[Pemikiran Politik Islam] Tanggungjawab Umum (Bahagian 1/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Allah SWT telah menentukan tanggungjawab umum kepada pemerintah sedemikian jelas sehingga tidak mungkin timbul kesalahfahaman dan kekeliruan. Allah SWT juga telah menjelaskan tanggungjawab penguasa sebagai seorang pemimpin yang tanggungjawabnya berkaitan dengan rakyatnya.
Tanggungjawab seorang penguasa terhadap dirinya sebagai seorang pemimpin ditunjukkan dalam hadis Nabi SAW yang menjelaskan mengenai kualiti seorang pemimpin. Sifat-sifat yang diutamakan bagi seorang pemimpin adalah kekuatan, ketakwaan, kebaikannya terhadap para rakyat, serta tidak bersikap menakutkan.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa seorang pemimpin perlu kuat, tidak lemah, dan orang-orang yang lemah tidak layak menjadi pemimpin. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Dzar bahawa Rasul SAW bersabda, “Wahai Abu Dzar, aku melihat dirimu adalah orang yang lemah. Dan aku mencintaimu sebagaimana aku mencintai diriku. Janganlah engkau menjadi amir dari dua orang, dan janganlah kamu mengurus harta anak yatim.”
Abu Dzar juga menuturkan bahawa dia berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau akan mengangkatku?” Kemudian, Rasulullah menepuk pundakku dan berkata, “Wahai Abú Dzar, kamu adalah orang yang lemah, dan sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan pada Hari Pembalasan (amanah ini) merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya (kepemimpinan) sesuai haknya dan memenuhi kewajipannya.” (HR Muslim).
Kekuatan yang dimaksud dalam hadis ini adalah kekuatan keperibadian, iaitu pola fikir dan pola jiwanya. Oleh sebab itu, pola fikir seorang pemimpin perlu menyatu dengan kepemimpinannya. Ini kerana dengan sifat itulah pemimpin dapat memahami berbagai masalah dan hal-hal lain yang berkaitan. Nafsiyah (pola jiwa) seorang pemimpin hendaklah berpadu dengan kepemimpinannya kerana dengannya seorang pemimpin akan menyedari dirinya sebagai seorang pemimpin. Dengan demikian, dia dapat mengendalikan kecenderungannya (muyul). Kekuatan keperibadian sangat berpengaruh dalam kepemimpinannya. Oleh sebab itu, seorang pemimpin mestilah memiliki kualiti yang mampu menjauhkannya dari pengaruh-pengaruh buruk. Dia perlu memiliki ketakwaan, baik secara peribadi mahupun dalam hubungannya dengan tugas mengurus umat.
Sulaiman ibnu Buraidah menuturkan dari bapanya, bahawa dia berkata, “Rasulullah dalam mengangkat seorang pemimpin pasukan atau ekspedisi (sariyyah) selalu mewasiatkan takwa kepadanya dan berbuat baik terhadap kaum muslim yang bersama dengannya.” (HR Muslim dari Buraidah).
Apabila seorang pemimpin memiliki ketakwaan, iaitu sikap takut dan muraqabah (merasa selalu diawasi oleh Allah SWT), baik dalam keadaan sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, maka sikap ini akan menjauhkannya dari perbuatan-perbuatan zalim. Namun demikian, sifat takwa tidak akan menghalanginya bersikap keras dan tegas kerana sikap muraqabah kepada Allah memerlukan dia untuk mematuhi seluruh perintah-Nya.
Selain sifat keras dan tegas tersebut, Allah SWT juga memerintahkan seorang pemimpin untuk bersikap lemah lembut dan tidak menimbulkan kesulitan bagi rakyatnya. ‘A’isyah ra. menuturkan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW berkata di rumahnya, “Ya Allah, bagi siapa saja yang diberi tanggungjawab kepemimpinan umat dan menimbulkan kesulitan bagi mereka (umat), maka berikanlah kesulitan kepadanya. Dan bagi siapa yang berbuat baik kepada mereka, berikanlah kebaikan kepadanya.” (HR Muslim).
Allah SWT juga memerintahkan pemimpin agar menjadi seorang yang memberikan khabar baik (mubasyir) dan bukan menjadi seorang yang menakutkan (munaffir). Abu Musa ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jadilah seorang mubasyir dan janganlah menjadi munaffir. Mudahkanlah dan jangan mempersulit.” (HR Al-Bukhari).
Demikianlah kualiti peribadi yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin. Dalam hubungannya dengan para rakyat, Allah SWT telah mewajibkan seorang pemimpin untuk memberikan nasihat yang tulus kepada rakyatnya dan memperingatkannya untuk senantiasa berhati-hati dalam mengelola harta negara.
Allah SWT juga mewajibkan para pemimpin untuk memerintah umatnya hanya dengan sistem Islam dan tidak mencampuradukkannya dengan sistem lainnya. Allah SWT mengharamkan syurga bagi para pemimpin yang tidak memberikan nasihat kepada umatnya atau pemimpin yang mengambil harta umatnya. Ma’qil bin Yasar ra. menuturkan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang diberi kedudukan oleh Allah untuk mengurus umat dan dia tidak memberi nasihat yang tulus kepada mereka (umat), dia tidak akan mencium baunya syurga.” (HR Al-Bukhari).
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.