[PEDULI PALESTIN] Salahuddin Al Ayyubi Membebaskan Al Quds Dengan Tentera
Entiti haram Yahudi terus meningkatkan serangan ke atas Gaza dengan justifikasi bahawa ia kononnya sebagai usaha untuk membebaskan para tahanan. Walaupun ada beberapa tahanan yang berjaya diselamatkan sebelum ini, namun masih ramai yang tidak diketahui nasib dan keadaan mereka – entah hidup atau mati.
Rakyat entiti haram sendiri sudah hilang sabar terhadap kerajaan pimpinan Netanyahu. Puluhan ribu rakyatnya telah turun menyatakan bantahan mereka kerana Netanyahu masih berkeras meneruskan serangan yang dianggap tidak membantu untuk menyelamatkan para tebusan. Bagi mereka, Netanyahu seharusnya menghentikan serangan, melaksanakan genjatan senjata dan seterusnya berunding untuk melakukan pertukaran tahanan.
Begitulah keadaan umat Islam di Gaza. Di kala Barat mencaturkan suasana politik di Gaza setelah melihat perkembangan dalaman entiti haram Yahudi, para pemimpin umat Islam masih beretorika. Di Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al Aqsa dan Palestin bersempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 pada 25hb Ogos 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, ucapan dan kata-kata semangat terus dilontarkan demi menunjukkan solidariti kepada umat Islam di Gaza.
Visual yang memaparkan bagaimana masjid Al Quds dicemari dan dicerobohi oleh penganut Yahudi yang dilindungi oleh tentera entiti haram mereka benar-benar telah mengelar jiwa umat Islam yang ikhlas. Namun, di sebalik semua paparan itu, di manakah seruan kepada penyelesaian hakiki isu Palestin, termasuklah penghinaan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap masjid al Aqsa?
Semasa ucapan perasmiannya di dalam Muktamar tersebut, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak berhenti mempolitikkan isu Palestin and memfokuskan kepada menguatkan kekuatan dalaman umat Islam sebagaimana yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin Al Ayyubi. Beliau menerangkan lagi bagaimana Sultan Salahuddin Al Ayyubi berjaya melahirkan tentera yang kuat dari segi aqidah dan iman. Inilah, kata beliau, yang perlu dilakukan oleh umat Islam hari ini di dalam rangka menjadikan Sultan Salahuddin Al Ayyubi sebagai tauladan.
Ya, ada benarnya kata-kata PMX itu, namun hakikatnya, usaha Sultan Salahuddin menguatkan aqidah dan keimanan tenteranya adalah dalam rangka mengirim tentera ke Al Quds sehingga beliau berjaya membebaskannya dan memberikan keamanan kepada semua penduduk Palestin tanpa mengira agama dan warna kulit. Justeru itu, wahai PMX, hentikanlah retorik anda! Kirimlah tentera segera ke Palestin dan serulah seluruh pemimpin dunia Islam untuk turut serta melakukan perkara yang sama!
Sumber: mykhilafah