[Persepsi Berbahaya] Fundamentalisme (Bahagian 1/2)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
Istilah fundamentalisme mula muncul di Eropah pada penghujung abad ke-19. Istilah ini digunakan untuk menunjukkan sikap gereja terhadap ilmu pengetahuan (sains) dan falsafah moden, serta sikap konsisten mereka secara menyeluruh terhadap agama Kristian.
Gerakan Protestan dianggap sebagai titik awal kemunculan fundamentalisme. Mereka telah menetapkan prinsip-prinsip fundamentalisme dalam Persidangan Bible di Niagara pada tahun 1878 dan Persidangan Umum Presbyterian pada tahun 1910. Pada waktu itu, idea-idea utama yang menjadi dasar fundamentalisme mula terbentuk dengan jelas.
Idea-idea utama ini diasaskan atas prinsip-prinsip teologi Kristian yang bertentangan dengan kemajuan ilmu pengetahuan yang lahir daripada ideologi Kapitalisme yang berasaskan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan).
Walaupun gerakan Protestan ini telah lenyap disebabkan Perang Dunia II, namun telah tertanam dalam pemikiran masyarakat Eropah bahawa fundamentalisme ialah musuh kepada kemajuan dan ilmu pengetahuan. Fundamentalisme dianggap sebagai kemunduran cara berfikir yang tidak selari dengan era kebangkitan. Oleh itu, fundamentalisme dianggap wajib diperangi sehingga seluruh pengaruhnya dihapuskan daripada kehidupan masyarakat.
Fundamentalisme jelas muncul di Eropah dalam suasana pengaruh kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang lahir selepas pemisahan agama Kristian daripada kehidupan. Fundamentalisme merupakan reaksi yang lahir daripada ketidakmampuan agama Kristian untuk menyesuaikan diri dengan sistem kehidupan baharu yang lahir daripada ideologi Kapitalisme.
Ketidakmampuan tersebut telah mendorong mereka yang beriman kepada agama Kristian mengambil sikap menolak segala bentuk kemajuan material dan tamadun Barat. Namun begitu, gerakan yang dinamakan fundamentalisme ini akhirnya gagal dan pupus. Hal ini kerana gerakan tersebut lemah dalam mengemukakan penyelesaian praktikal bagi mengatasi pelbagai masalah kehidupan. Tujuan gerakan ini juga lebih tertumpu kepada penentangan terhadap ilmu pengetahuan, seni, dan pelbagai idea yang tidak selari dengan kepercayaan orang Kristian.
Berdasarkan hal itu, pelabelan fundamentalisme terhadap beberapa gerakan Kristian dan Yahudi sebenarnya berasal daripada Barat. Baratlah yang menyatakan bahawa gerakan-gerakan agama tersebut merupakan penentang kepada kemajuan ilmu pengetahuan, teknologi, dan seni yang lahir daripada penerapan ideologi kapitalisme.
Pemberian label fundamentalisme terhadap banyak gerakan Islam dan para aktivisnya oleh para ahli politik dan intelektual Barat sejak kebelakangan ini, serta tindakan penindasan terhadap para aktivis gerakan tersebut oleh sebahagian umat Islam sendiri, bertujuan untuk memerangi dan menentang gerakan-gerakan tersebut. Selain itu, usaha-usaha tersebut juga bertujuan membentuk opini umum antarabangsa bagi menentang sesiapa sahaja yang dilabel sebagai fundamentalis. Ini kerana pada pandangan mereka, fundamentalisme ialah suatu bentuk kemunduran dan keterbelakangan, serta penentangan terhadap segala kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Hanya dengan melabel sesuatu pihak sebagai fundamentalis, pihak tersebut sudah dianggap berbahaya terhadap tamadun moden yang bersifat materialistik dan terhadap kehidupan masyarakat. Label itu kemudiannya dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan-tindakan yang diambil, iaitu tindakan yang sangat kejam biadap dalam memerangi dan menentang pihak tersebut.
Apabila sesebuah negara seperti Mesir, Algeria dan lain-lain menjatuhkan hukuman mati terhadap orang Islam yang dilabel sebagai fundamentalis, negara tersebut akan memperoleh sokongan opini daripada Dunia Barat. Sebaliknya, badan-badan pembela hak asasi manusia pula tidak akan membantah. Ini kerana menurut badan-badan tersebut, mereka yang dihukum mati ialah golongan fundamentalis yang dianggap menentang nilai-nilai kemanusiaan. Tambahan pula, mereka juga dituduh sebagai pelaku pelbagai tindakan mengerikan seperti pembunuhan rakyat tidak berdosa di Algeria, serta pembunuhan pelancong dan orang awam di Mesir.
Bukan itu sahaja, label fundamentalisme juga diberikan kepada setiap gerakan atau parti yang berjuang untuk mengubah kehidupan umat Islam yang sangat buruk kepada kehidupan Islam melalui usaha mengembalikan Khilafah dan hukum Islam. Label tersebut juga diberikan kepada setiap gerakan yang menentang para penceroboh serta perampas tanah dan hak umat Islam seperti orang Yahudi, Serbia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Para mujahid Islam yang membunuh musuh-musuh yang telah merampas tanah mereka turut disebut sebagai golongan fundamentalis dan pengganas. Para pejuang yang gugur syahid demi menghancurkan kekuatan musuh asing pula disebut sebagai pelaku bunuh diri dan penjenayah.
Pemberian label fundamentalisme amat berbahaya bagi setiap Muslim dan setiap gerakan yang menentang kezaliman serta penjajahan. Ia juga berbahaya bagi setiap parti yang berjuang dengan metod syarak untuk meneruskan kembali kehidupan Islam. Ini kerana pemberian label tersebut bertujuan mendapatkan legitimasi undang-undang untuk membanteras sesiapa sahaja yang menyeru kepada kembalinya Islam dalam kehidupan. Mereka mendakwa bahawa gerakan Islam ialah gerakan fundamentalisme, sebagaimana gerakan-gerakan fundamentalisme Kristian dan Yahudi yang pernah menentang kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi pada era kebangkitan kapitalisme.
Pemilihan istilah fundamentalisme untuk melabel gerakan-gerakan Islam sebenarnya dilatarbelakangi oleh konteks sejarah yang khusus dalam opini umum Dunia Barat. Tujuannya adalah supaya bangsa-bangsa Barat bersama para penguasa mereka dapat menghalang kembalinya “Islam Politik” dalam bentuk negara dan sistem kehidupan.
Seorang Muslim tidak sepatutnya terlintas untuk mengaitkan penyebutan gerakan-gerakan Islam dengan istilah fundamentalisme itu dengan istilah usuluddin (dasar-dasar agama) dan usul fiqh (dasar-dasar fiqh). Ini kerana usuluddin dalam Islam ialah akidah Islam, iaitu keimanan kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, Hari Akhirat, serta qadar (takdir). Manakala usul fiqh pula ialah kaedah-kaedah yang menjadi asas kepada pembinaan fiqh. Istilah ini digunakan oleh seorang mujtahid untuk mengistinbat hukum-hakam Islam yang bersifat praktikal daripada dalil-dalilnya yang terperinci.
Sesungguhnya fundamentalisme menurut terminologi Barat, sebagaimana yang dibawa oleh gerakan Kristian Protestan beserta tujuan yang mendasari kewujudan gerakan tersebut, sangat jauh berbeza daripada persepsi Islam dan gerakan-gerakan Islam, sama ada gerakan yang wujud pada masa kini mahupun yang pernah muncul dalam sejarah.
Dalam sejarah umat Islam sememangnya telah muncul pelbagai gerakan politik, aliran pemikiran dan mazhab fiqh. Namun demikian, semua itu tidak sedikit pun menyerupai gerakan-gerakan fundamentalisme Kristian. Malah, mereka yang menyeru supaya pintu ijtihad ditutup pada abad ke-7 Hijrah juga tidak mengatakan bahawa langkah tersebut bertujuan memelihara ajaran lama dan menolak ajaran baharu. Sebaliknya, hal itu berlaku kerana mereka beranggapan bahawa fiqh Islam yang telah disusun oleh para ulama salaf sudah merangkumi setiap persoalan yang mungkin dihadapi manusia pada masa akan datang.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
(Bersambung ke “Fundamentalisme” Bahagian 2/2.)
#PersepsiBerbahaya #Fundamentalisme #Kapitalisme #PeradabanBarat #RacunPemikiran #Sekularisme