[Ath-Thariq] Konsep Islam tentang Tujuan Hidup
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Begitu banyak pertanyaan dari manusia tentang makna hidup yang sebenarnya. Maksud dan tujuan hidup manusia menjadi salah satu persoalan yang memicu timbulnya lebih banyak pertanyaan lain yang terlahir dari simpulan besar sehingga mendorongnya untuk mempertanyakan hakikat alam semesta, manusia, dan kehidupan.
Sebahagian besar manusia ketika sejenak menenangkan dirinya—lebih-lebih lagi setelah timbul permasalahan, konflik batin, sakit parah, dan sebagainya—sering kali bertanya pada diri sendiri tentang apa yang diinginkannya, faedah dan makna serta akhir cerita kehidupan.
Seorang pelajar mungkin akan berkata pada dirinya, misalnya, saya ingin menjadi orang berjaya dalam pendidikan, kemudian bertanya lagi setelah itu ingin apa? Mungkin dijawab, bekerja dan menikah, soal jawab pun terus berlangsung hingga sampai pada pertanyaan terakhir, kemudian ingin apa?
Sang pelajar itu tidak memperoleh jawapan dan merasakan—jika dia termasuk orang yang berakal dan berperasaan—tingkat kejemuan dan kebodohan dunia, serta memahami bahawa dunia itu sesuatu yang hina bila dijadikan tujuan oleh manusia. Dia pun akan terus bingung sehinggalah dapat menemukan tujuan terluhur dan termulia yang menjadikan hidup ini bermakna, dan jawapan itulah yang menjadi penghurai yang benar atas al-uqdat al-kubra (simpulan besar permasalahan manusia).
Islam telah menetapkan sebuah tujuan yang perlu diraih seseorang dalam hidupnya, demi mencapainya, tanpa keluh kesah dia hendaklah menanggung segala halangan dan rintangan, kesusahan dan penderitaan, kerana tujuan tersebut menjadi tujuan utama baginya.
Islam menetapkan tujuan utama seorang muslim adalah meraih redha Allah Swt., yakni dengan menjadikan redha Allah tersebut sebagai tujuan tertinggi yang mesti dirindukan seorang muslim. Demi mencapainya, segala yang dia miliki perlu dikorbankan. Islam pun menjadikan teraihnya redha Allah Swt. sebagai sebuah kebahagiaan hakiki dan kemenangan besar.
Dalam menerangkan karakter orang-orang yang beriman, Allah Swt. berfirman,
تَرٰىهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَّبْتَغُوْنَ فَضْلًا مِّنَ اللّٰهِ وَرِضْوَانًا
“Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya.” (TMQ Al-Fath: 29)
Dia Swt. berfirman,
وَعَدَ اللّٰهُ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَا وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً فِيْ جَنّٰتِ عَدْنٍ ۗوَرِضْوَانٌ مِّنَ اللّٰهِ اَكْبَرُ ۗذٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمُ
“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di syurga Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar.” (TMQ At-Taubah: 72).
Keredhaan Allah Swt. yang menjadi tujuan utama seorang mukmin, tidak boleh diraih kecuali dengan komitmen penuh nan sempurna atas segala perintah dan larangan Allah Swt., yakni melaksanakan segenap perintah-Nya dan menghindarkan diri dari segala larangan-Nya, dengan mengabaikan konsekuensi apa pun yang timbul darinya.
Dalam rangka membantu seorang muslim agar dapat meniti jalan yang sahih demi meraih tujuan tersebut, Islam menetapkan berbagai solusi yang menjamin seorang muslim menjadi seorang yang memiliki keperibadian yang kukuh, kuat, tak mudah gentar, yang tidak takut kecuali pada Allah Swt. dan tidak menginginkan keredhaan dari siapa pun selain Allah Swt. sehingga berbagai intimidasi dan ugutan pun tidak akan menggelisahkan dan menggoyahkannya, permasalahan dan petaka kehidupan dunia tidak akan mempengaruhinya.
Tiada lain kerana Islam telah mengajarnya untuk tidak merisaukan celaan dan kecaman dalam menyusuri jalan Allah, dan mengajarnya bahawa berbagai perkara seluruhnya menjadi kebaikan. Ketika dia memperoleh keuntungan, maka hendaklah bersyukur pada Allah. Sedangkan jika ditimpa kerugian, maka bersabar dan berniatlah kerana Allah.
Sekalipun Islam menjadikan akhirat dan keredhaan Allah sebagai tujuan akhir seorang muslim, Islam tetap mendorongnya untuk mengambil bahagian dunianya.
وَلَا تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (TMQ Al-Qashash: 77).
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِيْنَةَ اللّٰهِ الَّتِيْٓ اَخْرَجَ لِعِبَادِهٖ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزْقِۗ
“Katakanlah, ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?’” (TMQ Al-Araf: 32).
Betapapun, Islam tidak menghendaki dunia—dengan perhiasannya yang tidak kekal dan kehinaannya di sisi Allah Swt. yang mana Rasul menyifatinya sebagai sesuatu yang tidak lebih berharga di sisi Allah daripada sayap seekor nyamuk—dijadikan tujuan akhir seorang muslim atau maksud segala cita-citanya. Oleh sebab itu, di dalam Islam, dunia ini tiada lain hanya semata titian tangga dan sekadar jalan pengantar menuju akhirat.
Pada kaum muslim generasi pertama terlihat jelas sikap yang tidak terlalu mementingkan kekayaan dunia dan tidak mempedulikan kehilangannya. Mereka menjadi umat yang paling bangkit dan paling maju, serta memiliki ikatan kasih sayang serta persaudaraan yang sangat kuat tak berbanding. Semua ini kerana komitmen mereka akan tujuan yang telah ditetapkan oleh Islam sebagai harapan yang mereka usahakan dengan segenap kekuatan agar menjadi kenyataaan dan deminya mereka mengorbankan segala sesuatu.
Allah Swt. berfirman,
قُلْ اِنْ كَانَ اٰبَاۤؤُكُمْ وَاَبْنَاۤؤُكُمْ وَاِخْوَانُكُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَاَمْوَالُ ِۨاقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ اَحَبَّ اِلَيْكُمْ مِّنَ اللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهٖ فَتَرَبَّصُوْا حَتّٰى يَأْتِيَ اللّٰهُ بِاَمْرِهٖۗ وَاللّٰهُ لَا يَهْدِى الْقَوْمَ الْفٰسِقِيْنَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (TMQ At-Taubah: 24).
Itulah tujuan hidup seorang muslim, yakni keredhaan Allah Swt. sehingga kenikmatan, perhiasan, dan gemerlap dunia bagi seorang muslim dianggap semata jalan pengantar, bukan sebagai tujuan akhir. Begitu pula kedudukan dunia di hadapan masyarakat yang menjadi umat pertama dan utama di dunia ini, yakni masyarakat yang terlahir dari Islam dan tujuan yang ditetapkannya.
Oleh kerana itu, seseorang yang mengimani ideologi Islam ini perlu menjadikan redha Allah sebagai tujuannya, yakni dengan menetapi segala perintah dan larangan Allah. Sedangkan sikap sebahagian besar manusia yang menjadikan terpenuhinya kenikmatan raga (fizikal) sebanyak mungkin sebagai tujuan mereka dan faktor yang membahagiakan mereka, maka hal itu bertentangan dengan Islam dan realiti manusia. Mengapa? Penjelasan yang lalu cukup menjelaskan sebab pertentangannya dengan Islam.
Sedangkan bila ditilik dari segi pertentangannya dengan realiti manusia, boleh diperhatikan bahawasanya seesorang yang menjadikan tujuan hidup dan kebahagiaannya hanya terbatas kenikmatan raga (fizikal), maka segala perbuatan dan daya usaha hanya dicurahkan untuk mendapatkan tujuan itu saja, yakni dengan menggunakan berbagai cara agar dapat meraihnya sebagai orang yang termengah-mengah di belakang harta, status, kedudukan, dan sebagainya.
Apa yang terjadi kemudian adalah salah satu dari dua kemungkinan ini. Kemungkinan pertama, orang tersebut berupaya mendapatkan kesenangan dan kenikmatan yang diinginkannya sehingga dengan diperolehnya segala yang diperlukan, baik wang, sawah ladang, dan sebagainya, dia dihinggapi kejemuan dan rasa bosan kerana tidak tersisa sesuatu pun yang perlu dijadikan tujuan hidupnya. Dia boleh mendapatkan dan memperoleh segala yang diinginkan, dan tidak tersisa maksud dan tujuan yang perlu diusahakan sehingga pilihan di hadapannya hanya tinggal dua perkara, pertama bunuh diri, dan kesuraman akibatnya begitu jelas, atau menciptakan cara-cara baru dalam memperoleh kenikmatan fizikal, berbagai akibat dari langkah ini jelas tampak di pelupuk mata dalam gerakan kaum hippie, Bettles, Al-Khanafis, dan sebagainya, yang membasahi dahi kemanusiaan kerana meluncur ke jurang kesia-siaan dan kebodohan yang paling rendah, serta turun ke darjat binatang, bahkan boleh jadi lebih rendah.
Adapun kemungkinan kedua adalah bahawa orang tersebut tidak sampai pada tujuannya, dan terus saja berlelah-lelah mengejar pengantar kesenangan tanpa ada satu pun yang dia dapatkan. Dia pun menghadapi hidupnya dengan pesimis, penuh keluh kesah, risau, gelisah, dan penyesalan. Ini keadaan majoriti mereka yang meyakini kenikmatan fizikal sebagai tujuan hidup dan simbol kebahagiaan, padahal sebenarnya bukti yang terindera menunjukkan hakikat dua golongan ini yang mereka tidak memperoleh kebahagiaan dan ketenteraman.
Realiti masyarakat Barat, bahkan sebahagian besar masyarakat negeri-negeri Islam, menunjukkan dengan sangat jelas ketidakberuntungan individu-individu yang menjadikan kenikmatan sebagai tujuan, dan kehancuran masyarakat yang salah satu unsur pembentuknya adalah individu-individu tersebut. Maha Benar Allah Swt. yang telah berfirman,
““Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” (TMQ Taha: 124—127).
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)