[Pemikiran Politik Islam] Perjuangan Politik
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Setiap masyarakat dibentuk sesuai dengan hubungan yang ada di antara rakyatnya. Hubungan tersebut diatur dengan berbagai pemikiran dan undang-undang tertentu yang diterapkan kepada seluruh rakyat. Apabila terjadi kesalahan atau kerosakan pada hubungan tersebut atau pada pemerintahan yang mengurusi kepentingan rakyat, ini bermakna masyarakat itu merupakan masyarakat yang rosak dan perlu direformasi.
Islam telah menentukan metode untuk memperbaiki kerosakan dalam masyarakat dan negara, iaitu mengajak kepada yang baik (an-amru bil makruf) dan mencegah yang buruk (am-nahyu ‘anil mungkar). Metode tersebut digunakan untuk memperbaiki masyarakat, serta memperbetulkan dan memuhasabah tindakan penguasa yang menimbulkan kerosakan negara.
Perjuangan politik (kifah as-siyasi) adalah mengajak kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan memuhasabah penguasa. Oleh sebab itu, terlibat dalam perjuangan politik merupakan kewajipan setiap individu muslim. Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
“Penghulu syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan (setara dengannya) seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, menyerukan (kepadanya) untuk berbuat baik dan melarangnya (berbuat kemungkaran), kemudian ia dibunuh.” (HR Al-Hakim dari Jabir).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Akan ada para Amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengakui perbuatannya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa saja yang mengakui perbuatannya (kerana tidak bertentangan dengan hukum syariat), maka dia tidak akan dimintai tanggungjawabnya. Dan siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat. Akan tetapi siapa saja di antara kalian yang rela (dengan perbuatannya yang bertentangan dengan hukum syariat) dan mengikutinya, (maka dia telah berdosa).” (HR Muslim dari Ummu Salamah).
Dalam riwayat Muslim yang lain dikatakan, “Siapa saja yang membenci perbuatannya (kerana bertentangan dengan hukum syariat), maka dia tidak dimintai tanggungjawabnya, dan siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat. Akan tetapi siapa saja yang rela dan mengikutinya, (maka dia berdosa).”
Hadis ini mentafsirkan hadis di atasnya yang ditujukan untuk menyebut perjuangan melawan tindakan penguasa yang rosak. Perjuangan itu dikenal sebagai perjuangan politik. Hadis-hadis tersebut secara tegas memerintahkan kepada kaum muslim untuk terlibat dalam perjuangan politik.
Ini merupakan bukti yang jelas bahawa perjuangan politik merupakan suatu kewajipan. Mengabaikan perjuangan politik merupakan suatu dosa kerana bererti mengabaikan suatu kewajipan. Tidak ada keraguan bahawa Allah akan menghukum orang-orang yang tidak melaksanakan perjuangan politik.
Tidak ada keraguan pula bahawa tatkala mereka mengabaikan kewajipan tersebut, maka mereka akan dilanda kerosakan dan ketidakadilan. Menegakkan perjuangan politik dalam kehidupan perlu dimulakan dengan menegakkannya dalam diri umat. Ini kerana pada saat ketidakadilan melanda umat dalam jangka waktu yang lama dan kerosakan merajalela di kalangan umat, persepsi mereka mengalami kerosakan atau mereka akan bersikap apati (tidak peduli).
Akibatnya, mereka tidak lagi mampu merasakan penderitaan akibat ketidakadilan dan mencium bau busuk kerosakan. Begitu pula ketika keimanan mereka kepada Al-Quran melemah, sementara mereka tetap jauh dari kitabullah dan sunah Rasul, maka beratnya beban dosa tidak lagi menjadi suatu kebimbangan. Mereka tidak lagi merasa bersalah meninggalkan segala sesuatu yang Allah perintahkan.
Oleh kerana itu, usaha menumbuhkan semangat perjuangan politik di kalangan umat tidak akan membuahkan hasil apabila rasa takut kepada Allah tidak tumbuh dalam hati mereka. Demikian pula jika kepekaan terhadap penderitaan akibat ketidakadilan, serta beratnya beban dosa tidak dibangkitkan dalam diri mereka.
Perjuangan politik dilakukan secara verbal melalui berbagai pernyataan atau hal-hal lain yang menunjukkan penentangan terhadap kesalahan dan kerosakan, tanpa melalui kekerasan atau perlawanan secara fizikal.
Perjuangan politik melalui perlawanan fizikal (peperangan) tidak diperkenankan, kecuali dalam kes atau situasi yang mana terlihat jelas kekufuran yang nyata. Dengan kata lain, apabila suatu negeri diperintah dengan hukum Islam (negara Islam), tetapi penguasanya menerapkan hukum kufur. Demikian juga jika kekufuran telah tampak jelas di wilayah kaum muslim, sementara penguasa muslim tidak mencegahnya (mendiamkannya). Kekufuran yang nyata adalah kekufuran yang diketahui oleh umat berdasarkan ayat-ayat Allah yang tegas dan muncul di negeri yang diperintah dengan hukum Islam.
Selain dalam kes ini, perjuangan politik wajib dilakukan hanya secara verbal atau melalui hal-hal lain yang dapat menunjukkan penentangan. Ini dilakukan untuk menciptakan opini umum yang berlawanan dan untuk memengaruhi. Dengan demikian akan mengubah kesalahan dan kerosakan tersebut.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.