[Persepsi Berbahaya] Prinsip Jalan Tengah (Bahagian 1/2)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
Istilah jalan tengah (sikap moderat) tidak pernah muncul dalam kalangan umat Islam kecuali pada era moden. Jalan tengah merupakan istilah asing yang berasal dari Barat dengan ideologi kapitalismenya. Ideologi inilah yang membina akidahnya berasaskan prinsip jalan tengah.
Prinsip jalan tengah itu sendiri merupakan suatu kompromi yang lahir akibat pertarungan atau konfrontasi berdarah antara gereja dan raja-raja yang mengikutinya di satu pihak, dengan para pemikir dan ahli falsafah Barat di pihak yang lain. Pihak pertama berpandangan bahawa agama Kristian layak mengatur seluruh urusan kehidupan, manakala pihak kedua berpandangan bahawa agama Kristian tidak layak untuk tujuan tersebut. Hal ini kerana Kristian dianggap sebagai punca kepada kehinaan dan kemunduran. Selain itu, akal manusia dianggap mampu mencipta peraturan yang layak untuk mengatur seluruh urusan kehidupan.
Selepas berlakunya pertarungan sengit antara kedua-dua pihak ini, mereka akhirnya mencapai suatu kompromi, iaitu menerima kewujudan agama untuk mengatur hubungan manusia dengan Tuhan. Namun begitu, agama (Tuhan) tidak diberikan hak untuk campur tangan dalam urusan kehidupan, sehingga pengaturan kehidupan diserahkan sepenuhnya kepada manusia.
Daripada sinilah mereka menjadikan idea pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme) sebagai akidah ideologi mereka, iaitu kapitalisme. Berasaskan ideologi yang bertunjangkan sekularisme inilah mereka berjaya mencapai kebangkitan. Kemudian, mereka menyebarkan ideologi tersebut kepada bangsa-bangsa lain melalui penjajahan (imperialisme).
Prinsip jalan tengah atau sikap moderat yang bersifat kompromi, dan yang menjadi asas akidah mereka, akhirnya menjadi ciri yang menonjol dalam setiap hukum dan tingkah laku para penganut ideologi kapitalisme, khususnya dalam isu-isu politik. Dalam isu Palestin misalnya, umat Islam menuntut agar seluruh bumi Palestin menjadi milik mereka.
Pada masa yang sama, pihak Yahudi mendakwa bahawa Palestin merupakan tanah yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka, dan oleh itu keseluruhannya dianggap milik mereka. Negara-negara Barat yang berideologi kapitalisme kemudian mengemukakan satu penyelesaian jalan tengah yang juga bersifat kompromi pada tahun 1948, iaitu rancangan pembahagian tanah untuk menubuhkan dua buah negara di Palestin: satu untuk Arab dan satu lagi untuk Yahudi.
Pendekatan jalan tengah ini juga jelas kelihatan dalam pelbagai isu antarabangsa yang dikendalikan oleh negara-negara kapitalis, seperti isu Kashmir, Cyprus, Bosnia dan lain-lain. Prinsip ini seterusnya menyebabkan dasar-dasar mereka sentiasa berpaksikan penipuan dan mengelakkan diri dari masalah. Ia tidak bertujuan untuk memperoleh keseluruhan hak yang sepatutnya dimiliki, sebaliknya hanya sebahagian daripadanya, sama ada sedikit atau banyak.
Maksudnya, prinsip tersebut bukan untuk mendapatkan semua hak, tetapi untuk mencapai suatu kompromi antara dua pihak. Prinsip sedemikian diambil bukan kerana ia benar, tetapi kerana mengambil kira faktor kekuatan dan kelemahan setiap pihak. Pihak yang kuat akan mengambil bahagian yang diinginkannya jika mampu, manakala pihak yang lemah akan melepaskan bahagian yang tidak mampu diperolehnya (prinsip take and give).
Malangnya, sebahagian umat Islam bukan sahaja tidak mengkritik atau membongkar kesilapan dan kepalsuan idea jalan tengah ini, malah mereka mengambilnya dan menyeru bahawa idea tersebut juga wujud dalam ajaran Islam. Bahkan menurut mereka, Islam itu berdiri di atas prinsip jalan tengah. Mereka seterusnya menyatakan bahawa Islam berada di antara spiritualisme dan materialisme, antara individualisme dan kolektivisme, antara sikap “realistik” dan “idealistik”, serta antara kemapanan dan perubahan.
Lebih jauh lagi, mereka mendakwa bahawa Islam tidak mengenal sikap berlebih-lebihan atau sikap cuai, tidak melampaui batas dan tidak pula kurang daripada batas, dan sebagainya. Untuk menyokong pandangan ini, mereka melakukan kajian terhadap pelbagai fakta yang ada.
Mereka kemudian membuat kesimpulan bahawa setiap perkara mempunyai dua hujung dan satu titik pertengahan. Titik pertengahan dianggap sebagai kawasan yang selamat, manakala kedua-dua hujung sentiasa terdedah kepada bahaya dan kerosakan. Titik pertengahan dianggap sebagai pusat kekuatan serta kawasan kesetaraan dan keseimbangan antara dua hujung. Selagi titik pertengahan atau jalan tengah memiliki keistimewaan-keistimewaan ini, maka menurut mereka, tidak hairanlah prinsip jalan tengah sentiasa kelihatan dalam setiap aspek ajaran Islam. Oleh itu, mereka menyimpulkan bahawa Islam merupakan pertengahan antara akidah dan ibadah, antara hukum dan akhlak, dan seterusnya.
Setelah melakukan analogi secara rasional terhadap hukum-hukum Islam dengan fenomena benda-benda yang ada, mereka mencari sokongan lain daripada nas-nas syarak. Kemudian mereka memutar dan mengalahkan nas-nas tersebut, lalu menundukkannya kepada kefahaman baharu mereka agar selari dengan pendapat yang mereka anuti.
Mereka seterusnya memetik firman Allah SWT: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang adil dan terpilih, agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.” [TMQ al-Baqarah (2): 143]
Mengenai ayat ini, mereka menyatakan bahawa kedudukan pertengahan umat Islam diambil daripada manhaj dan sistem kehidupan umat yang bersifat sederhana. Menurut mereka, di dalamnya tidak terdapat sikap berlebih-lebihan seperti Yahudi, dan tidak pula sikap meremehkan seperti Nasrani. Mereka mendakwa bahawa perkataan wasath bermaksud adil.
Keadilan menurut anggapan mereka ialah pertengahan antara dua hujung yang saling bertentangan. Oleh itu, mereka mentafsirkan adil dalam konteks “perdamaian” (ṣulḥ) bagi menyokong prinsip jalan tengah.
Hakikatnya, makna yang sahih bagi ayat tersebut ialah bahawa umat Islam merupakan umat yang adil. Keadilan pula merupakan salah satu syarat bagi seorang saksi dalam Islam. Dengan kata lain, ayat tersebut membawa maksud bahawa umat Islam kelak akan menjadi saksi yang adil terhadap umat-umat lain pada Hari Kiamat, kerana umat Islam telah menyampaikan risalah Islam kepada mereka.
Walaupun ayat ini berbentuk penyataan (ikhbār), ia mengandungi tuntutan (ṭalab) daripada Allah SWT kepada umat Islam agar menyampaikan Islam kepada umat-umat lain. Jika umat Islam tidak melaksanakan tugas ini, mereka akan berdosa. Dengan itu, umat Islam akan menjadi hujah (saksi yang adil) ke atas umat lain. Hal ini sama seperti Rasulullah SAW yang kelak akan menjadi hujah (saksi yang adil) ke atas umat Islam kerana baginda telah menyampaikan risalah Islam kepada mereka.
Allah SWT berfirman: “… Supaya Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu.” [TMQ al-Hajj (22): 78]
Ayat ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW akan menjadi hujah ke atas umat Islam pada Hari Kiamat kerana baginda telah menyampaikan risalah Islam kepada mereka.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
Bersambung ke: “Prinsip Jalan Tengah” Bahagian 2/2.
#TelaahKitab #BukuPilihan #PersepsiBerbahaya #Kapitalisme #Moderate #Islamophobia #WaronTerrorism #WaronIslam