik menjadi penghubung antara tiga benua tersebut dan menjadi penting untuk strategi ekonomi, perdagangan serta pertahanan global.
Kedua, negara-negara di Kawasan Timur-Tengah bersempadan dengan beberapa laut dan selat yang letaknya sangat strategik, iaitu: (1) Laut Tengah (Mediterranean) yang terletak di sepanjang sempadan Mesir, Libya, Tunisia. Laut ini memisahkan daratan Afrika dan Eropah; (2) Laut Merah yang terletak di antara Afrika dan Arab; (3) Laut Arab yang terletak di bahagian barat laut Lautan Hindi antara Arab dan India; (4) Laut Mati yang terletak di sempadan Jordan dan Palestin; (5) Laut Caspian yang bersempadan dengan Iran; (6) Laut Hitam yang terdapat di Turkiye; (7) Laut Aegean, yang terletak di sempadan Turkiye dan Greece.
Selain mempunyai laut yang penting, kawasan Timur Tengah juga mempunyai selat strategik dan sangat penting untuk laluan perdagangan (terutama minyak), iaitu Selat Giblaltar (memisahkan Afrika Utara dan Eropah), Selat Bab-Al Mandap (Pantai Yaman), Selat Bosphorus di Turki, Selat Hormuz (Utara Iran dan Selatan Oman) dan Terusan Suez (laluan pelayaran dari Laut Mediterranean ke Afrika dan Asia).
Lokasi yang strategik ini telah menjadikan Timur Tengah sebagai kiblat penceroboh dan sasaran utama manusia tamak. Ini kerana kawasan tersebut mempunyai keperluan mendesak yang luar biasa dari segi laluan pengangkutan dan komunikasi; bukan sahaja pada masa kini, tetapi sejak Perang Salib sehingga hari ini.
Selain kawasan yang strategik, di Timur-Tengah juga mempunyai simpanan mineral yang banyak seperti tembaga, arang batu, dan besi dan tentunya minyak yang merupakan aset terbesar rantau ini. Dua pertiga daripada rizab minyak dunia dianggarkan disimpan di kawasan yang kebanyakannya adalah pasir tandus. Rizab minyak kawasan Timur Tengah sangat banyak. Seperti yang diketahui, semua rizab minyak serantau lain (Asia Pasifik, Afrika, Amerika Utara, Amerika Tengah dan Selatan serta Eropah), jika digabungkan, dianggarkan berjumlah 362 ribu juta tong. Jumlah ini masih belum menyamai simpanan minyak kawasan Timur Tengah yang dianggarkan sebanyak 685 ribu juta tong.
Satu lagi kepentingan lain negara-negara kafir Barat ialah entiti Yahudi yang ditanam di Palestin. Negara itu telah menjadi paksi kepada masalah Timur Tengah dan punca ketidakstabilan. Negara-negara Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), berusaha keras untuk menubuhkan sebuah negara di Palestin. Ini bertujuan untuk menjadikan negara Yahudi sebagai alat untuk menjajah dan menguasai wilayah Timur Tengah.
- Peranan Britain dan Amerika dalam Penjajahan Palestin.
Antara negara yang mempunyai peranan terbesar dalam melicinkan dan mengekalkan penjajahan di Palestin ialah Britain dan Amerika Syarikat (AS).
Britain, bersama Perancis, dua negara yang menang dalam Perang Dunia I, telah merancang pembahagian wilayah negeri umat Islam melalui Perjanjian Sykes-Picot pada 16 Mei 1916. Perjanjian ini dinamakan sempena nama diplomat Perancis François Georges-Picot dan diplomat British Sir Mark Sykes. Kedua-dua mereka berunding tentang pembahagian wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah yang telah kalah dalam peperangan pada masa itu.
Keputusan perjanjian tersebut ialah: Perancis menguasai wilayah tenggara Turki, utara Iraq, termasuk Mosul, sebahagian besar Syria dan Lubnan. Rusia menguasai Istanbul, Armenia dan Selat Turki yang strategik. British menguasai Jordan, selatan Iraq, Haifa dan Acre di Palestin dan laluan pantai antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan.
Kemudian pada tahun 1917, Menteri Luar Negeri Britain Raya/British; Arthur James Balfour, menghantar surat sokongan yang ditujukan kepada Lord Rothschild, pemimpin komuniti Yahudi British, untuk dihantar kepada Persekutuan Zionis. Surat itu mengandungi sokongan British terhadap rancangan Zionis untuk menduduki wilayah di Palestin sebagai tanah air mereka.
Hal tersebut diluluskan pada mesyuarat Kabinet British pada 31 Oktober 1917. Dalam sejarah, surat itu dikenali sebagai Deklarasi Balfour.
Kemudian dalam tempoh 1918 hingga 1947, orang-orang Yahudi di Eropah berhijrah ke wilayah Palestin. Di bawah mandat British, populasi Yahudi di Palestin pada tahun 1918 hanya berjumlah 6%, pada tahun 1947 berkembang pesat sehingga mencapai 33% daripada jumlah penduduk.
Perancangan British untuk mengukuhkan kedudukan Yahudi di Palestin dan Timur Tengah dikuatkan oleh keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) pada 29 November 1947. Ketika itu, Perhimpunan Agung PBB mengeluarkan Resolusi 181 yang mengesyorkan pembahagian Palestin kepada negara Yahudi dan Arab, bersama-sama dengan zon antarabangsa yang merangkumi Baitul Maqdis dan Betlehem. Secara khusus, rancangan itu mengusulkan sebuah negara Yahudi yang menguasai lebih separuh daripada Mandat Palestin, iaitu Yahudi mendapat 55% daripada wilayah Palestin.
Sehingga hari ini, British, Amerika dan negara Barat yang lain, sentiasa menyokong kewujudan Negara Yahudi; sentiasa membenarkan langkah kejamnya; ia juga hampir pasti akan menggagalkan setiap sebarang percubaan untuk menghukum negara Yahudi dengan pelbagai cara, termasuk dengan dengan kuasa veto.
- Kesinambungan dari Perang Salib
Penjajahan terhadap bumi Palestin dipercayai sebagai kesinambungan dari Perang Salib. Perang Salib bermula kerana Paus Urban II (1088-1099) mengambil inisiatif untuk menyatukan dunia Kristian, yang ketika itu terbahagi antara Rom Barat di Rom dan Rom Timur atau Byzantium di Konstantinopel. Pada masa yang sama, Raja Byzantium juga merasa terancam dengan perluasan kekuasaan Seljuk, iaitu orang-orang Turki yang telah memeluk Islam.
Apabila mereka mendapati kesulitan untuk menyatukan pemimpin dunia Kristian dengan ego dan cita-cita masing-masing, maka musuh bersama dicari. Musuh itu ditemui: umat Islam. Mereka juga menentukan sasaran jangka pendek mereka, iaitu pembebasan tempat-tempat suci Kristian di dunia Islam, termasuk Baitul Maqdis. Matlamat jangka panjang adalah menghapuskan umat Islam. Tentera salib merancang membunuh Islam, menghapus Khilafah dan menghancurkan orang-orang yang melindungi Khilafah dan hidup untuk Khilafah. Pasukan yang digerakkan untuk rancangan itu memakai salib sebagai simbol dari gereja dan Kristian.
Perang Salib berlangsung sangat lama iaitu sekitar 175 tahun iaitu dari tahun 1096 hingga 1271. Dalam tempoh Perang Salib yang panjang tersebut, telah berlaku satu tragedi yang tidak akan dilupakan umat Islam, yakni Baitul Maqdis ditawan oleh tentera Salib. Pada Mei 1099, tentera Salib dengan ratusan ribu tentera bergerak menuju Baitul Maqdis. Tentera Salib bergerak pantas dan mengepung kota itu pada 7 Jun 1099. Bandar itu hanya bertahan selama sebulan. Pada 15 Julai 1099 bandar itu akhirnya jatuh, disertai dengan pembantaian yang mengerikan terhadap penduduknya. Saksi mata mencatat linangan darah sehingga paras buku lali dan mayat bertimbun seperti piramid. Seterusnya, Masjid Al-Aqsa ditukar menjadi istana Kerajaan Baitul Maqdis, manakala Masjid Kubah Batu pula dijadikan gereja.
Umat memerlukan masa yang agak lama untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada penguasaan tentera Salib. Pada tahun 1187 di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi, Baitul Maqdis sekali lagi ditawan oleh umat Islam setelah dikuasai selama 88 tahun oleh Pasukan Salib Kristian. Salahuddin menjamin keselamatan tentera Salib yang masih ada untuk kembali ke Eropah. Menurut Karen Amstrong dalam bukunya, The Crusades, ketika membebaskan Palestin, Salahudin al-Ayyubi dan Tentera Islam tidak melakukan pembunuhan dan perampasan harta benda.
- Usaha Mengawal dan Menghalang Kebangkitan Islam.
Kewujudan entiti Yahudi di Timur Tengah sebenarnya adalah lanjutan dari AS. Ini termasuk untuk mengawal dan menguasai sumber alam, terutama minyak. Konstelasi politiknya, mesti ada negara yang memantau negara di Timur Tengah secara geopolitik.
Entiti Yahudi itu telah menyelaraskan dan mengintegrasikan politiknya dengan kepentingan AS. Ia sentiasa menjaga kepentingan AS di Timur Tengah. AS juga sentiasa menjaga posisi entiti Yahudi itu sebagai sebuah negara serantau yang besar di rantau Timur Tengah. AS menganggap bahawa mempertahankan kewujudan entiti Yahudi pada hakikatnya adalah mempertahankan AS sendiri.
Ia bukan sahaja mengawal dan penguasaan ke atas sumber alam, AS juga memerlukan entiti Yahudi untuk melaksanakan kawalan langsung ke atas potensi kebangkitan Islam di Timur Tengah. Secara faktanya, Timur Tengah merupakan wilayah yang sangat berpotensi besar untuk penubuhan Khilafah Islam yang akan melaksanakan syariah Islam dan menyatukan kuasa dunia Islam. Ini kerana berkurun lamanya wilayah ini menjadi pusat tamadun Islam.
Dalam hal ini, AS mesti memastikan bahawa potensi kebangkitan Islam harus ditindas atau dilumpuhkan. Entiti Yahudi diperlukan untuk memecahkan tumpuan perhatian dan kekuatan umat Islam. Seolah-olah masalah Dunia Islam hanyalah “kemerdekaan Palestin”. Dengan itu, tenaga dan perhatian umat Islam telah habis tanpa berbaki. Sebaliknya, Barat telah berjaya mengetuai pendapat dunia Islam bahawa penyelesaian kepada masalah Palestin adalah dengan solusi dua negara (two state solution). Dunia Islam juga semakin terperangkap dalam usaha untuk mengekalkan penjajahan di Palestin.
Perancangan Barat untuk memecah-belahkan dan melemahkan umat Islam semakin ketara. Apabila negara-negara Islam menolak kewujudan negara Yahudi di Palestin, ternyata terdapat beberapa negara Islam yang penting—seperti Turkiye, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Bahrain, Sudan, Maghribi, Bosnia-Herzegovina dan Kosovo—telah mengiktiraf malah menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara Yahudi tersebut.
Khilafah sebagai Satu-satunya Solusi
Adalah penting bagi umat Islam untuk memahami punca permasalahan dunia Islam. Dengan itu, langkah dan tenaga umat Islam tertumpu kepada melaksanakan metod yang benar (sahih) dan tepat sebagaimana yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW.
Umat mesti mengetahui bahawa punca masalah dunia Islam adalah kerana syariah Islam tidak dilaksanakan secara kaffah dan dunia Islam tidak bersatu di bawah naungan Khilafah.
Oleh itu, fokus perhatian umat Islam seharusnya ditumpukan kepada perjuangan menegakkan syariah Islam dan Khilafah. Kewujudan Khilafah Islamiyyah bukan sahaja mampu menerapkan syariah Islam, malah mampu menyatukan dunia Islam, termasuk tentera-tentera terbaiknya untuk membebaskan negara-negara Islam yang dijajah termasuk Palestin.
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab.
#PenjajahanPalestin #PerangTamadunIslam #PeradabanKufur