[Ath-Thariq] Konsep Islam tentang Standard Perbuatan
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Kapitalisme menjadikan manfaat sebagai tolok ukur yang menentukan nilai perbuatan manusia seluruhnya. Perbuatan menjadi baik ketika dapat menghasilkan manfaat bagi pelakunya dan menjadi jelik jika membawa pada hal yang sebaliknya. Adapun sosialisme menjadikan evolusi sebagai tolok ukur perbuatan manusia. Dengan demikian, evolusi menjadi standardnya yang selanjutnya membawa pada terhapusnya idea tolok ukur kerana telah diketahui oleh orang berakal bahawa secara asal sebuah tolok ukur hendaklah tetap dan jelas bagi setiap orang, tidak berubah satu masa dengan masa berikutnya sebagaimana standard yang ada dalam sosialisme yang menjadikan standardnya tunduk pada perkembangan (evolusi) sehingga standard mereka pada hari ini bukanlah standard yang digunakannya kelmarin dan apa yang mereka anggap baik hari ini mungkin menjadi jelik pada hari esok.
Ketika semua ini menjadi tolok ukur dari dua ideologi tersebut, Islam datang dan meletakkan sebuah standard yang tidak mungkin tersisipi kesalahan, baik dari depan atau belakang, dan standard ini menjadi penjamin teraihnya kebahagian dan ketenteraman manusia yang tiada lain ialah “halal dan haram”.
Standard halal dan haram secara sederhana memberikan maksud bahawa perbuatan yang diperintahkan Allah atau dibolehkan oleh-Nya itu merupakan perbuatan baik (hasan), sedangkan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya itu perbuatan jelik/buruk (qabih), sehingga tidak ada perselisihan dan pertengkaran di antara manusia kerana standardnya satu dan tetap untuk setiap tempat dan masa. Apa yang baik seribu tahun sebelumnya akan tetap baik pada hari ini, terus baik seribu tahun ke depan atau bahkan jutaan tahun mendatang.
Allah Swt. berfirman,
وَمَآ اٰتٰىكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهٰىكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْاۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِۘ
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
ذٰلِكَ اَمْرُ اللّٰهِ اَنْزَلَهٗٓ اِلَيْكُمْۗ وَمَنْ يَّتَّقِ اللّٰهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّاٰتِهٖ وَيُعْظِمْ لَهٗٓ اَجْرًا
“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu; dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan menghapus kesalahan- kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.” (TMQ Ath-Thalaq: 5).
Rasulullah saw. bersabda,
“Tidaklah salah seorang di antara kalian disebut beriman sehingga keinginannya mengikuti apa yang aku bawa (Al-Quran dan sunnah).”
Dari sini jelaslah bahawa Islam menjadikan sebuah perbuatan menjadi baik bila diakui dan diperintahkan oleh Allah dan menjadi buruk bila diharamkan-Nya, tanpa mempedulikan akibat dari perbuatan tersebut apakah manfaat ataukah mudarat, dan dengan mengabaikan apakah sesuai atau tidak dengan keinginan seseorang. Dengan meneliti realiti standard yang ditetapkan Islam dan standard ideologi lain kita menemukan bahawa standard Islam-lah satu-satunya yang benar, sedangkan selainnya salah dan batil.
Manusia tidak mampu menetapkan hukum secara praktikal atas sebuah realiti perbuatan dari segi baik (hasan) atau buruknya (qabih), kerana di dalam akal itu sendiri tidak ada sesuatu pun yang memungkinkan akal untuk menetapkan hukumnya, tidak pula ada dalam perbuatan mana pun sebuah substansi yang boleh terindera oleh manusia agar dia boleh mengaitkannya dengan informasi awal sehingga dia dapat menetapkan hukum baik, buruk, dan sebagainya.
Contohnya, seandainya kita tanyakan apakah membunuh itu baik ataukah buruk bila ditinjau dari aspek logik (akal)? Sesungguhnya akal yang memerlukan jawapan atas pertanyaan ini akan mengindera terlebih dahulu realiti pembunuhan tersebut, jika realiti pembunuhan tersebut tidak dapat diindera, tidak mungkin dapat menetapkan hukumnya secara akal apakah baik atau buruk, kerana mengindera menjadi sebuah syarat mendasar dalam proses berfikir (al-‘amaliyah al-‘aqliah).
Ini berbeza dengan benda-benda yang ada yang boleh diindera sehingga melalui penginderaan akal mampu menetapkan hukum atas sesuatu, apakah baik atau buruk. Misalnya jika kita meminta pendapat seseorang tentang al-handhal (sejenis labu yang rasanya pahit), maka dia akan segera menjawab: `saya tidak menyukainya kerana pahit, begitu pula dengan benda-benda lainnya‘.
Berdasarkan hal ini, Islam datang untuk menghukumi segenap perbuatan dan menjadikan hukum asal dalam perbuatan terikat pada hukum syarak. Sedangkan syarak datang untuk membolehkan benda-benda—kecuali hanya sedikit darinya—dan menjadikan hukum asal dalam benda adalah boleh.
Dengan demikian, seorang muslim tidak boleh melakukan satu perbuatan pun kecuali setelah ia mengetahui hukum syarak perbuatan tersebut, atau mengetahui perintah Allah berkaitan dengan penghalalan dan pengharaman perbuatan itu. Seorang muslim tidak diminta untuk bertanya tentang hukum semua benda, dari segi halal atau haramnya. Seorang muslim cukup mengetahui benda-benda yang diharamkan saja dan kemudian menganggap benda selainnya termasuk benda yang mubah yang tidak perlu ditanyakan lagi hukumnya.
Setelah terbukti bahawa tidak mungkin seorang manusia menghukumi perbuatan melalui perbuatan itu sendiri, berbeza dengan benda yang ia mampu menetapkan hukumnya dari benda itu sendiri, maka hukum yang menetapkan perbuatan itu datang dari pertimbangan (faktor-faktor) di luar perbuatan tersebut. Oleh kerana itu, manusia menghukumi perbuatan berdasarkan suka atau bencinya mereka terhadap perbuatan tersebut sehingga mereka mengutamakan perbuatan yang mereka sukai dan memberikan ciri padanya sebagai perbuatan baik (hasan) dan memalingkan diri dari perbuatan yang dibenci, dan menamainya sebagai perbuatan buruk (qabih).
Atau mereka menetapkan hukum berdasarkan manfaat yang dihasilkan dari perbuatan tersebut, iaitu sebuah perbuatan disebut baik bila ada manfaat yang mereka peroleh, sedang perbuatan lain disebut buruk kerana memberikan mudarat yang mereka dapat. Inilah dua standard (al-miqyas) (suka atau benci, manfaat atau mudarat) yang menjadi standard yang tidak konsisten. Apa yang bermanfaat bagi sebahagian orang mungkin akan merugikan sebahagian yang lain, apa yang disukai sebahagian orang mungkin malah dibenci sebahagian yang lain. Dan musibah yang menimpa sebuah kaum menjadi faedah bagi kaum yang lain dan ini semua menjadi perkara yang mengakibatkan kepelbagaian standard dalam satu masyarakat, bahkan dalam satu rumah sekalipun yang tentunya akan mengakibatkan pada pertengkaran dan permusuhan, perpecahan dan masalah besar, yang selanjutnya membawa pada kerugian dan penderitaan manusia serta perpecahan masyarakat kerana berpecah-pecahnya standard dan keyakinan.
Berdasarkan hal ini, maka standard yang ditetapkan Islam menjadi standard yang sahih, kerana ia merupakan standard Al-Khaliq yang mutlak yang tidak mengandung cacat cela dalam segala hukumnya, dan ini pula standard yang terbukti oleh akal sebagai satu-satunya standard yang layak untuk setiap waktu dan tempat.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)