[Persepsi Berbahaya] Prinsip Jalan Tengah (Bahagian 2/2)
Penulis: Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Prinsip Jalan Tengah” Bahagian 1/2.)
Rasulullah SAW juga telah memerintahkan umat Islam untuk menyampaikan risalah Islam kepada umat yang lain. Rasulullah SAW bersabda, “Perhatikanlah, hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir.”
Selain itu, mereka juga berdalil dengan firman Allah SWT, “(Hamba-hamba Allah yang baik adalah) orang-orang yang jika membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, perbelanjaan itu berada di tengah yang demikian.” [TMQ Al-Furqan(25): 67].
Berdasarkan ayat ini, mereka menetapkan bahawa dalam konteks perbelanjaan harta (infak), ada dua hujung, iaitu berlebih-lebihan (isyraf) dan kedekut (taqtir, bakhil). Mereka menetapkan adanya jalan tengah dalam infak, iaitu pertengahan (qawam). Sikap demikian, menurut pandangan mereka, adalah dalil mengenai jalan tengah dalam berinfak.
Mereka tidak menyedari bahawa dalam makna ayat itu terdapat tiga jenis infak, iaitu, berlebih-lebihan, kedekut, dan pertengahan.
Berlebih-lebihan (isyraf, tabdzir) ialah tindakan membelanjakan harta dalam perkara-perkara yang haram, sama ada sedikit ataupun banyak. Jika seseorang membelanjakan harta satu dirham sahaja untuk membeli arak, berjudi, atau memberi rasuah, tindakan demikian termasuk tindakan berlebih-lebihan (isyrâf). Hukumnya ialah haram.
Kedekut (taqtir, bakhil) ialah mencegah diri untuk menginfakkan harta dalam perkara yang wajib. Misalnya, seseorang tidak membayar satu dirham daripada ketentuan zakat mal yang wajib dikeluarkannya atau tidak menafkahi orang-orang yang wajib dia beri nafkah, hal ini ialah kedekut. Hukumnya juga ialah haram.
Sementara itu, infak yang pertengahan (qawam) ialah membelanjakan harta sesuai dengan tuntunan hukum-hukum syariah, sama ada banyak ataupun sedikit. Memuliakan seorang tetamu dengan menghidangkan seekor kambing, ayam, atau unta ialah infak yang pertengahan. Hukumnya ialah halal. Sikap demikian didasarkan pada firman Allah SWT, “… di antara yang demikian itu …” [TMQ Al-Furqan(25): 67].
Ayat di atas bertujuan untuk menunjukkan adanya tiga jenis infak, iaitu, berlebih-lebihan, kedekut, dan pertengahan. Satu daripada ketiga-tiga jenis infak itu ialah perkara yang dituntut oleh syariat, iaitu yang pertengahan (qawâm). Allah tidak mengatakan bayna dzalikumā (di antara keduanya) untuk menunjukkan pertengahan di antara dua hal yang berbeza.
Atas dasar itu, dalam Islam tidak ada sikap kompromi atau jalan tengah. Ini kerana Allah SWT, yang mencipta manusia dan mengetahui hakikatnya dengan suatu pengetahuan yang tidak mungkin diketahui oleh manusia itu sendiri, ialah Zat satu-satunya yang mampu mengatur kehidupan manusia secara rapi dan teliti, serta tidak akan mungkin dicapai oleh seorang pun.
Hukum-hukum Allah datang dengan batas-batas yang tegas. Tidak ada kesan sedikit pun bahawa di dalamnya ada kompromi atau jalan tengah. Ini kerana memang tidak ada kompromi atau jalan tengah dalam nas-nas dan hukum-hukum Islam. Bahkan sebaliknya, pelbagai nas dan hukum Islam sangat teliti, terang, dan jelas batas-batasnya. Oleh kerana itulah, Allah menamakannya dengan istilah hudûd (batas-batas) kerana ketelitian dan ketepatan di dalam hukum-hukumNya.
Allah SWT berfirman, “Itulah hukum-hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang (mahu) mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah(2): 230].
“Siapa saja yang menderhakai Allah dan RasulNya, serta melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka, sedangkan dia kekal di dalamnya.” [TMQ An-Nisa’(4): 14].
Adakah kompromi atau jalan tengah dalam sabda Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya, Abu Thalib, ketika kaum Quraisy menawarkan kepadanya pangkat, harta, dan kehormatan agar baginda mahu meninggalkan Islam? Pada saat itu, yang ada justeru ketegasan sikap Rasulullah SAW ketika baginda berkata, “Demi Allah, wahai Pak Cik, andaikan mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perkara ini (Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan perkara itu atau aku hancur kerananya!”
Adakah sikap sederhana atau jalan tengah dalam sabda Rasulullah kepada kabilah Bani Amir ibnu Sha’sha’ah ketika mereka meminta kekuasaan setelah baginda pergi sebagai ganjaran daripada pertolongan yang mereka berikan kepada baginda? Pada saat itu pun, Rasulullah SAW. secara tegas menyatakan, “Perkara ini (kekuasaan) adalah milik Allah yang akan diberikanNya kepada siapa saja yang dikehendakiNya.”
Akhirnya, sikap kompromi atau jalan tengah ialah idea yang sangat asing dalam pandangan Islam. Idea sebegini diselitkan ke dalam ajaran Islam oleh orang-orang Barat dan ejen-ejen mereka daripada kalangan umat Islam. Mereka memperkenalkan idea tersebut kepada umat Islam atas nama keadilan dan toleransi. Tujuannya ialah untuk menyimpangkan umat Islam daripada pelbagai ketetapan dan hukum Islam yang telah jelas batas-batasnya.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
#TelaahKitab #BukuPilihan #PersepsiBerbahaya #Kapitalisme #Moderate #Islamophobia #WaronTerrorism #WaronIslam