[Ath-Thariq] Para Qadhi
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Para Qadhi bertanggungjawab untuk memfatwakan hukum Allah dalam menyelesaikan sengketa yang terjadi di antara manusia atau melarang sesuatu yang boleh merugikan hak jemaah, serta menyelesaikan sengketa yang terjadi antara rakyat dengan siapa pun dari pihak negara yang termasuk dalam struktur pemerintahan. Qadhi merupakan orang kedua yang mengawasi penerapan Islam di dalam negara.
Berdasarkan penelitian atas berbagai hukum Islam, kami mendapati bahawa para Qadhi dalam Islam itu ada tiga kelompok, yakni:
- Qadhi Al-Khusumat
Qadhi yang bertugas untuk menyelesaikan persengketaan yang terjadi di tengah masyarakat, baik persengketaan dalam bidang muamalah (transaksi satu orang dengan orang lain) ataupun uqubah (hukuman undang-undang). Dalil atas hal ini adalah bahawasanya Rasulullah SAW telah mengadili perkara yang berlaku di tengah masyarakat dan menetapkan para Qadhi untuk tujuan tersebut. Rasulullah SAW bersabda,
“Qadhi itu ada tiga golongan, satu di syurga dan dua di neraka. Adapun Qadhi yang berada di syurga adalah seseorang yang mengetahui kebenaran (al-haq) dan memutuskan perkara dengan (dasar) kebenaran itu, sedangkan seseorang yang mengetahui kebenaran, kemudian menyimpang darinya, maka ia di neraka, sedangkan seseorang yang memutuskan perkara di antara manusia dengan kebodohannya, maka dia di neraka.” (HR. Abu Dawud, Ibnu Majah dan Tirmidzi, Hakim telah menetapkan kesahihannya.)
- Qadhi Al-Hisbah (Al-Muhtasib)
Secara ringkasnya, aktivitinya berkaitan dengan amar makruf nahi mungkar di tempat-tempat umum seperti pasar. Hal tersebut tiada lain untuk mencegah penipuan dan meminta pertanggungjawaban atau menetapkan hukuman atasnya dan memastikan kesesuaian barang dagangan (komoditi), serta mencegah adanya rompakan di jalan-jalan, dan juga dia bertugas untuk mengawasi perilaku dan adab dalam kehidupan umum.
Rasulullah SAW telah melakukan semua hal itu sendiri. Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah,
“Bahawasanya Rasulullah SAW melewati (berjalan untuk melihat) tompokan makanan, kemudian beliau memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut. Jari beliau mendapati bahagian bawah makanan tersebut basah. Lalu beliau bertanya, ‘Apakah ini, wahai pemilik makanan?’ Dia menjawab, ‘Terkena hujan, ya Rasulullah.’ Beliau bersabda, ‘Tidakkah sepatutnya engkau meletakkan yang terkena hujan itu di bahagian atas makanan sehingga boleh diketahui oleh semua orang? Siapa saja yang melakukan penipuan, maka dia tidak termasuk umatku.’”
Adapun Umar ra., dialah satu-satunya khalifah yang mengkhususkan diri untuk memeriksa pasar. Ketika Khalifah Al-Mahdi berkuasa, beliau menetapkan pegawai penguatkuasaan (dewan pengurus) tersendiri untuk bidang hisbah (pengawasan harga atau timbangan) sehingga menjadi bahagian tersendiri dari bidang peradilan.
- Qadhi Al-Madzalim
Adalah Qadhi yang bertugas untuk menyelesaikan perkara perselisihan yang terjadi antara rakyat dengan negara, dengan segenap strukturnya, baik para pegawai, penguasa, atau bahkan khalifah sendiri. Dalilnya adalah bahawa Rasulullah SAW menetapkan Rasyid bin Abdullah sebagai Qadhi yang menguruskan al-mazalim (persengketaan antara rakyat dengan negara), dan menetapkan syarat bagi Qadhi mazalim agar dia seorang yang warak (menjauhi maksiat dan perkara syubhat), bertakwa, memiliki keperibadian yang kuat, dan seorang yang ahli dalam ijtihad. Selain itu, ditetapkan syarat lain bahawa dia tidak boleh seorang wanita kerana al-mazalim ini menjadi bahagian dari kekuasaan, dan Qadhi mazalim inilah yang berhak untuk memecat khalifah ketika hal tersebut mesti dilakukan.
Khalifah atau para Qadhi (selain Qadhi mazalim) inilah yang menentukan orang yang menjadi Qadhi mazalim. Adapun yang berkuasa memecatnya adalah khalifah atau mahkamah (pengadilan) mazalim jika badan ini diberi autoriti oleh khalifah untuk melaksanakannya.
Dalam Daulah Islam tidak ada badan yang disebut dengan Mahkamah Isti’naf (mahkamah rayuan) atau Mahkamah Kasasi (mahkamah pembatal hukuman) untuk pengaduan sesuatu perkara, kerana seorang Qadhi dalam Daulah Islam tidak akan menetapkan sebuah hukuman perundangan kecuali setelah ada al-tatsabut (pembuktian atau verifikasi) yang sempurna atas hakikat perkara yang diajukan. Sedangkan ketetapan perundangannya bersifat definitif (pasti) dan berlaku secara efektif sehingga tidak boleh dibatalkan oleh Qadhi yang lain, kerana hukum Allah dalam satu masalah itu tidak berbilang, yakni ia menjadi hukum yang satu. Oleh kerananya, seorang Qadhi tidak boleh membatalkan sendiri keputusan kehakiman yang telah ia tetapkan kerana keputusan tersebut menjadi hukum Allah, dan Qadhi lainnya tidak boleh membatalkan Keputusan tersebut kerana sebab yang sama. ‘
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)